اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1893: PUSAKA ISI RUMAH

alkafi 1893

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan perabot dan perkakas dalam rumah, begitu juga benda-benda kecil seperti pinggan mangkuk, adakah ia perlu difaraidkan apabila berlakunya kematian?

 

Ringkasan Jawapan

Segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuklah perkakas rumah dan juga isinya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak. Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada sewaktu menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain ataupun merenggangkan hubungan silaturahim sesama ahli waris.

 

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

«أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»

Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.

Riwayat al-Bukhari (6732), Muslim (1615)

Hadis ini jelas menerangkan kepada kita agar membahagikan harta peninggalan si mati atau harta pusaka kepada sekalian para waris yang berhak berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga berdasarkan kepada sunnah Rasulullah SAW.

Pada dasarnya, harta pusaka ialah segala apa yang ditinggalkan oleh si mati[1] selepas kematiannya sama ada dalam bentuk harta alih seperti emas, perak, duit, perabot dan sebagainya, atau dalam bentuk harta tidak alih seperti tanah, rumah dan sebagainya. Kesemua ini termasuklah dalam takrifan harta peninggalan. Maka, apabila meninggalnya seseorang dan meninggalkan sekian-sekian harta seperti di atas, maka hendaklah ia dibahagikan kepada para warisnya yang berhak[2].

Berdasarkan kepada takrifan harta pusaka, segala isi rumah hendaklah dibahagikan secara faraid kepada seluruh ahli warisnya yang berhak. Adapun sesuatu barangan yang telah dipastikan bahawa ia milik orang lain seperti isteri atau selainnya, maka ia tidaklah menjadi harta pusaka si mati.

Bagi menentukan pembahagian terhadap harta pusaka tersebut, maka ia perlulah dinilai terlebih dahulu. Seterusnya barangan yang tiada nilai atau mempunyai nilai yang kecil, bolehlah diambil atau digunakan tanpa perlu melalui proses faraid, namun perlulah mendapat keizinan para waris yang lain. Sehubungan dengan itu, di sinilah terletaknya unsur utama dalam hal pembahagian harta iaitu sikap bertolak ansur dan keprihatinan.

Antara nilai murni lain yang perlu diambil kira sewaktu proses pembahagian pusaka ini juga termasuklah sikap kebertanggungjawaban dan tidak mementingkan diri sendiri. Hal ini kerana, apabila berlakunya kematian, lalu sikap-sikap tidak baik seperti tamak dan mementingkan diri sendiri ini muncul, maka ia boleh meruntuhkan dan juga merenggangkan hubungan baik sesama keluarga atas sebab perebutan harta. Maka, dalam hal ini, para waris sebaiknya saling bertolak ansur sesama mereka bagi menentukan pembahagian pada barangan tersebut berjalan lancar.

Kesimpulannya, segala sesuatu yang ditinggalkan si mati termasuklah perkakas rumah dan juga isinya pada asasnya merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan secara faraid kepada para warisnya yang berhak. Dalam masa yang sama, sikap bertolak ansur dan juga keprihatinan perlulah ada sewaktu menentukan jenis harta yang perlu dibahagikan secara faraid agar tidak pula menzalimi orang lain ataupun merenggangkan hubungan silaturahim sesama ahli waris.

Wallahu A‘lam.

[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 4/7.

(يُبْدَأُ) وُجُوبًا (مِنْ تَرِكَةِ الْمَيِّتِ) وَهِيَ مَا يُخَلِّفُهُ فَتَصْدُقُ بِمَا تَرَكَهُ مِنْ خَمْرٍ صَارَ خَلًّا بَعْدَ مَوْتِهِ، وَمِنْ شَبَكَةٍ نَصَبَهَا فَوَقَعَ فِيهَا بَعْدَ مَوْتِهِ صَيْدٌ فَيُورَثُ ذَلِكَ عَنْهُ، وَكَذَلِكَ الدِّيَةُ الْمَأْخُوذَةُ فِي قَتْلِهِ بِنَاءً عَلَى الْأَصَحِّ مِنْ دُخُولِهَا فِي مِلْكِهِ قُبَيْلَ مَوْتِهِ كَمَا قَالَهُ الزَّرْكَشِيُّ، وَنَظَرَ بَعْضُهُمْ فِي الصُّورَةِ الثَّانِيَةِ فَالتَّعْبِيرُ بِالتَّرِكَةِ أَوْلَى مِنْ التَّعْبِيرِ بِالْمَالِ الْمُتَخَلِّفِ

[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 5/71.

التركة: هي جميع ما يخلفه الميت بعد موته، من أموال منقولة، كالذهب والفضة وسائر النقود والأثاث، أو غير منقولة كالأراضي والدور وغيرها. فجميع ذلك داخل في مفهوم التركة، ويجب إعطاؤه لمن يستحقه.