اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1771: PERLUKAH PEKERJA MEMBUKA TUDUNG APABILA DIMINTA MAJIKAN?

1771

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya mendapat tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat swasta dan saya diminta untuk membuka tudung ketika waktu bekerja dan perlu memakai uniform yang disediakan syarikat yang tidak dapat menutup aurat. Jika saya tidak patuh, saya akan dikenakan tindakan oleh pihak syarikat. Soalan saya, adakah perlu saya mengikut syarat yang ditentukan syarikat tersebut?

 

Ringkasan Jawapan

Kesimpulannya, tuntutan untuk seorang muslim menutup aurat adalah wajib. Oleh itu, seorang pekerja muslim tidak boleh menuruti arahan majikan yang bercanggah dengan suruhan agama kerana suruhan agama adalah suruhan yang perlu diutamakan. Kami berpendapat bahawa tawaran kerja itu perlu ditolak kerana kerja itu menjurus kepada melakukan perkara yang dimurkai Allah. InsyaaAllah, tawaran yang ditolak hari ini atau pekerjaan yang telah ditinggalkan tersebut akan diganti dengan perkara yang lebih baik.

 

Ini kerana Allah s.w.t telah menyatakan bahawa Dia akan menyediakan jalan keluar dari segala kesusahan serta memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka pada orang yang bertaqwa kepadaNya.

 

Kami juga ingin mengingatkan majikan-majikan terutama yang beragama Islam untuk peka berkenaan perkara yang menjadi sesitiviti umat Islam terutama aspek pemakaian pekerja muslim yang mesti menutup aurat dan tidak membuat arahan yang membelakangkan syariat seperti mesti menanggalkan tudung atau berpakaian ketat ketika waktu bekerja.

 

Huraian Jawapan

Kewajipan untuk menutup aurat bagi setiap muslim telah thabit hukumnya dari al-Quran dan hadis. Perintah untuk menutup aurat ini telah disebut secara jelas di dalam Surah al-Ahzab ayat 59 dan Surah an-Nur ayat 31. Allah s.w.t berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ قُل لِّأَزۡوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡهِنَّ مِن جَلَٰبِيبِهِنَّۚ ذَٰلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمٗا

Maksudnya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab:59)

 

Firman Allah s.w.t pada ayat yang lain:

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ وَيَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوۡ ءَابَآئِهِنَّ أَوۡ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآئِهِنَّ أَوۡ أَبۡنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوۡ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ إِخۡوَٰنِهِنَّ أَوۡ بَنِيٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوۡ نِسَآئِهِنَّ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيۡرِ أُوْلِي ٱلۡإِرۡبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفۡلِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يَظۡهَرُواْ عَلَىٰ عَوۡرَٰتِ ٱلنِّسَآءِۖ وَلَا يَضۡرِبۡنَ بِأَرۡجُلِهِنَّ لِيُعۡلَمَ مَا يُخۡفِينَ مِن زِينَتِهِنَّۚ وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah an-Nur: 31)

 

Ibnu Kathir mendatangkan satu hadis riwayat Bukhari ketika mentafsirkan perkataan (وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ) bahawa apabila wanita-wanita yang paling awal berhijrah mendengar ayat ini mereka terus mematuhi perintah untuk menutup aurat tersebut. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 46/6)

 

Menurut riwayat tersebut:

عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ قَالَتْ يَرْحَمُ اللَّهُ نِسَاءَ الْمُهَاجِرَاتِ الأُوَلَ، لَمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ ‏{‏وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ‏}‏ شَقَّقْنَ مُرُوطَهُنَّ فَاخْتَمَرْنَ بِها‏.

Maksudnya: Aisyah meriwayatkan, beliau berkata, moga Allah merahmati wanita-wanita yang paling awal berhijrah, apabila Allah s.w.t menurunkan ayat (hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka) mereka mengoyakkan kain mereka dan jadikannya sebagai tudung untuk menutup kepala.

