اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1911: HUKUM MUSLIM MENGGUNAKAN GELARAN 'PRIEST'

Screenshot 2023 01 05 at 2.46.44 PM min

 

Soalan:

Apakah hukum seorang Muslim menggunakan gelaran ‘priest’, sedangkan gelaran itu secara khusus digunakan merujuk kepada paderi agama Kristian? Adakah ia termasuk dalam perbuatan menyerupai penganut agama lain yang dilarang oleh Islam?

Ringkasan Jawapan:

Seorang Muslim itu diharamkan menggunakan gelaran priest pada nama mereka, kerana gelaran tersebut telah menjadi suatu gelaran khusus yang sinonim dengan agama Kristian. Hal ini demikian kerana terdapatnya larangan yang mengharamkan seorang muslim meniru syiar agama lain, serta larangan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap diri sendiri dan agama Islam.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan kamus Merriam Webster, kalimah priest bermaksud: “Someone who is authorized to perform the sacred rites of a religion especially as a mediatory agent between humans and God.” Manakala Cambridge Dictionary pula mendefinisikannya sebagai: “A person, usually a man, who has been trained to perform religious duties in the Christian Church, especially the Roman Catholic Church.”

Jelas daripada takrifan ini, gelaran priest merujuk kepada seorang paderi yang melaksanakan tugas-tugas keagamaan bagi gereja Kristian. Justeru, kami berpandangan bahawa seorang Muslim itu tidak boleh menggunakan gelaran priest pada nama mereka, kerana gelaran tersebut telah menjadi suatu gelaran khusus yang sinonim dengan agama Kristian.

Hal ini berdasarkan tegahan daripada Nabi SAW yang melarang umat Islam daripada menyerupai atau meniru orang kafir (tasyabbuh bil kuffar) dari sudut identiti, lambang atau syiar mereka. Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” 

  Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya, al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan al-Bazzar dalam Musnadnya.

Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Munawi dan ‘Alqami, bahawa hadis hadis ini ialah meniru orang kafir dari sudut pakaian, perlakuan dan perbuatan mereka. Mulla Ali al-Qari pula berpandangan bahawa hadis ini bermaksud seseorang yang meniru golongan kafir atau fasiq, sama ada dari sudut cara berpakaian atau selainnya, maka dia juga turut akan menerima balasan buruk seperti mereka.[1]

Menurut Imam al-San‘ani pula, hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq dari sudut pakaian dan perilaku orang kafir atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka.[2]

Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita.[3]

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami pula, jika seseorang itu meniru syiar orang kafir dengan niat untuk menyerupai mereka, maka dia menjadi kafir, namun jika dia tidak meniatkan demikian, dia tidak jatuh kafir, namun dia tetap dianggap berdosa.[4]

Selain itu, terdapat satu kaedah Islam yang mengarahkan seseorang Muslim itu agar memelihara dirinya daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.”[5]

Berdasarkan kepada kaedah di atas, kita disuruh untuk menjauhi sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah sama ada terhadap diri sendiri, dan lebih-lebih lagi terhadap nama baik agama. 

Wallahu a‘lam.

[1] ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud oleh al-‘Azim Abadi (1415H) Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Cetakan Kedua, 11/51

قَالَ الْمُنَاوِيُّ وَالْعَلْقَمِيُّ أي تزي فِي ظَاهِرِهِ بِزِيِّهِمْ وَسَارَ بِسِيرَتِهِمْ وَهَدْيِهِمْ فِي ملبسهم وبعض أفعالهم انتهى

وقال القارىء أَيْ مَنْ شَبَّهَ نَفْسَهُ بِالْكُفَّارِ مَثَلًا مِنَ اللِّبَاسِ وَغَيْرِهِ أَوْ بِالْفُسَّاقِ أَوِ الْفُجَّارِ أَوْ بِأَهْلِ التَّصَوُّفِ وَالصُّلَحَاءِ الْأَبْرَارِ (فَهُوَ مِنْهُمْ) أَيْ في الإثم والخير قاله القارىء

[2] Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San‘ani (t.t) Dar al-Hadis, 2/646-647.

وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ

[3] Lihat: Tafsir Ibn Kathir (1999) Dar al-Tayyibah, Cetakan Kedua, tahkik: Sami bin Muhammad al-Salamah, 1/374

فَفِيهِ دَلَالَةٌ عَلَى النَّهْيِ الشَّدِيدِ وَالتَّهْدِيدِ وَالْوَعِيدِ، عَلَى التَّشَبُّهِ بِالْكُفَّارِ فِي أَقْوَالِهِمْ وَأَفْعَالِهِمْ، وَلِبَاسِهِمْ وَأَعْيَادِهِمْ، وَعِبَادَاتِهِمْ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ أُمُورِهِمُ التِي لم تشرع لنا ولا نُقَرر عَلَيْهَا

[4] Lihat Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra oleh Ibn Hajar al-Haitami (t.t) al-Maktabah al-Islamiyyah, 4/239

فَالْحَاصِلُ أَنَّهُ إنْ فَعَلَ ذَلِكَ ‌بِقَصْدِ ‌التَّشْبِيهِ بِهِمْ فِي شِعَارِ الْكُفْرِ كَفَرَ قَطْعًا، أَوْ فِي شِعَارِ الْعَبْدِ مَعَ قَطْعِ النَّظَرِ عَنْ الْكُفْرِ لَمْ يَكْفُرْ وَلَكِنَّهُ يَأْثَمُ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ التَّشْبِيهَ بِهِمْ أَصْلًا وَرَأْسًا فَلَا شَيْءَ

[5] Kasyfu al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas ‘amma Usytuhira min al-Ahadith ‘ala Alsinah al-Nas oleh Isma ‘il al-‘Ajluni (1451H) Kaherah: Maktabah al-Qudsi, 1/44

(‌اتقوا ‌مواضع ‌التهم) ذكره في الإحياء وقال العراقي في تخريج أحاديثه لم أجد له أصلا لكنه بمعنى قول عمر من سلك مسالك الظن اتهم ورواه الخرائطي في مكارم الأخلاق مرفوعا بلفظ من أقام نفسه مقام التهم فلا يلومن من أساء الظن به