Soalan
Assalamualaikum, saya ada permasalahan sedikit. Mohon pencerahan SS Tuan Mufti.
Saya pernah mendapat sebuah kitab ketika mengikuti kelas usrah suatu ketika dahulu. Salinan buku yang saya dapat ini sedikit comot selepas ditulis nota-nota dan diulang cetak berulang kali. Oleh itu, saya terfikir untuk menyalin semula dan menerbitkan dalam keadaan yang lebih baik supaya kawan-kawan yang lain dapat memilikinya sama. Suatu ketika dahulu, saya sendiri pernah menghubungi penerbit kitab tersebut sebab saya sangat suka untuk memilikinya dalam versi asal yang semestinya lagi indah dan baik rupa keadaannya. Namun, pihak penerbit memberitahu kitab tersebut sudah tidak diterbitkan lagi.
Persoalannya, sekiranya saya menjual kitab tersebut setelah saya menulis semula kitab tersebut yang semestinya tiada maklumat baru yang akan ditambah, apakah hukumnya?
Jawapan Ringkas
Sekiranya penjualan kitab tersebut sekadar menampung kos percetakan, maka ia dibenarkan. Namun, sekiranya bertujuan mengaut keuntungan maka ia tidak dibenarkan melainkan mendapatkan persetujuan dan kebenaran daripada pemilik hak cipta yang berkaitan terutamanya penerbit bagi mengelakkan daripada mengambil hak orang lain tanpa izin.
Huraian Jawapan
Hak Cipta Penulisan merupakan sebahagian daripada hak intelektual yang diiktiraf oleh Syarak dan undang-undang. Hak ini diberikan kepada pencipta karya sebagai timbal balik kepada usaha intelektual yang dilakukan. Selain itu, memberikan keistimewaan yang hanya terhad kepadanya untuk memperoleh segala manfaat termasuklah manfaat kewangan hasil daripada penyebaran dan penerbitan karya tersebut. Hak ini dikongsi bersama penulis sebuah karya dan penerbit berdasarkan penentuan syarat dan perjanjian bersama.
(Rujuk: al-Muamalat al-Maliah al-Mu’asirah, hlm. 41-42)
Berdasarkan undang-undang Malaysia, pencipta karya mempunyai hak eksklusif untuk mengawal penggunaan karya mereka dalam tempoh masa tertentu di bawah perlindungan Akta Hak Cipta 1987.
Melihat Hak Cipta Penulisan dari sudut pandang Syariah pula, majoriti ulama menganggapnya sebagai suatu hak yang perlu diiktiraf lantas mengharuskan manfaat kewangan yang diperoleh daripadanya. Pendirian mereka berasaskan beberapa hujah:
Pertama: Harta dalam bentuk manfaat merupakan salah satu bentuk harta yang diiktiraf oleh majoriti ulama selain daripada harta berbentuk fizikal (‘ain). Idea atau produk yang dicetuskan oleh akal pemikiran manusia tidak dinafikan juga termasuk dalam kategori manfaat lantas dikira sebagai bentuk harta yang boleh diperdagangkan dan diniagakan.
Manfaat dianggap sebagai salah satu bentuk harta melihat kepada kecenderungan manusia untuk memiliki dan mendapatkannya, sama seperti konsep harta fizikal. Bahkan, bukti yang jelas ditunjukkan oleh pengamalan masyarakat umum yang menganggap buku-buku dan karya penerbitan sebagai salah satu bentuk perniagaan.
Terdapat bukti di dalam al-Quran yang mengiktiraf manfaat sebagai harta. Hal ini menerusi perbualan yang berlaku antara Nabi Syuaib AS dan Nabi Musa AS:
قَالَ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ابْنَتَيَّ هَاتَيْنِ عَلَىٰ أَن تَأْجُرَنِي ثَمَانِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَا أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama lapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dalam kalangan orang-orang yang baik layanannya”.
(Surah al-Qasas: 27)
Syarak mengiktiraf ‘khidmat pekerjaan’ (manfaat) sebagai mahar sedangkan secara asalnya mahar merupakan dalam bentuk harta fizikal seperti wang ringgit, emas dan sebagainya.
Kedua: Uruf merupakan salah satu dalil yang boleh dijadikan sandaran hukum dengan syarat tidak bertentangan dengan dalil Syarak yang utama seperti al-Quran dan Hadis atau prinsip asas dalam Islam. Dalam kes di atas, uruf masyarakat umum menganggap penulis karya berhak terhadap penulisannya, begitu juga imbalan dan royalti yang diterima hasil daripada karya tersebut.
(Rujuk: al-Muamalat al-Maliah al-Mu’asirah, m/s 44-45)
Imam al-Suyuthi Rhm. (wafat 911H) dalam kitabnya menukilkan pandangan imam Syafie yang menyebut:
“Sesuatu perkara hanya disebut sebagai ‘harta’ apabila ia mempunyai nilai yang boleh diperdagangkan. Lantaran itu, seseorang berhak meminta ganti rugi kepada mereka yang merosakkannya”.
(Rujuk: al-Asybah wa al-Nazhair, 1/327)
Berdasarkan perbahasan di atas, secara asalnya sebarang pencetakan semula dan penulisan semula buku yang dimiliki oleh orang lain hendaklah meminta izin pencipta karya dan pihak penerbit terlebih dahulu kerana bersangkut paut dengan hak mereka. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam larangan ‘mengambil hak orang lain tanpa izin’ yang diharamkan Syarak.
Namun begitu, terdapat beberapa keadaan dan situasi yang dikecualikan daripada terpalit dengan pelanggaran hak cipta. Berdasarkan Akta Hak Cipta 1987, pengecualian daripada meminta izin pemilik karya asal diberikan sekiranya pencetakan semula dibuat untuk tujuan penyelidikan, pengajian sendiri, kritikan, dan lain-lain dengan syarat meletakkan judul karya atau sumber dan penciptanya.
Dalam kaedah Fiqh ada disebutkan,
المعروف بين التجار كالمشروط بينهم
Maksudnya: “Sesuatu yang masyhur diketahui antara pedagang (kedudukannya) sama seperti syarat yang ditetapkan sesama mereka”.
(Rujuk: Syarh Majallah al-Ahkam, 1/51)
Aplikasi kaedah ini adalah setiap penerbit dan pemilik karya buku mengetahui bahawa undang-undang membenarkan karya mereka diterbitkan dan dicetak semula walaupun tanpa izin mereka selagi mana tujuannya mengikut apa yang ditetapkan.
Oleh itu, dapat difahami bahawa sesiapa yang mencetak semula dengan tujuan tersebut adalah dibenarkan dan dianggap ‘mendapat izin daripada pemilik karya dan penerbit asal’ selagi mana bukan bertujuan komersial dan berjual beli untuk mengaut keuntungan daripadanya.
Kesimpulannya, sekiranya penjualan kitab tersebut sekadar menampung kos percetakan, maka ia dibenarkan. Namun, sekiranya bertujuan mengaut keuntungan maka ia tidak dibenarkan melainkan mendapatkan persetujuan dan kebenaran daripada pemilik hak cipta yang berkaitan terutamanya penerbit.
Wallahu a’lam.