Soalan
Assalamualaikum, mohon pandangan Sahibus Samahah Datuk Mufti berkenaan mandi junub. Adakah boleh mandi junub dengan sekadar berendam di dalam tab mandi?
Ringkasan Jawapan
Mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi ialah keluar air mani, haid, nifas dan wiladah.[1] Para ulama telah menjelaskan bahawa fardu bagi mandi wajib ada dua perkara sahaja iaitu niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh badan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
وَأَقَلُّهُ نِيَّةُ رَفْعِ جَنَابَةٍ أَوْ اسْتِبَاحَةِ مَفْتَقِرٍ إَلَيْهِ أَوْ أَدَاءِ فَرْضِ الْغَسْلِ مَقْرُونَةً بِأَوَّلِ فَرْضٍ وَتَعْمِيمُ شَعْرِهِ وَبَشَرِهِ.
Maksudnya: Sekurang-kurang untuk (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.[2]
[Rujuk Minhaj al-Tolibin: 1/14]
Ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, yang merujuk kepada meratakan air ke seluruh badan, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.
Riwayat Bukhari
Berdasarkan penjelasan di atas mandi junub dengan cara berendam di dalam tab mandi, jika telah cukup dua rukun di atas iaitu niat dan meratai air ke seluruh badan maka ia adalah sah. Imam al-Ramli menjelaskan bahawa:
فَلَوْ انْغَمَسَ جُنُبٌ أَوْ مُحْدِثٌ فِي مَاءٍ قَلِيلٍ ثُمَّ نَوَى ارْتَفَعَ حَدَثُهُ عَنْ جَمِيعِ أَعْضَائِهِ فِي الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ عَنْ أَعْضَاءِ وُضُوئِهِ، وَصَارَ الْمَاءُ مُسْتَعْمَلًا بِالنِّسْبَةِ إلَى غَيْرِهِ لَا إلَيْهِ
Maksudnya: Jika ada seseorang yang junub dan orang yang berhadas kecil menyelam ke dalam air yang sedikit (kurang daripada 2 kolah), kemudian berniat, maka hilang hadas dari keseluruhan anggota badan dalam permasalahan pertama (bagi orang yang junub, dan hadas hilang daripada anggota wuduk dalam permasalahan yang kedua (bagi orang berhadas). Sementara itu, air tersebut menjadi mustakmal jika digunakan lagi oleh orang lain, bukan pada diri sendiri.[3]
[Rujuk Nihayah al-Muhtaj: 1/73]
Seterusnya, Imam Ba ‘alawi menjelaskan bahawa jika terdapat seseorang yang junub menyelam ke dalam air yang banyak atau sedikit dan berniat, maka sah dan memadai meskipun tidak disertai dengan gosokan pada badannya. Walau bagaimanapun, jika terdapat lilin, kotoran atau minyak pada anggota tubuh badannya sehingga menghalang air untuk sampai ke tubuhnya melainkan dengan cara menggosok, maka wajib menggosok sebagaimana dijelaskan di dalam bab wuduk.[4]
[Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin: 44]
Kesimpulan
Justeru, mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan. Akan tetapi, jika terdapat kotoran tersebut, maka wajib menggosok dan menghilangkan kotoran tersebut seperti perbahasan di dalam bab wuduk.
[1] Al-Ghazzi, Muhammad bin Qasim. Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, Beirut: Dar Ibn Hazim li al-Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzi’, Hlm. 42
(إنزال) أي خروج (المني) من شخص بغير إيلاج، وإن قل المني كقطرة، ولو كانت على لون الدم، ولو كان الخارج بجماع أو غيره، في يقظة أو نوم، بشهوة أو غيرها، من طريقه المعتاد أو غيره، كأن انكسر صلبه فخرج منيُّه. (و) من المشترك (الموت) إلا في الشهيد. (وثلاثة تختص بها النساء؛ وهي: الحيض)، أي الدم الخارج من امرأة بلغت تسع سنين، (والنفاس) وهو الدم الخارج عقب الولادة؛ فإنه موجب للغسل قطعا، (والوِلادة) المصحوبة بالبلل موجبة للغسل قطعا
[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Dar al-Fikr, Beirut, Jld. 1, hlm. 14.
[3] Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Fikr, Jld.1, Hlm.73
[4] Al-Ba’lawi, Bughyah al-Mustarsyidin, Beirut: Dar al-Fikr, Hlm.44
لَوِ انْغَمَسَ جُنُبٌ فِيْ مَاءٍ كَثِيْرٍ أَوْ قَلِيْلٍ وَنَوَى كَفَاهُ وَإِنْ لَّمْ يُدْلِكْ نَعَمْ لَوْ كَانَ عَلىَ اْلأَعْضَاءِ نَحْوُ شَمْعٍ أَوْ وَسَخٍ أَوْ دًهْنٍ جَامِدٍ يَمْنَعُ وُصُوْلَ الْمَاءِ إِلاَّ بِالدَّلْكِ وَجَبَ كَمَا فِي الْوُضُوْءِ اهـ