Soalan:
Assalamualaikum. Bagaimana menguruskan mayat wanita yang meninggal dalam keadaan nifas? Adakah perlu memandikan jenazah dua kali untuk mengangkat hadas serta mandi sebab kematian? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.
Ringkasan Jawapan
Orang yang meninggal dunia dalam keadaan haid, nifas mahupun yang sedang berhadas hanya memadai sekali sahaja memandikan jenazah.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Allah SWT memerintahkan mandi wajib bagi seseorang yang berjunub berdasarkan firman-Nya:
وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا
Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib."
Surah al-Maidah (6)
Begitu juga, wanita telah suci daripada haid dan nifas diwajibkan mandi berdasarkan firman Allah SWT:
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَۖ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: Haid itu adalah suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid. Dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci”
Surah al-Baqarah: (222)
Sementara, perintah memandikan jenazah berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA.huma’ telah berkata:
اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ
Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur dengan daun bidara”
Riwayat al-Bukhari (1267)
Bagi orang yang berhadas meninggal dunia sebelum mandi wajib, Imam al-Nawawi dalam kitab al Majmu’ menyatakan memadai sekali mandi:
مَذْهَبُنَا أَنَّ الْجُنُبَ وَالْحَائِضَ إذَا مَاتَا غُسِّلَا غُسْلًا وَاحِدًا وَبِهِ قَالَ الْعُلَمَاءُ كَافَّةً إلَّا الْحَسَنَ الْبَصْرِيَّ فَقَالَ يُغَسَّلَانِ غُسْلَيْنِ قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ لَمْ يَقُلْ بِهِ غَيْرُهُ
“Pendapat mazhab kami (mazhab Syafi’i) menyatakan bahawa orang yang dalam keadaan berjunub dan haid yang meninggal dunia, memadai mandi sekali sahaja. Ini merupakan pendapat seluruh ulama melainkan al-Hasan al-Basri yang berpandangan mandi dua kali, Sementara Ibn al-Mundzir menyatakan pendapat tersebut tidak ada melainkan al Hassan al-Basri” [1]
Sementara itu, dua hadas besar sudah memadai sekali niat sekaligus secara umum dengan sekali mandi sahaja seperti situasi mandi wiladah dengan mandi nifas atau mandi wajib disebabkan junub dan haid berdasarkan perbahasan pada pautan beriku: https://muftiwp.gov.my/ar/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3797-al-kafi-1424-perlukah-dua-niat-untuk-mandi-wajib-bagi-dua-hadas-besar
Rujukan :
[1]Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din, al-Majmuk Syarh al-Muhadzzab , Dar al-Fikr, J : 5 P: 152