Soalan
Adakah memakai ear plug (personal protective equipment) ketika bekerja membatalkan puasa?
Ringkasan Jawapan
Memakai ear plug ketika bekerja di bulan puasa tidak membatalkan puasa, selagi mana ear plug tersebut tidak mencecah ke bahagian dalaman telinga (had batin).
Huraian Jawapan
Dalam mengulas persoalan ini, sebaiknya ditelusuri terlebih dahulu perbahasan berkenaan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Antara perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:
- Memasukkan sesuatu secara sengaja melalui rongga terbuka hingga sampai kepada rongga yang dalam (batin).
- Memasukkan ubatan melalui lubang dubur (al-Huqnah).
- Muntah dengan sengaja.
- Bersetubuh dengan sengaja siang hari.
- Mengeluarkan mani dengan sengaja (onani).
- Keluarnya darah haid.
- Keluarnya darah nifas.
- Gila
- Murtad
Imam Nawawi menjelaskan tentang sesuatu yang masuk ke dalam lubang telinga ketika berpuasa, kata beliau:
وَلَوْ قَطَرَ فِي أُذُنِهِ شَيْئًا فَوَصَلَ إِلَى الْبَاطِنِ، أَفْطَرَ عَلَى الْأَصَحِّ عَنِ الْأَكْثَرِينَ، كَالسَّعُوطِ
Maksudnya: Jika seseorang menitikkan ke dalam telinganya, lalu (benda yang dititikkan) sampai hingga ke bahagian dalam telinga (melebihi ear drum), maka (perbuatan tersebut) membatalkan puasa menurut pendapat yang sahih dan pendapat kebanyakan ulama. Begitu juga yang berlaku jika memasukkan ubat melalui hidung (al-Saʻut).
(Rujuk Raudah al-Talibin wa ʻUmdah al-Muftin, 2/357)
Hal yang sama juga disebutkan oleh Imam al-Baijuri menyebutkan bahawa menitiskan sesuatu ke dalam telinga sehingga sampai kepada bahagian telinga yang dalam maka batal puasanya. (Rujuk Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/559).
Kesimpulan
Hukum memakai ear plug (personal protective equipment) ketika berpuasa tidak membatalkan puasa. Perkara ini selagi mana earplug tersebut tidak mencecah ke bahagian teliga yang dalam (melebihi eardrum). Wallahua’lam.