اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1873: HUKUM BERAMAL DENGAN SELAWAT MUNJIYYAT

ak_1873.PNG

Soalan

Assalamualaikum. Izinkan saya bertanya. Apakah hukum mengamalkan selawat munjiyat? Dikatakan selawat ini datang daripada mimpi seseorang yang salih. Mohon pencerahan daripada pihak Pejabat Mufti Wilayah Perseketuan. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan

Tidak menjadi sebarang masalah untuk beramal dengan selawat Munjiyyat. Ini kerana lafaz dan maknanya tidak bercanggah dengan ketetapan syarak. Namun begitu, selawat yang terbaik adalah selawat yang bersumberkan dalil dan nas seperti beramal dengan selawat Ibrahimiyyah yang telah diajar oleh Baginda Nabi SAW, bahkan ia merupakan sebaik-baik amalan.

Huraian Jawapan

Amalan berselawat merupakan perkara yang disarankan dan dituntut di dalam syarak. Bahkan dengan berselawat dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping memohon syafaat Baginda SAW. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW sudah tentu menjadi satu impian supaya dapat berada di samping Baginda SAW pada hari akhirat kelak. Hal ini sebagaimana yang disarankan oleh Baginda Nabi SAW kepada umatnya di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, sabda Nabi SAW:

أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَىَّ صَلاَةً

Maksudnya: Orang yang paling utama bersama ku pada hari kiamat adalah mereka yang banyak berselawat ke atasku.

Riwayat al-Tirmizi (484)

Selawat Munjiyyat jika diterjemahkan ia bermaksud ‘selawat penyelamat’. Kisah selawat ini diceritakan oleh Fairuzabadi di dalam karyanya al-Silatu wal Bushra fi al-Salat ala Khair al-Basyar menyatakan bahawa al-Imam Umar bin Ali al-Lakhmi al-Maliki menukilkan daripada Syeikh al-Salih Musa al-Darir menceritakan bahawa ketika beliau berada di atas kapal sewaktu belayar di lautan, tiba-tiba kapal yang dinaikinya itu dilanda ribut taufan (al-Iqlabiah). Beliau menceritakan bahawa tidak ramai yang selamat apabila menempuhi taufan ini. Kemudian, dalam keadaan ketakutan dan kelam-kabut itu beliau kepenatan dan tertidur lalu bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Dalam mimpi tersebut, Baginda mengajar supaya beliau dan anak kapal lain membaca selawat tersebut sebanyak seribu kali dengan lafaz:

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تُنَجِّينا بها من جميع الأهوال والآفات، وتقضي لنا بها جميع الحاجات، وتطهرنا بها من جميع السيئات، وترفعنا عندك بها أعلى الدرجات، وتبلغنا بها أقصى الغايات من جميع الخيرات في الحياة وبعد الممات.

Maksudnya: Ya Allah limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad dan ke atas ahli keluarga Baginda, Dengan keberkatan selawat itu selamatkanlah kami dari segala ketakutan dan kerosakan, dengan keberkatan selawat itu tunaikanlah segala hajat kami, dengan keberkatan selawat itu sucikanlah kami dari segala kejahatan, dengan keberkatan selawat itu angkatkanlah darjat kami kepada darjat yang tertinggi, dengan keberkatan selawat itu sampaikanlah kami kepada matlamat yang sempurna dalam semua kebaikan  sewaktu hidup dan setelah mati.

Selepas beliau terjaga daripada tidur, beliau menyampaikan amanat Baginda Nabi SAW kepada anak kapal. Mereka membaca selawat ini sehingga tiga ratus kali lalu Allah SWT menghilangkan badai tersebut dan keadaan kembali tenang.[1]

Berdasarkan isi kandungan selawat ini, tidak terdapat perkara yang bertentangan dengan syarak sama ada dari sudut makna dan lafaz. Ia hanya lafaz selawat serta doa supaya dihindarkan daripada musibah. Dari sudut yang lain, selawat ini juga bertepatan dengan adab dan etika ketika berdoa sepertimana yang disarankan oleh syarak. Saranan tersebut adalah dengan menggabungkan selawat dan doa agar dipermudahkan oleh Allah SWT dengan keberkatan selawat ke atas Baginda SAW. Perkara ini seperti yang diriwayatkan oleh Sa’id bin Musayyab, Saidina Umar al-Khattab RA berkata:

