اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1796 : BOLEHKAH WANITA MELAUNGKAN AZAN DALAM KALANGAN JEMAAH WANITA ?

 

 

AZAN

SOALAN

Assalamulaikum, Setiap kali solat berjemaah dalam kalangan wanita, saya keliru sama ada perlu melaungkan azan atau hanya iqamah. Adakah wanita disyariatkan melaungkan azan ketika ingin berjemaah sesama wanita.  Mohon pencerahan Datuk SS Mufti. Terima Kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Wanita yang ingin mendirikan solat sama ada secara bersendirian ataupun secara berjemaah  disunatkan melaungkan iqamah dengan  syarat tidak melaungkan suara pada nada yang tinggi iaitu  pada kadar suara yang perlahan kerana dibimbangi boleh mendatangkan fitnah. Sementara itu, wanita tidak disunatkan  melaungkan azan  walaupun ketika mendirikan solat  dalam kalangan wanita berdasarkan pendapat yang muktamad.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW,para sahabat,  serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Melaungkan  azan disyariatkan apabila masuk sahaja waktu solat  berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith RA beliau berkata bahawa Rasulullah g bersabda :

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya : "Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan".

Riwayat al-Bukhari (628)

Imam Nawawi dalam Majmu’ menyatakan

مَذْهَبُنَا الْمَشْهُورُ أَنَّهُمَا سُنَّةٌ لِكُلِّ الصَّلَوَاتِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ لِلْجَمَاعَةِ وَالْمُنْفَرِدِ

Menurut pendapat mazhab kami yang masyhur bahawa kedua-duanya(azan dan iqamah) adalah sunat bagi kesemua solat  ketika bukan musafir dan juga ketika musafir sama ada secara berjemaah dan solat bersendirian " (Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/82).

 Sementara itu, syarat untuk menjadi muazzin (orang yang melaungkan azan)  ialah lelaki(Rujuk  Tuhfah Al-Muhtaj  fi Syarah Minhaj wa Hawasyi  al-Syawarni wa ’Abadi, (1/471).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan berkaitan wanita melaungkan azan dalam kalangan wanita. Pandangan fuqaha mazhab Imam al-Syafi’e yang  muktamad menyatakan wanita  tidak melaungkan azan ketika berjemaah sesama wanita. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Disunatkan iqamah bagi jemaah solat wanita, golongan khunsa dan juga yang solat sendirian menurut pendapat yang masyhur. Ini kerana bertujuan untuk mengajak hadirin untuk bangun, maka tidak boleh meninggikan suara dalam jemaah kerana khuatir perkara terlarang yang akan datang. Tidak disunatkan azan menurut pendapat yang masyhur kerana padanya laungan suara tinggi yang dibimbangi menimbulkan fitnah dan menyerupai perbuatan kaum lelaki. Oleh kerana itu diharamkan melaungkan suara jika di situ terdapat lelaki ajnabi asing yang mendengar “(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa-al-‘Abadi 1/466)

Sementara itu, tidak sah azan dan iqamah yang dilaungkan oleh wanita yang mana wujud bersama mereka jemaah lelaki ajnabi. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Syirbini:

 “ Disunatkan bagi jemaah wanita untuk iqamah iaitu salah seorang jemaah wanita yang melakukan  iqamah, sekiranya dia solat sendirian maka dia juga  melakukan iqamah untuk  dirinya. Sekiranya wanita melaungkan iqamah untuk lelaki atau khunsa maka hukumnya tidak sah (tidak azan menurut pendapat yang masyhur) pada keduanya. Hal ini kerana azan wanita yang dilaungkan pada kadar yang kuat dikhuatiri boleh mendatangkan fitnah dan iqamah dilaungkan bertujuan mengajak hadirin bangun, oleh itu tidak meninggikan suara seperti azan” (Rujuk, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj 1/406)

Penutup

Setelah meneliti pandangan fuqaha mazhab Syafi’e, wanita disunatkan iqamah sama ada secara bersendirian atau ketika berjemaah pada kadar suara yang perlahan kerana dikhuatiri mendatangkan fitnah. Selain itu, wanita tidak disunatkan melaungkan azan walaupun  dalam kalangan jemaah wanita. Sementara itu,  tidak sah iqamah dan azan wanita  bagi jemaah lelaki.