اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1860: HUKUM LARI DARIPADA MEMBAYAR CUKAI

Poster Hukum Lari Cukai

 

Soalan:

Apakah hukumnya lari daripada membayar cukai? Contohnya dengan menyembunyikan jumlah sebenar pendapatan yang diterima dalam borang cukai pendapatan. Jazakallahu khair.

 

Ringkasan Jawapan

Perbuatan lari daripada membayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan penipuan adalah dilarang kerana perbuatan menipu itu sendiri jelas satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama. Selain daripada itu perbuatan tersebut boleh membawa kepada berkurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi, merancang program-program pembangunan serta menghulurkan bantuan untuk kemaslahatan rakyat.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari pembalasan.

 

Cukai dalam Islam

Perbahasan berkenaan cukai menurut sudut pandang Islam merupakan satu perdebatan panjang yang menjadi khilaf ulama sejak zaman berzaman. Namun secara ringkasnya, setelah meneliti hujah dan pandangan para ulama, di samping melihat kepada realiti semasa, kerajaan harus untuk mengenakan cukai terhadap rakyat yang diletakkan dalam satu sistem yang teratur, dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Suasana ekonomi sesebuah negara perlu diambil kira termasuk di Malaysia di mana keadaan ekonomi masih lagi tidak mencukupi untuk hanya bergantung kepada beberapa sumber dan hasil mahsul, justeru keperluan mengenakan cukai adalah bersifat mendesak.

Perbuatan lari daripada membayar cukai (tax evasion) merupakan satu gejala kronik yang menimpa banyak negara, termasuklah Malaysia yang telah mengakibatkan kerugian yang besar. Pada tahun 2016, laporan The Malaysian Reserve mendedahkan, kira-kira RM1 bilion cukai tidak diisytiharkan oleh golongan profesional di negara ini.[1] Pada 2019 pula, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendedahkan bahawa Kerajaan kerugian kira-kira RM90 juta pada tahun tersebut berikutan 1,800 kenderaan import yang dibawa masuk ke negara ini 'lari' daripada membayar cukai.[2]

Berikut kami senaraikan ringkasan beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh badan-badan fatwa sedunia berkenaan isu ini:

1. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah[3]

Perbuatan menipu dan memberikan maklumat palsu berkenaan pendapatan yang diterima untuk mengelak daripada cukai adalah diharamkan, bahkan ia merupakan salah satu dosa besar disisi syarak. Hal ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang jelas dilarang oleh syarak, serta ia akan menyebabkan negara tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik kerana cukai merupakan antara sumber pendapatan penting sesebuah negara dalam menguruskan urusan rakyatnya.

2. Majlis al-Ifta’ wa al-Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyyah (Jordan)[4]

Kestabilan ekonomi negara dan memelihara harta awam merupakan Maqasid Syariah yang dituntut dan tugas merealisasikannya ialah tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul oleh setiap rakyat. Perbuatan lari daripada membayar cukai merupakan satu ancaman terhadap objektif ini. Justeru, setiap Muslim mestilah tetap melaksanakan tanggungjawab membayar cukai dan patuh terhadap undang-undang negara, serta tidak terpengaruh dengan sikap mereka yang sengaja melanggar aturan percukaian yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, membayar cukai yang ditetapkan oleh kerajaan merupakan satu kewajipan selaras dengan kaedah agama yang menyeru mentaati arahan pemerintah pada perkara yang ada maslahat padanya.

Perbuatan lari daripada membayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan penipuan adalah dilarang kerana perbuatan menipu itu sendiri jelas satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama, selain daripada akibat daripada perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada berkurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi dan merancang program-program pembangunan serta bantuan untuk rakyat yang memerlukan.

 

[1] Rujuk pautan: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/15/kerajaan-rugi-rm1-bilion-kerana-doktor-elak-cukai/

[2] Rujuk pautan: https://www.sinarharian.com.my/article/59015/BERITA/Nasional/Kerajaan-rugi-RM90-juta-kenderaan-import-lari-cukai

[3] Rujuk pautan: www.dar-alifta.org/Home/ViewFatwa?ID=12092&title=الكذب%20للتهرب%20من%20الضرائب%20-%20فضيلة%20الدكتور%20نصر%20فريد%20واصل atau http://www.fatawa.com/view/13844/?search=&frompage=list

[4] Rujuk pautan: http://www.fatawa.com/view/1266/?search=&frompage=list


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+