اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1794 : HUKUM PERSETUBUHAN KETIKA ISTIHADAH

 

  ISTIHADAH

 

SOALAN

Assalammualaikum? Adakah suami boleh menyetubuhi isterinya ketika sedang dalam istihadah?   Mohon pencerahan S.S Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Wanita yang mengalami istihadah boleh disetubuhi oleh suaminya kerana hukumnya sama seperti wanita yang dalam keadaan suci menurut para ulama.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Istihadah menurut syarak ialah darah penyakit wanita yang keluar daripada hujung urat yang berada di bawah rahim yang dikenali sebagai (العاذل) selepas tempoh maksimum haid atau selepas tempoh maksimum nifas,  darah keluar berterusan selepas hari kebiasaan haid. (Lihat al-Iqna’ fi Halli al-Fadz Abi Syuja’ 1:96)

Istihadah ialah hadas yang sentiasa keluar seperti orang yang mengalami kencing tidak lawas ( سَلِسِ الْبَوْل ) yang tidak  terhalang daripada melakukan ibadah puasa dan solat. (Lihat Minhaj al-Thalibin  wa Umdatun Muftin 1/19).

Majoriti fuqaha mazhab  termasuk Syafi’e berpendapat harus menyetubuhi isteri dalam keadaan istihadah. (Lihat, al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-kuwaytiyah, 32/87) Hal ini berdasarkan beberapa riwayat  berikut:

Menurut riwayat Ummu Habibah:

كانت أمُ حبيبةَ تُستَحاضُ , وكان زوجُها يغشاها

Maksudnya : “ Ummi Habibah dalam   keadaan istihadah dan suaminya menyetubuhinya

Riwayat daripada ‘Ikrimah, beliau berkata :

عَنْ حَمْنَةَ بِنْتِ جَحْشٍ، «أَنَّهَا كَانَتْ مُسْتَحَاضَةً وَكَانَ زَوْجُهَا يُجَامِعُهَا»

Maksudnya : “ Hamnah binti Jahsh  meriwayatkan bahawa beliau dalam keadaan istihadah dan suaminya menyetubuhinya.

Sunan Abu Dawud, 310

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas para ulama menyatakan bahawa wanita yang dalam keadaan istihadah hukumnya sama seperti wanita yang dalam keadaan suci. Ini kerana jelas para sahabat menyetubuhi isterinya yang dalam keadaan istihadah. Oleh itu wanita sebegini wajib melaksanakan ibadah fardu seperti solat fardu 5 waktu dan puasa di bulan Ramadan dan juga sunat melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya, al-Majmu’:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

Wanita yang istihadah (hukumnya) seperti wanita yang suci dalam melaksanakan solat, puasa iktikaf, baca al-Quran dan selainnya (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (2/372).

Sementara itu, wanita istihadah boleh disetubuhi oleh suaminya walaupun dalam keadaan darah sedang mengalir. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi :

يجوز عندنا وطئ الْمُسْتَحَاضَةِ فِي الزَّمَنِ الْمَحْكُومِ بِأَنَّهُ طُهْرٌ وَإِنْ كَانَ الدَّمُ جَارِيًا وَهَذَا لَا خِلَافَ فِيهِ عِنْدَنَا

وَهُوَ قَوْلُ أَكْثَرِ الْعُلَمَاءِ

Menurut mazhab kami harus wanita istihadah bersetubuh pada tempoh tersebut yang dihukumkan suci walaupun darah masih mengalir. Hal ini tiada perselisihan disisi kami. Ini pendapat kebanyakan ulama. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (2/372)

Al-Khatib al-Syirbini  juga  menjelaskan keharusan suami menyetubuhi isterinya yang dalam keadaan istihadah  walaupun darah masih mengalir dan tidak jatuh kepada hukum makruh (Rujuk, Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fadz al-Minhaj 1/284)

Penutup

Kesimpulannya, para ulama mazhab Syafi’ie berpendapat bahawa harus seorang suami menyetubuhi isterinya yang dalam keadaan istihadah walaupun darah mengalir. Berbeza jika  isteri dalam keadaan haid yang jelas telah diharamkan dan diketahui umum.