اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1800 : TEMPOH ‘IDDAH WANITA ISTIHADAH

IDDAH

 

SOALAN

Assalammualaikum, Saya ada pertanyaan berkaitan iddah bagi wanita yang mengalami istihadah, Adakah tempoh wanita istihadah sama seperti wanita haid? Mohon pencerahan S.S Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Tempoh ‘iddah wanita istihadah yang lupa hari kebiasaaan haidnya disamping lupa kadar dan tidak mampu membezakan darah (mustahadah mutahayyirah) adalah tiga bulan. Sementara,  wanita istihadah yang dapat mengingati hari kebiasaan haidnya maka  tempoh ‘iddah wanita tersebut  dengan haidnya iaitu 3 kali suci.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

‘Iddah bagi wanita yang bercerai hidup dan masih mempunyai haid adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya: "Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)". 

Surah al-Baqarah: (228)

Sementara, tempoh wanita ‘iddah bagi wanita yang menopause (putus haid) yang bercerai hidup dan ketiadaan haid  ialah 3 bulan berdasarkan  firman Allah SWT:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ 

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak ada haid'

Surah al-Thalaq (4)

Sementara tempoh iddah wanita hamil ialah selepas melahirkan anak berdasarkan  firman Allah SWT

وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

MaksudnyaWanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.

Surah al-Thalaq (4)

Adapun, iddah bagi wanita yang bercerai mati ialah 4 bulan 10 hari  berdasarkan firman Allah SWT:


وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

MaksudnyaDan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan tempoh iddah wanita yang mengalami istihadah. Ahli-ahli fiqh mazhab Syafi’i  telah membahaskan tempoh iddah bagi wanita yang bercerai hidup yang mengalami istihadah kepada 2 situasi :

  • ‘Iddah mustahadah mutahayyirah (wanita istihadah yang lupa kadar dan waktu haid dan tidak dapat membezakan warna darah)
  • ‘Iddah wanita istihadah yang mengingati hari kebiasaan haid

Tempoh Iddah mustahadah mutahayyirah adalah tiga bulan dan wanita istihadah yang mengingati hari kebiasaan haid  adalah tiga kali suci   berdasarkan pandangan    fuqaha’ mazhab  syafie.

Imam An-Nawawi menyatakan bahawa ‘iddah wanita istihadah adalah kembali  kepada kiraan suci (kiraan adat haidnya dan perbezaan darah). Sementara wanita mustahadah mutahayyirah (lupa waktu haid dan tidak dapat membezakan warna darah) ialah tiga bulan serta merta  (Rujuk, Minhaj al-Talibin wa Umdat al-Muftin fi al-Fiqh, 253)

Alasan tempoh 3 bulan bagi 'iddah wanita mustahadah  mutahayyirah (wanita istihadah lupa waktu haid dan tidak dapat membezakan warna darah)  kerana  kebiasaan haid sebulan  sekali mahupun kebiasaan setiap bulan merangkumi tempoh haid dan suci. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 29/328)

Imam Syihabuddin al-Ramli turut menyatakan 'iddah wanita istihadah (mustahadah) kembali  kepada kiraan  sucinya  iaitu kembali berpegang pada kiraan kebiasaan haid dan suci. Sementara itu, tempoh ‘iddah  bagi wanita mutahayyirah ialah tiga bulan dengan serta merta.(Rujuk Fath al-Rahman Bi Syarh Zubad Ibn Raslan,821)

PENUTUP

Konklusinya, terdapat beberapa pembahagian iddah bagi wanita yang mengalami istihadah :

  1. ‘Iddah wanita istihadah yang bercerai hidup seperti berikut :

-Wanita istihadah yang lupa kadar dan waktu hari kebiasaaan haidnya (mustahadah mutahayyirah) maka iddahnya tiga bulan

-Wanita istihadah yang dapat mengingati hari kebiasaan haidnya, maka hendaklah berpegang dengan hari kebiasaan haidnya atau berpandukan perbezaan warna darah iaitu beriddah dengan haid iaitu 3 kali suci 

2. Iddah wanita istihadah yang bercerai mati adalah 4 bulan 10 hari berdasarkan firmaNya yang telah dikemukakan

3. Iddah wanita istihadah yang mengandung ialah selepas melahirkan anak seperti dalil yang telah dikemukakan.

4.Bagi mengetahui tempoh iddah wanita yang keguguran sila rujuk pautan di bawah ini: (https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4227-irsyad-al-fatwa-siri-ke-428-tempoh-iddah-bagi-wanita-yang-keguguran)