قَالَ إِنَّ الدُّعَاءَ مَوْقُوفٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ لاَ يَصْعَدُ مِنْهُ شَيْءٌ حَتَّى تُصَلِّيَ عَلَى نَبِيِّكَ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sesungguhnya doa itu akan tergantung di antara langit dan bumi, tidak akan terangkat sehinggalah kamu berselawat ke atas nabi kamu SAW

Riwayat al-Tirmizi (486)

Selain itu juga, ia berkait rapat dengan konsep tawassul dengan amalan soleh seperti selawat. Hal ini sebagaimana kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua, lalu mereka bertawassul dengan amalan baik yang dilakukan. Lalu Allah SWT menerima doa mereka dan dipermudahkan urusan mereka keluar dari gua tersebut. kisah ini diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.Anhuma, Sesungguhnya Nabi SAW bersabda:

بَيْنَمَا ثَلاَثَةُ نَفَرٍ مِمَّنْ كَانَ قَبْلَكُمْ يَمْشُونَ إِذْ أَصَابَهُمْ مَطَرٌ، فَأَوَوْا إِلَى غَارٍ، فَانْطَبَقَ عَلَيْهِمْ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ إِنَّهُ وَاللَّهِ يَا هَؤُلاَءِ لاَ يُنْجِيكُمْ إِلاَّ الصِّدْقُ، فَلْيَدْعُ كُلُّ رَجُلٍ مِنْكُمْ بِمَا يَعْلَمُ أَنَّهُ قَدْ صَدَقَ فِيهِ

Maksudnya: Ketika tiga orang sahabat (dari kalangan umat terdahulu) mengembara lalu hujan mulai turun menimpa mereka kemudian mereka berlindung dengan masuk ke dalam gua. Sedang mereka berlindung di dalam gua, lalu pintu gua itu tertutup. Lantas mereka berkata sesama mereka, Demi Allah hanya kebenaran yang akan menyelamat kamu semua. Maka berdoalah di anatara kamu kepada Allah dengan bersandarkan amalan yang dilakukan dengan ikhlas.

Riwayat al-Bukhari (3465)

Berkaitan dengan hukum beramal dengan perkara yang berlandaskan mimpi adalah dibolehkan sekiranya tidak bertentangan dengan akidah Islam dan tidak melanggar batasan hukum hakam syarak. Tambahan pula mimpi itu datang daripada mereka yang beramal soleh, jujur dan sentiasa berkata benar[2]. Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Maksudnya: Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar pertuturannya.

Riwayat Muslim (6042)

Namun, sumber berdasarkan mimpi tidak boleh dijadikan sebagai hujah dan penetapan hukum syarak. Perkara ini telah diulas secara teperinci di dalam artikel yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-334 : BOLEHKAH MENGGUNAKAN MIMPI SEBAGAI HUJAH DAN MEMPERCAYAI TAKWILANNYA?

Sebagai kesimpulannya tidak menjadi sebarang masalah untuk beramal dengan selawat Munjiyyat. Ini kerana lafaz dan maknanya tidak bercanggah dengan ketetapan syarak. Namun begitu, selawat yang terbaik adalah selawat yang bersumberkan dalil dan nas seperti beramal dengan selawat Ibrahimiyyah yang telah diajar oleh Baginda Nabi SAW, bahkan ia merupakan sebaik-baik amalan.

Wallahu’alam

 

[1] Majdiddin Muhammad bin Ya’kub al-Fairuzabadi,  al-Silatu wal Bushra fi al-Salat ala Khair al-Basyar (t.p: t.tp., 1966) hlm. 146

وأخبرني الشيخ الصالح موسى الضرير: أنه ركب في مركب في البحر المالح قال: وقامت علينا ريح تسمى الأقلابية قلَّ من ينجو منها من الغرق، فضج الناس خوفاً من الغرق، قال: فغلبتني عيناي، فنمت، فرأيت النبي صلى الله عليه وآله وسلم وهو يقول: قل لأهل المركب يقولوا ألف مرة: اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تُنَجِّينا بها من جميع الأهوال والآفات، وتقضي لنا بها جميع الحاجات، وتطهرنا بها من جميع السيئات، وترفعنا عندك بها أعلى الدرجات، وتبلغنا بها أقصى الغايات من جميع الخيرات في الحياة وبعد الممات.قال: فاستيقظت، وأعلمت أهل المركب بالرؤيا، فصلينا نحو ثلاثمائة مرة؛ ففرج الله عنا، هذا أو قريب منهز

[2] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/3830-irsyad-al-fatwa-siri-ke-334-bolehkah-menggunakan-mimpi-sebagai-hujah-dan-mempercayai-takwilannya


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+