Soalan
Assalamualaikum ustaz, apakah boleh untuk kita membayar zakat fitrah secara online? Di manakah berlakunya ijab kabul pembayaran zakat tersebut?
Jawapan Ringkas
Pembayaran zakat tidak disyaratkan padanya akad ijab dan kabul. Syarat sah pemberian zakat adalah mesti berniat, mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang.
Huraian Jawapan
Zakat fitrah merupakan zakat yang wajib dibayar pada bulan Ramadhan. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW berikut:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia, satu sa’ (unit ukuran berat) daripada kurma, atau satu sa’ daripada gandum ke atas setiap orang yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan daripada kalangan orang Islam.
Riwayat Muslim (984)
Dewasa kini, teknologi memainkan peranan yang amat penting dalam melancarkan serta memudahkan urusan seharian manusia seperti membuat pembayaran bil, hutang termasuklah zakat secara atas talian. Perkara ini memudahkan urusan kerana umat Islam tidak perlu lagi ke kaunter secara bersemuka sebaliknya boleh melakukan pembayaran tersebut secara terus melalui komputer mahupun telefon pintar.
Asalnya, pembayaran zakat tidak disyaratkan padanya akad ijab dan kabul. Syarat sah pemberian zakat adalah mesti berniat, mempunyai hak pemilikan terhadap harta, serta berlaku penyerahan dan penerimaan barang. Rujuk artikel kami, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3767-al-kafi-1411-adakah-sah-pemberian-zakat-tanpa-melafazkan-akad.
Tambahan lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke 116/2019 yang bersidang pada 01 April 2019 telah memutuskan bahawa dibolehkan untuk membayar zakat secara atas talian (online). Rujuk Fatwa Berkenaan Hukum Pembayaran Zakat Secara Atas Talian (Online) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Kesimpulan
Sah zakat fitrah yang dibayar secara atas talian/online kerana akad yang berlaku dalam keadaan tersebut mempunyai gambaran akad secara tulisan yang dipersetujui para ulama tentang keabsahannya.
Wallahu a’lam.