اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1788: HUKUM MENERIMA KOMISEN DARIPADA PEGUAM

DUIT_KOMISEN_PEGUAM.png

 

SOALAN

Assalamualaikum,

Saya merupakan seorang peguam, apa hukum saya memberikan wang kepada mereka yang memperkenalkan khidmat guaman saya kepada pelanggan saya dengan jumlah tertentu?

JAWAPAN RINGKAS

Harus bagi peguam memberikan komisen kepada mereka yang mendapatkan pelanggan untuknya dan harus bagi penerima komisen untuk menerima komisen jika dia mendapatkan pelanggan untuk peguam seperti yang telah di persetujui bersama.

 

JAWAPAN TERPERINCI

Secara umumnya, pengamalan memberikan ganjaran tertentu bagi sesiapa yang memperkenalkan khidmat/service kepada pihak ketiga adalah dikenali dengan komisen. Pembayaran komisen ini berbeza mengikut persetujuan yang dicapai di antara kedua pihak. Komisen ini dibayar jika agen berjaya mendapatkan pelanggan bagi servis yang ditawarkan.

Komisen atau upah adalah harus selagi mana ianya tidak datang daripada pekerjaan yang haram. Di dalam islam upah di sebut sebagai Ju’alah. Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji Ju’alah adalah:

هي التزام عوض معلوم على عمل معَّين، معلوم أو مجهول، بمعين أو مجهول. أي يحصل هذا العمل من عامل معين أو مجهول

Maksudnya: “Ju'alah (sagu hati) ialah mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.”

(Lihat Fiqh al-Manhaji 6/161)

  

Asas pensyariatan konsep Ju’alah berdasarkan firman Allah SWT:

قَالُوا نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ 

Maksudnya: “Maksudnya: “Orang-orang menteri menjawab: "Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu".

Surah Yusuf ( 72)

Menurut Ibnu Jarir perkataan (صواع) bermaksud alat menyukat makanan mengikut kebanyakan ahli tafsir. Seterusnya Ibn Jarir menjelaskan konteks ayat itu merujuk kepada sesiapa yang menjumpai alat menyukat maka akan diberikan balasan makanan seberat unta. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab tafsirnya:

وقوله: (ولمن جاء له حمل بعير) ، يقول: ‌ولمن ‌جاء ‌بالصواع حمل بعير من الطعام

Maksudnya: “Makna ayat (ولمن جاء له حمل بعير) barang siapa yang menemukan maka balasan baginya makanan seberat beban unta membawa maksud bagi sesiapa yang menemukan alat sukatan tersebut maka dia akan diberikan ganjaran makanan seberat unta”

(Rujuk Tafsir Jami’ al-Bayan 16/177)

Manakala, Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyatakan ayat (ولمن جاء له حمل بعير) merujuk kepada bab al-Ju’alah manakala ayat (وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ) merujuk kepada bab al-Dhomanah dan al-Kafalah dalam Islam. 

(Rujuk Tafsir Ibnu Kathir 4/401)

Walaupun ayat ini menyebut tentang syariat sebelum umat Nabi Muhammad SAW, namun ada sumber daripada syariat kita yang membenarkannya seperti yang dinyatakan oleh hadis Abu Sa’id al-Khudri RA katanya:

 

انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَىٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ، فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الْحَىِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَىْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَىْءٌ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَىْءٌ، فَأَتَوْهُمْ، فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ، إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَىْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَىْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّى لأَرْقِى، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضِيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلاً. فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الْغَنَمِ، فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأ:ُ (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِى وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ، قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِى صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمُ: اقْسِمُوا. فَقَالَ الَّذِى رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا، حَتَّى نَأْتِىَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِى كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا. فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ، ثُمَّ قَالَ: قَدْ أَصَبْتُمُ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِى مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم

