اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1805: BOLEHKAH TAKBIR RAYA SELAIN DARIPADA HARI RAYA DAN BENARKAH MAYAT MENANGIS APABILA MENDENGAR TAKBIR RAYA SELAIN DARIPADA HARI RAYA

ak1805.JPG

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada beberapa soalan. Yang pertama bolehkah kita takbir raya secara lantang selain daripada waktu raya dan yang kedua, benarkah mayat akan menangis apabila melaungkan takbir raya bukan pada waktunya.

Ringkasan Jawapan

Melaungkan takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyrik adalah perkara yang tidak disunatkan untuk melakukannya dan ia boleh mendatangkan kejanggalan dan fitnah dalam kalangan masyarakat. Namun, sekiranya ia dilakukan secara bersendirian maka dibenarkan bahkan digalakkan kerana berzikir kepada Allah SWT merupakan perkara yang dituntut dan takbir raya merupakan salah satu daripada zikir kepada Allah SWT. Manakala, melaungkan takbir raya pada selain hari raya akan menyebabkan mayat di dalam kubur menangis tidak dijumpai nas dan dalil yang menyebutkan sedemikian.

Huraian Jawapan

Sambutan hari raya Aidilfitri disambut dengan gema takbir bagi menggambarkan syiar Islam di samping meraikan kemenangan dalam menghadapi ujian dan dugaan di bulan Ramadan. Takbir pada hari raya merupakan perkara yang disunatkan berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan mudah-mudahan kamu bersyukur.

Al-Baqarah (185)

Umat islam disyariatkan supaya melaungkan takbir apabila terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan dengan suara yang lantang bagi menggambarkan kegembiraan dan menunjukkan syiar islam. Imam al-Khatib al-Syirbini menyebutkan di dalam karyanya:

وَهَذَا كُلُّهُ فِي التَّكْبِيرِ الَّذِي يَرْفَعُ بِهِ صَوْتَهُ وَيَجْعَلُهُ شِعَارَ الْيَوْمِ

Maksudnya: Ini semuanya berkaitan hukum pada takbir yang dilaungkan dengan suara yang lantang dan dijadikannya sebagai syiar pada hari itu (hari raya).[1]

Begitu juga umat islam disunatkan untuk melakukannya tanpa mengira waktu dan tempat bermula terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan solat Aidilfitri. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

وقال الجمهور: يكبر في المنازل والمساجد والأسوق والطرق أي عند الغدو إلى الصلاة جهراً، إلى أن تبدأ الصلاة

Maksudnya: Menurut pandangan jumhur ulama: Melaungkan takbir ketika di rumah, masjid, pasar dan jalan. Iaitu pada hari sebelum solat (solat sunat hari raya) secara lantang sehinggalah hendak memulakan solat (solat sunat hari raya).[2]

Oleh itu, jelas bahawa sunat melaungkan takbir raya dengan suara yang lantang untuk menunjukkan kegembiraan dan syiar islam serta ianya disyariatkan pada hari raya dan juga hari tasyriq sahaja.

Namun, timbul persoalan berkenaan dengan adakah dibolehkan untuk takbir raya pada hari yang lain. Justeru, dalam menjawab persoalan ini, secara asasnya takbir termasuk di dalam amalan berzikir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Bahkan ia juga merupakan ucapan yang disukai oleh Allah SWT berdasarkan keumuman hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA, sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللهِ أَرْبَعٌ: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ

Maksudnya: Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah SWT: Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (Lailahaillallah) dah Takbir (Allahu Akbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu.

Riwayat Muslim (2137)

Namun, takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyriq bukanlah menjadi perkara yang disunatkan. Hal ini kerana, takbir raya hanya disyariatkan pada hari raya dan hari tasyriq sahaja akan tetapi tidak menjadi masalah apabila ia dilakukan secara bersendirian. Berkenaan dengan hal ini, Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Haramain, katanya:

جَمِيعُ مَا ذَكَرْنَاهُ هُوَ فِي التَّكْبِيرِ الَّذِي يَرْفَعُ بِهِ صَوْتَهُ وَلِجَعْلِهِ شِعَارًا أَمَّا إذَا اسْتَغْرَقَ عُمْرَهُ بِالتَّكْبِيرِ فِي نَفْسِهِ فَلَا مَنْعَ مِنْهُ

Maksudnya: Setiap yang telah kami sebutkan adalah untuk takbir yang dilaungkan dengan suara yang lantang dan dijadikan syiar. Namun, sekiranya menghabiskan umurnya dengan bertakbir bersendirian maka tidak ada tegahan daripadanya. [3]

Mayat Menangis Apabila Takbir Raya Selain daripada Hari Raya

Merujuk kepada persoalan kedua, dikatakan bahawa keadaan mayat akan menangis apabila mendengar takbir raya yang dilaungkan pada hari selain daripada hari raya , sama ada sebelum atau selepasnya. Perkara ini tidak dijumpai sandaran dalil dan nas yang menyebutkan tentangnya.

Namun tidak dinafikan bahawa mayat boleh mendengar keadaan di atas dunia ini. Sebagai contoh, mayat boleh mendengar bunyi tapak kasut sahabatnya yang telah mengkebumikannya apabila sahabat-sahabatnya pulang meninggalkannya. Hal ini sebagaimana yang diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, Sabda Nabi SAW:

الْعَبْدُ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ، وَتُوُلِّيَ وَذَهَبَ أَصْحَابُهُ حَتَّى إِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ

Maksudnya: Jika suatu jenazah sudah diletakkan didalam kuburnya dan teman-temannya sudah berpaling pergi meninggalkannya, jenazah tersebut akan mendengar gerak langkah kasut mereka.

Riwayat Bukhari (1338)

Kesimpulan

Melaungkan takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyrik adalah perkara yang tidak disunatkan untuk melakukannya dan perkara tersebut boleh mendatangkan kejanggalan dalam kalangan masyarakat. Namun, sekiranya ia dilakukan secara bersendirian maka dibenarkan bahkan digalakkan kerana berzikir kepada Allah SWT merupakan perkara yang dituntut dan takbir raya merupakan salah satu daripada zikir kepada Allah SWT. Manakala, melaungkan takbir raya pada selain hari raya akan menyebabkan mayat di dalam kubur menangis tidak dijumpai nas dan dalil yang menyebutkan sedemikian.

Wallahu’alam

 

[1] Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Faz al-Minhaj, Syamsuddin al-Khatib al-Syirbini, Dar Kitab Ilmiyyah, 1415H,1/594

[2] Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili, Dar Fikr Dimasq, t.t, 2/1406

[3] Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab,Abu Zakaria al-Nawawi, Dar al-Fikr, t.t, 5/38