اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1900: TERSILAP NIAT SOLAT ASAR, BOLEHKAH TUKAR KEPADA SOLAT ZOHOR?

Screenshot 2022 11 16 at 11.12.10 AM min

 

Soalan:

Suatu ketika saya pernah bangun untuk solat Zohor, tapi entah kenapa dalam hati saya niatkan untuk solat Asar. Setelah masuk ke rakaat kedua barulah saya sedar akan perkara tersebut. Jadi adakah sah solat jika saya meniatkan dalam hati untuk menukarnya kepada solat Zohor dan menyambung solat seperti biasa? 

Ringkasan Jawapan:

Perbuatan menukar niat solat fardu kepada solat fardu yang lain ketika sedang solat akan menyebabkan solat yang sedang dilakukan seseorang itu terbatal, dan niat solat yang baharu itu juga tidak tercapai.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pada asalnya, antara perkara yang membatalkan solat ialah perbuatan menukar niat solat itu sendiri. Kata Imam al-Khatib al-Syarbini:

(وَ) السَّادِسُ (تَغْيِيرُ النِّيَّةِ) إلَى غَيْرِ الْمَنْوِيِّ، فَلَوْ قَلَبَ صَلَاتَهُ الَّتِي هُوَ فِيهَا صَلَاةً أُخْرَى عَالِمًا عَامِدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ

Maksudnya: Perkara keenam yang membatalkan solat ialah menukar niat kepada perkara yang tidak diniatkan pada asalnya; maka jika seseorang itu menukar solat yang sedang dilakukannya kepada solat lain secara sengaja, maka solatnya terbatal.[1]

Namun dalam hal ini terdapat perincian. Kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’:

قال الماوَرْدِيُّ: نقلُ الصلاةِ إلى صلاةٍ أقسامٌ: أحدُها: نقلُ فرضٍ إلى فرض: فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثاني: نقلُ نفلٍ راتبٍ إلى نفلٍ راتبٍ؛ كَوِتْرٍ إلى سنةِ الفجر فلا يحصلُ واحدٌ منهما، الثالث: نقلُ نفلٍ إلى فرضٍ فلا يحصل واحدٌ منهما

Maksudnya: Kata al-Mawardi: Perpindahan satu solat kepada satu solat yang lain ada beberapa jenis. Pertama: Perpindahan solat fardhu kepada solat fardhu yang lain, maka tidak diperolehi salah satu dari duanya sama sekali. Kedua: Perpindahan sunat sunat ratib kepada solat sunat ratib yang lain, seperti dari solat witir kepada solat sunat fajar, maka tidak diperolehi salah satu daripada keduanya sama sekali. Ketiga: Perpindahan solat sunat kepada solat fardu, maka tidak diperolehi salah satu daripada kedua-duanya sama sekali.[2]

Imam al-Nawawi menyebut juga pada tempat yang lain:

مَتَى دَخَلَ فِي فَرِيضَةٍ ثُمَّ صَرَفَ نِيَّتَهُ إلَى فَرِيضَةٍ أُخْرَى أَوْ نَافِلَةٍ بَطَلَتْ الَّتِي كَانَ فِيهَا وَلَمْ يَحْصُلْ الَّتِي نَوَاهَا بِلَا خِلَافٍ لِمَا ذَكَرَهُ وَفِي انْقِلَابِهَا نَافِلَةً خِلَافٌ قَالَ أَصْحَابُنَا مَنْ أَتَى بِمَا يُنَافِي الْفَرِيضَةَ دُونَ النَّفْلِيَّةِ فِي أَوَّلِ فَرِيضَةٍ أَوْ اثنائها بطل فرضه

Maksudnya: Jika seseorang itu memulakan solat fardu, lalu dia menukar niatnya kepada solat fardu yang lain, atau solat sunat, maka batallah solat yang sedang dilakukannya, dan dia juga tidak memperoleh solat yang diniatkannya itu, tanpa sebarang khilaf berdasarkan apa yang disebut oleh para ulama. Adapun sama ada solat itu bertukar kepada solat sunat, padanya terdapat khilaf. Kata para ulama ashab: Sesiapa yang melakukan perkara yang menafikan perkara fardu, dan bukannya sunat, pada permulaan atau pertengahan ibadat fardu itu, maka batallah ibadah fardu yang dilakukannya itu.[3]

Hal yang sama disebut oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaily melalui contoh yang lebih jelas:

وَإِنْ دَخَلَ في فَريضَةٍ كَالظُّهْرِ، ثُمَّ صَرف نِيَّتَهُ إِلى فريضةٍ أُخْرَى كالعَصرِ، بَطَلَتْ صلاتُه

Maksudnya: Jika seseorang itu telah memulakan solat fardu contohnya Zohor, lalu dia menukar niatnya kepada solat fardu yang lain seperti Asar, maka batallah solatnya.[4]

Kesimpulannya, perbuatan menukar niat solat fardu kepada solat fardu yang lain ketika sedang solat akan menyebabkan solat yang sedang dilakukan seseorang itu terbatal, dan niat solat yang baharu itu juga tidak tercapai.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ oleh al-Khatib al-Syarbini (t.t) Beirut: Dar al-Fikr, tahqiq: Maktab al-Buhtuh wa al-Dirasat, 1/151

[2] Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Abu Zakariyya al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 4/211

[3] Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab, 3/286

[4] Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e oleh Muhammad al-Zuhaily (2014) Damshik: Dar al-Qalam, Cetakan Keempat, 1/238