(Sahih Bukhari No.4758)

 

Dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis yang kami nyatakan di atas jelas menunjukkan kewajipan wanita untuk menutup aurat dan bertudung. Oleh kerana itu, haram bagi para wanita untuk menanggalkan tudung atau hijab dan menunjukkan auratnya di hadapan bukan mahram. Apabila Allah s.w.t dan RasulNya memerintahkan untuk melakukan sesuatu, maka ianya tidak boleh dipandang enteng. Allah s.w.t berfirman:

لَّا تَجۡعَلُواْ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيۡنَكُمۡ كَدُعَآءِ بَعۡضِكُم بَعۡضٗاۚ قَدۡ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمۡ لِوَاذٗاۚ فَلۡيَحۡذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنۡ أَمۡرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمۡ فِتۡنَةٌ أَوۡ يُصِيبَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah an-Nur: 63)

 

Namun begitu, dalam persoalan ini, majikan meletakkan syarat atau meminta pekerjanya untuk meninggalkan perintah agama iaitu perintah menutup aurat dengan sempurna, maka ianya dikira sebagai suruhan untuk melakukan maksiat pada Allah s.w.t yang tidak boleh ditaati. Selain itu, terdapat hadis daripada beberapa riwayat seperti al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi yang menyatakan bahawa mentaati arahan pemimpin itu adalah wajib selagi ianya bukan pada perkara maksiat.

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: Menjadi kewajipan untuk mendengar dan taat (arahan pemerintah) kecuali arahan untuk melakukan maksiat. Apabila arahan (dari pemimpin) adalah untuk maksiat maka dia tidak perlu mendengar atau mematuhinya.

(Sahih Bukhari 2955; Sunan Abi Daud 2626; Jami’ al-Tirmizi 1707)

 

Imam Badruddin al-‘Aini ketika menerangkan hadis ini menyatakan bahawa apabila arahan dari seorang pemimpin atau dalam konteks ini majikan mengarahkan untuk kita lakukan sesuatu maka arahan tersebut mesti dipatuhi selagi mana arahan tersebut bukanlah untuk melakukan maksiat atau melakukan perkara yang dimurkai Allah s.w.t.

إِذْ طَاعَة أوامرهم وَاجِبَة مَا لم يَأْمر بِمَعْصِيَة وإلَاّ فَلَا طَاعَة لمخلوق فِي مَعْصِيّة الْخَالِق

Maksudnya: Oleh itu, mentaati perintah mereka wajib kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan tiada ketaatan pada makhluk pada melakukan maksiat kepada pencipta. (Rujuk ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari 221/14)

 

Selain itu, terdapat juga hadis daripada Imam Ahmad yang membawa maksud yang sama, tidak perlu taat arahan ketua atau majikan jika perkara tersebut adalah untuk melakukan maksiat kepada Allah.

لا طاعةَ لمخلوقٍ في معصية الخالق

Maksudnya: Tiada ketaatan kepada makhluk pada melakukan perkara maksiat kepada Pencipta.

(Musnad Ahmad 1095)

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, tuntutan untuk seorang muslim menutup aurat adalah wajib. Oleh itu, seorang pekerja muslim tidak boleh menuruti arahan majikan yang bercanggah dengan suruhan agama kerana suruhan agama adalah suruhan yang perlu diutamakan. Tawaran kerja itu perlu ditolak kerana kerja itu menjurus kepada melakukan perkara yang dimurkai Allah. InsyaaAllah, tawaran yang ditolak hari ini atau pekerjaan yang telah ditinggalkan tersebut akan diganti dengan tawaran atau perkara yang lebih baik.

 

Ini kerana Allah s.w.t telah menyatakan bahawa Dia akan menyediakan jalan keluar dari segala kesusahan serta memberikan rezeki daripada sumber yang tidak disangka pada orang yang bertaqwa kepadaNya.

…وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا. وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا

Maksudnya:...Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Talaq: 2-3)

 

Kami juga ingin mengingatkan majikan-majikan terutama yang beragama Islam untuk peka berkenaan perkara yang menjadi sesitiviti umat Islam terutama aspek pemakaian pekerja muslim yang mesti menutup aurat dan tidak membuat arahan yang membelakangkan syariat seperti mesti menanggalkan tudung atau berpakaian ketat ketika waktu bekerja.

 

Wallahualam.

 

Bibliografi

Badruddin al-‘Aini. ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari. Terbitan Dar Ihya’ Turath al-Arabiyy

Ibn Kathir. 1999. Tafsir Ibn Kathir. Terbitan Dar Taibah lil Nasyr wa al-Tauzi’