SOALAN
Assalamualaikum. Baru-baru ini timbul isu tentang derma ke tabung-tabung tertentu yang tidak sampai kepada penerimanya yang sepatutnya, namun diselewengkan dan digunakan bagi tujuan lain. Soalan saya, adakah pahala penderma diterima jika derma tersebut tidak sampai kepada penerima yang berhak yang diniatkan olehnya?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Pahala derma yang diniatkan kerana Allah SWT pasti akan diterima oleh-Nya walaupun tidak sampai kepada penerima yang diniatkan, bahkan walaupun diterima oleh orang yang tidak layak menerimanya seperti pencuri, orang kaya dan sebagainya. Sesungguhnya Allah SWT tidak mensia-siakan amalan kebajikan yang dilakukan ikhlas kerana-Nya.
Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, kita perlu menyelidik untuk memastikan bahawa derma itu sampai kepada golongan yang sepatutnya agar ia dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Oleh yang demikian, janganlah menderma kepada tabung-tabung yang terbukti menyeleweng dan menggunakannya bagi tujuan lain, sebaliknya dermalah kepada pihak-pihak yang dipercayai.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Amalan menderma merupakan satu amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Sesungguhnya setiap apa yang didermakan kerana Allah SWT pasti akan mendapat ganjaran pahala seperti janji-Nya di dalam al-Quran:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sembunyi atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah: 274)
Firman Allah SWT lagi:
إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.
(Surah al-Hadid: 18)
Hal ini kerana setiap seseorang itu diberikan ganjaran berdasarkan apa yang diniatkan olehnya, berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bahawa:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapati atau perempuan untuk dikahwini, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Oleh itu, jika sekiranya dia berniat untuk menderma wang tersebut ke jalan Allah SWT, maka dia tentu mendapat pahala di sisi Allah SWT walaupun tidak sampai kepada penerimanya yang berhak.
Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ رَجُلٌ: لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ، لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ زَانِيَةٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ، عَلَى زَانِيَةٍ؟ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ، فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ، فَوَضَعَهَا فِي يَدَيْ غَنِيٍّ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ: تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ الحَمْدُ، عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ، فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ: أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ، وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا، وَأَمَّا الغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ.
Maksudnya: Seorang lelaki berkata: “Aku pasti akan bersedekah.” Lalu dia keluar untuk menyampaikan sedekahnya dan memberikannya kepada seorang pencuri. Kemudian pada keesokan paginya, orang ramai bercerita tentang seorang pencuri yang telah diberikan sedekah, lalu dia menyebut, “Ya Allah, sesungguhnya segala puji-pujian hanyalah bagi-Mu, aku pasti akan bersedekah.” Kemudian dia keluar lagi untuk bersedekah dan memberikannya kepada seorang perempuan pelacur dan juga kepada seorang yang kaya-raya pula. Lalu dikatakan kepadanya, “Mudah-mudahan sedekah yang kamu berikan kepada si pencuri itu akan menghalang dirinya daripada mencuri. Adapun kepada pelacur tersebut, moga-moga dia menjaga kehormatan diri daripada perbuatan zinanya itu. Manakala kepada orang kaya itu, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran dan menyedekahkan harta yang telah diberikan oleh Allah SWT kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (1421)
Hadis ini menceritakan seorang yang mendermakan kepada orang yang tidak sepatutnya dalam keadaan dia tidak mengetahuinya. Kata Imam al-Syaukani dalam kitabnya Nail al-Awtar:
قَوْلُهُ: (فِي يَدِ سَارِقٍ) أَيْ وَهُوَ لَا يَعْلَمُ أَنَّهُ سَارِقٌ وَكَذَلِكَ عَلَى زَانِيَةٍ وَكَذَلِكَ عَلَى غَنِيٍّ
Maksudnya: Sabda Rasulullah SAW: “Dia memberinya (derma) pada tangan pencuri”, maksudnya dalam keadaan dia tidak mengetahui orang tersebut merupakan seorang pencuri, begitu juga halnya kepada penzina dan orang kaya tersebut.[1] (Rujuk Nail al-Awtar, 4:183)
Ibn Hajar al-Asqalani mensyarahkan hadis ini dalam kitab Fath al-Bari berkata:
وَفِيهِ أَنَّ نِيَّةَ الْمُتَصَدِّقِ إِذَا كَانَتْ صَالِحَةً قُبِلَتْ صَدَقَتُهُ وَلَوْ لَمْ تَقَعِ الْمَوْقِعَ
Maksudnya: Dalam hadis ini dapat difahami bahawa jika sekiranya niat orang yang memberi sedekah itu baik, maka diterima pahala sedekahnya walaupun tidak sampai kepada tangan orang yang berhak menerimanya.[2] (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:291)
Oleh itu, pahala sedekah yang diberikan dengan niat yang baik, maka ia diterima oleh Allah SWT walaupun diberikan pada tangan yang tidak berhak menerimanya, sama ada pencuri, pelacur, orang kaya dan seumpamanya.
Walau bagaimanapun, kita hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyelidik untuk memastikan bahawa derma itu sampai kepada golongan sasarannya supaya wang itu dapat dimanfaatkan oleh orang yang selayaknya dengan sebaiknya. Kata al-Qurtubi dalam tafsirnya:
فَإِذَا اجْتَهَدَ وَأَعْطَى مَنْ يَظُنُّهُ مِنْ أَهْلِهَا فَقَدْ أَتَى بالواجب عليه.
Maksudnya: Jika dia berijtihad lalu memberikan (derma) kepada sesiapa yang disangkanya daripada orang yang layak menerimanya, maka dia telah menunaikan kewajipan ke atasnya (jika sekiranya ia wajib seperti zakat dan nazar).[3] (Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8:176)
Oleh itu, jika sekiranya kita mengetahui bahawa terdapat tabung-tabung yang terbukti menyeleweng dan menggunakan derma yang dikutip tersebut untuk tujuan lain, maka kita tidak patut untuk menderma ke dalam tabung tersebut, sebaliknya dermalah pihak-pihak yang lebih dipercayai.
WaAllahu a’lam.
RUJUKAN
[1] Al-Syaukani, Muhammad Ibn Ali, 1993, Nail al-Awtar, Dar al-Hadis, Kaherah, jld. 4, hlmn. 183.
[2] Al-Asqalani, Ibn Hajar, 1379h, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, jld. 3, hlmn. 291
[3] Al-Qurtubi, Syamsuddin, 1964, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Dar al-Kutub al-Misriyyah, Kaherah, jld. 8, hlmn. 176.