اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1881: HUKUM PEKERJA MENGAMBIL TIPS DALAM SYARIKAT YANG MENGAMALKAN POLISI NO TIPPING

1881

 

Soalan

Assalamualaikum, saya bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dan syarikat tempat saya bekerja mengamalkan polisi “No Tipping”. Tetapi, kadang-kadang ada juga pelanggan yang memberikan tip kepada saya. Soalan saya, apakah hukum saya mengambil tip tersebut?

 

Jawapan Ringkas

Hukum asal bagi memberi dan menerima tip adalah diharuskan kerana ia menyamai konsep sedekah. Namun begitu, seseorang yang bekerja di syarikat yang mengamalkan polisi no tipping tidak boleh mengambil tip yang diberikan dan perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan majikan untuk keadilan bersama.

 

Huraian Jawapan

Hukum memberikan tip adalah harus dan merupakan salah satu bentuk sedekah yang akan mendatangkan pahala buat pemberi serta akan memberi kebahagiaan kepada penghantar makanan tersebut. Rujuk artikel lepas kami dalam IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-625 : HUKUM MEMBERI TIP KEPADA PENGHANTAR MAKANAN. Klik sini

 

Namun begitu, terdapat beberapa syarikat yang mengamalkan polisi No Tipping untuk memberi keadilan kepada semua pekerja lain. Ini adalah kerana, sudah menjadi kebiasaan tip hanya akan diperoleh segelintir pekerja yang berurusan secara langsung dengan pelanggan manakala pekerja lain yang tidak berurusan secara langsung tidak mendapat apa-apa.

 

Oleh itu, polisi  no tipping yang ditetapkan mestilah dipatuhi. Hal ini juga kerana seseorang itu perlu menunaikan perjanjian dan persetujuan kontrak yang ditandatangani di hadapan majikan. Oleh yang demikian, pekerja bertanggungjawab melaksanakan akujanji yang telah dipersetujui. Rasulullah SAW bersabda:

‌الْمُسْلِمُونَ ‌عَلَى ‌شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Orang-orang Islam mesti berpegang kepada janji mereka

Riwayat Abu Daud (3594)

 

Hadis ini menyatakan bahawa apabila arahan dari seorang pemimpin atau dalam konteks ini majikan mengarahkan untuk kita lakukan sesuatu maka arahan tersebut mesti dipatuhi selagi mana arahan tersebut bukanlah untuk melakukan maksiat atau melakukan perkara yang dimurkai Allah s.w.t. (Rujuk ‘Umdatul Qari Syarh Sahih Bukhari 221/14[1])

 

Tambahan lagi, polisi yang ditetapkan tersebut bukanlah berkait dengan perkara yang haram bahkan akan dapat memberi keadilan kepada semua pekerja. Justeru, ini menjadi satu sebab kenapa polisi itu mesti dipatuhi.

 

Kesimpulan

Hukum asal bagi memberi dan menerima tip adalah diharuskan kerana ia menyamai konsep sedekah. Namun begitu, seseorang yang bekerja di syarikat yang mengamalkan polisi no tipping tidak boleh mengambil tip yang diberikan dan perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan majikan untuk keadilan bersama.

 

[1] إِذْ طَاعَة أوامرهم وَاجِبَة مَا لم يَأْمر بِمَعْصِيَة وإلَاّ فَلَا طَاعَة لمخلوق فِي مَعْصِيّة الْخَالِق