اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1786: HUKUM DUIT PINJAMAN, ADAKAH DIWAJIBKAN ZAKAT?

DUIT_PINJAMAN_WAJIB_ZAKAT.png

 

SOALAN

Assalamualaikum,

Saya telah meminjam duit sebanyak RM30 000 bagi tujuan modal perniagaan. Namun begitu, semenjak PKP dilaksanakan pada tahun lepas, saya terpaksa menangguh dahulu hasrat perniagaan saya atas beberapa faktor, adakah duit yang saya pinjam tersebut di wajibkan zakat?

Terima kasih.

JAWAPAN RINGKAS

Diwajibkan zakat jika mencukupi nisab (jumlah minimum yang diwajibkan zakat) dan tidak dibelanjakan dalam tempoh haul (tempoh masa setahun). Jika telah dibelanjakan sebelum sampai tempoh haul, maka tidak diwajibkan membayar zakat ke atas hutang tersebut.

HUJAH DAN ANALISIS

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan jika telah memenuhi syarat-syaratnya. Pensyariatan zakat membawa hikmah yang besar terutamanya dalam membantu golongan asnaf dari sudut kewangan.

Ia merupakan tanggungjawab yang diwajibkan oleh Allah sepertimana firman-Nya:

﴿وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ﴾

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat

Surah al-Baqarah (43)

Dan firman Allah S.W.T di dalam ayat yang lain:

﴿خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ﴾

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.

Surah al-Taubah (103)

Kedua ayat di atas merupakan dalil utama dalam pensyariatan zakat. Namun begitu, Islam telah meletakkan garis panduan dalam menentukan siapa yang diwajibkan zakat dan kategori-kategori yang ada didalam zakat. Secara umumnya bagi zakat simpanan, ummat islam diwajibkan zakat apabila memiliki nisab (jumlah minimum yang diwajibkan zakat) dan mencukupi tempoh haul (tempoh masa setahun) seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Mawardi di dalam Hawi al-Kabir. Perkara ini berdasarkan hadis nabi:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya:Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.”

Riwayat Abu Daud (1573)

Dan Hadis Nabi Muhammad SAW yang lain:

لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat apa-apa yang kurang daripada 5 Uqiyah (200 gram) perak”

(Hadis Riwayat Muslim)

ZAKAT WANG PINJAMAN

Wang yang di pinjam merupakan hutang di antara penghutang dan pemiutang. Ulama’ mazhab syafie telah membahaskan isu berkenaan status wang pinjaman sama ada termasuk dalam zakat atau tidak. Imam Nawawi telah menyatakan di dalam Kitabnya dalam Bab Apa yang dilazimkan keatasnya zakat dan apa yang wajib padanya:

ولا يمنع الدين وجوبها

Maksudnya: “Tidak terhalang hutang itu daripada kewajipan zakat

(Lihat Minhaju al Tolibin 72)

Seterusnya, Imam Nawawi menyimpulkan bahawa di wajibkan zakat bagi harta batin atau zahir ataupun dari jenis hutang atau selain daripadanya. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Majmu’:

فَالْحَاصِلُ أَنَّ الْمَذْهَبَ وُجُوبُ الزَّكَاةِ سَوَاءٌ كَانَ الْمَالُ بَاطِنًا أَوْ ظَاهِرًا أَمْ مِنْ جِنْسِ الدَّيْنِ أَمْ غَيْرِهِ قَالَ أَصْحَابُنَا سَوَاءٌ دَيْنُ الْآدَمِيِّ وَدَيْنُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Maka kesimpulannya disisi mazhab wajib zakat samaada harta itu harta batin atau zahir atau dari jenis hutang atau selainnya, menurut para ulama’ kami sama ada hutang itu hutang dengan manusia atau hutang dengan Allah”

(Lihat Majmu’ Syarh Muhazzab 5/344)

Seterusnya, Imam al-Mawardi menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan diwajibkan zakat bagi duit yang dipinjam adalah berdasarkan umum ayat dari surat Taubah ayat 103. Perkara ini dinyatakan oleh al-Mawardi di dalam kitabnya al Hawi al Kabir:

وَالدَّلَالَةُ عَلَى صِحَّةِ الْقَوْلِ الثَّانِي عُمُومُ قَوْله تَعَالَى: (خُذْ مِنْ أَمْوَالِهمْ صَدَقَةُ تُطَهِّرَهُمْ وتُزَكِّيهِمْ بِهَا) 

Maksudnya: “Dalil atas pendapat kedua (diwajibkan zakat) adalah berdasarkan umum ayat Firman Allah “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);”

(Lihat al Hawi al Kabir 3/310)

Namun begitu, peminjam hanya diwajibkan zakat apabila ianya mencukupi haul dan juga nisab. Jika duit pinjaman tersebut sudah digunakan sebelum cukup haul maka tidak diwajibkan zakat ke atasnya.

Jika peminjam tersepit di antara membayar hutang atau mengeluarkan zakat, boleh rujuk artikel kami berkaitan masalah ini:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4621-al-kafi-1751-mana-lebih-utama-membayar-zakat-harta-atau-menyelesaikan-hutang

KESIMPULAN

Menurut pendapat yang muktabar disisi mazhab syafie adalah diwajibkan zakat bagi wang pinjaman jika mencukupi syarat iaitu cukup nisab dan haul.