Maksudnya: “Beberapa orang sahabat Nabi SAW berangkat dalam suatu perjalanan. Apabila tiba di sebuah perkampungan Arab, mereka memohon untuk menumpang tetapi penduduk kampung tersebut enggan menerima mereka. Ketika itu ketua kampung tersebut telah disengat dan mereka telah menggunakan segala-galanya untuk mengubatinya, tetapi sedikitpun tidak berkesan. Beberapa orang dalam kalangan mereka berkata: “Mungkin kamu patut berjumpa dengan orang-orang yang singgah itu. Mereka mungkin ada sesuatu sebagai ubat. Lantas mereka datang menemui para sahabat dan berkata: “Wahai tuan-tuan sekalian, ketua kami telah disengat. Kami telah gunakan segala-galanya untuk menyembuhkannya, malangnya tidak berkesan. Adakah ada dalam kalangan kamu yang boleh mengubatinya. Sebahagian sahabat menjawab: "Ya, demi Allah aku boleh menjampi. Cuma demi Allah, kami telah mohon izin untuk menumpang di tempat kamu tetapi kamu menolak dan aku hanya akan menjampi untuk kamu jika kamu berikan kami sagu hati. Setelah berbincang, mereka bersetuju dengan pemberian sekawan kambing. Sahabat ini pun pergi meniup ketua itu dan membaca ayat “Alhamdulillahi Rabbi ‘Alamin” (surah al-Fatihah). Tiba-tiba ketua kampung bangun seolah-olah baru terlepas daripada ikatan. Lalu berjalan sepertimana keadaan sebelum ini. Abu Sa'id RA berkata: "Lalu penduduk kampung itu memberikan sagu hati seperti yang mereka setujui. " Sebahagian para sahabat berkata: "Bahagikan". Namun sahabat yang menjampi tadi berkata: "Jangan lakukan sehinggalah kita bertemu Nabi SAW dan kita ceritakan kepada Baginda apa yang berlaku dan kita tunggu perintah Baginda. Selepas itu mereka menemui Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang berlaku. Baginda bersabda: "Bagaimana engkau tahu ia adalah jampi?" Kemudian Baginda bersabda: "Kamu benar, bahagi-bahagikanlah dan letakkan satu bahagian untuk aku bersama kamu". Lalu Nabi SAW tertawa.”

 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 Menurut Syeikh Mustafa al-Bugha perkataan (جُعْلاً) membawa maksud upah.(Rujuk Tahqiq Sahih al-Bukhari oleh Mustafa al-Bugha 4/454). 

Akad Ju’alah merupakan akad yang tidak lazim (kontrak yang membolehkan salah satu pihak yang berkontrak membatalkannya tanpa sebarang persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak wakalah) berbeza dengan akad sewa yang merupakan akad lazim (kontrak yang tidak membolehkan salah satu pihak yang memeterai kontak membatalkannya tanpa persetujuan pihak yang lagi satu seperti kontrak sewa dan jual beli). Perkara ini dinyatakan oleh al-Imam Abu Husain Yahya bin Abu al-Khair Salim al-‘Imrani al-Yamani:

الجعالة عقد غير لازم؛ لأنها عقد على عمل مجهول بعوض، فكانت غير لازمة

Maksudnya: “Ju’alah ialah akad tidak lazim kerana ianya merupakan akad di mana pekerjaannya tidak diketahui dengan pertukaran (upah) yang mana ianya tidak lazim” 

 (Lihat al-Bayan fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i 7/412)

Namun begitu, nilai upah haruslah ditentukan daripada awal seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

ولا تجوز الا بعوض معلوم، لانه عقد معاوضة فلا تجوز بعوض مجهول كالنكاح،

Maksudnya: tidak harus (akad Ju’alah) melainkan dinyatakan jumlah pertukaran (ganjaran) kerana ianya merupakan akad (pertukaran) maka tidak harus akad pertukaran dengan ganjaran yang tidak diketahui seperti akad nikah”.

(Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 15/113)

Oleh kerana akad ini merupakan akad tidak lazim seperti dinyatakan di atas, maka kedua-dua belah pihak berhak untuk membatalkan akad tanpa persetujuan bersama. Ini dinyatakan oleh Imam al-Syairazi di dalam kitabnya:

ويجوز لكل واحد منهما فسخ العقد لأنه عقد على عمل مجهول بعوض فجاز لكل واحد منهما فسخه كالمضاربة

Maksudnya: “ Harus bagi setiap pihak membatalkan akad kerana ia merupakan akad yang tidak diketahui pekerjaannya dengan pertukaran upah maka harus bagi setiap pihak membatalkan akadnya seperti akad mudharabah

(Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i 2/273)

Namun begitu, Imam al-Syairazi menambah jika pembatalan akad haruslah dibuat sebelum pekerjaan yang di persetujui bersama dilaksanakan. Jika pekerjaan itu telah selesai dan pengupah membatalkan akad maka pembuat kerja harus dibayar sesuai dengan kerja yang dilakukan. 

(Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i 2/273)

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, hukum seseorang menerima upah/komisen daripada apa-apa pekerjaan adalah harus kerana perbuatan tersebut termasuk di dalam konsep Ju’alah. Namun begitu, ju’alah hendaklah memenuhi syarat-syaratnya seperti yang dinyatakan di atas bagi mengelakkan unsur kezaliman antara kedua-dua belah pihak. Wallahuallam.