اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1913: HUKUM MENCIUM KAKI ULAMA

HUKUM MENCIUM KAKI ULAMA

Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanyakan soalan mengenai satu video yang saya lihat berlegar di media sosial. Video itu berkenaan beberapa pemuda mencium kaki seseorang yang saya percaya mungkin sama ada guru mereka atau ulama. Soalan saya, apakah hukum perbuatan mencium kaki ulama dan adakah ia dibenarkan menurut kaca mata syarak? Saya mohon penjelasan tuan mufti.

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam wbt. Hukum mencium kaki ulama yang soleh adalah harus menurut ulama, dengan syarat bahawa perbuatan itu sebagai tanda penghormatan kerana akhlaknya yang terpuji, atau ilmu yang tinggi, atau keperibadian yang mulia. Tetapi jika perbuatan itu dilakukan kerana unsur-unsur keduniaan seperti hartanya, kekayaannya, atau kedudukannya pada mata manusia maka perbuatan tersebut adalah ditegah dengan sekeras-kerasnya. Namun begitu, harus dilihat budaya dan uruf(adat kebiasaan) di negara kita yang agak jarang dengan budaya ini. Jika perbuatan tersebut boleh membuka pintu fitnah maka sebaiknya dielakkan. Wallahua’lam.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat.

Perbuatan mencium kaki ulama yang soleh bertujuan menghormati atau mengambil berkat adalah diharuskan menurut Islam. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Wazi’ ibn Zari’ berkenaan perbahasan mencium kaki:

لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ

Maksudnya: “Ketika kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba turun daripada haiwan tunggangan lalu kami mencium tangan Nabi SAW dan kaki Baginda.”[1]

Riwayat Abu Daud

Menurut pengarang Aunul Ma’bud, ketika sebuah delegasi pemuda datang untuk berjumpa Nabi Muhammad SAW, mereka turun daripada haiwan tunggangan lalu menuju ke arah Baginda dan mencium tangan serta kaki Baginda. Kemudian Nabi SAW membenarkan perbuatan mereka tersebut.[2]

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan mengenai hadis ini, beliau mengatakan jika ada individu yang mencium tangan, kepala atau kaki seseorang kerana kezuhudannya, akhlak yang terpuji, ketinggian ilmu, kemuliaan dan apa-apa yang berkaitan dengan urusan keagaamaan maka perkara tersebut tidak ditegah, bahkan digalakkan. Tetapi jika perbuatan tersebut dilakukan kepada seseorang kerana kemegahannya, kekayaan, hartanya, atau kerana kedudukannya yang tinggi pada pandangan orang, maka perkara sedemikian ditegah dengan larangan yang keras.[3]

Berdasarkan penjelasan di atas, maka sudah jelas bahawa hukum mencium tangan, kepala, bahkan kaki ulama yang soleh adalah diharuskan menurut ulama. Walaupun begitu, harus diambil kira berkenaan suasana dan uruf di negara kita yang agak janggal dengan budaya sebegini. Jika perbuatan ini boleh mendorong kepada fitnah, maka sebaiknya dielakkan.

 

 WallahuA'lam

 Rujukan:

[1] Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’ath, Sunan Abi Daud, (Beirut, t.t) Cetakan Maktabah al-‘Asriyyah, no. hadis 5225 Jld. 4 Hlm. 357

[2] Abu Abdul Rahman al-Azim Abadi, Aunul Ma’bud Syarhu Sunan Abi Daud, (Kaherah: 2011), Cetakan Syarikat al-Qudus,

لما وفد عبد القيس تبادروا من رواحلهم وسقطوا عنها على الأرض، وفعلوا ما فعلوا وقررهم النبي صلى الله عليه وسلم على ذلك

[3] Al-Nawawi, Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Damsyiq), Cetakan Darul Fikr,

يُسْتَحَبُّ تَقْبِيلُ يَدِ الرَّجُلِ الصَّالِحِ وَالزَّاهِدِ وَالْعَالِمِ وَنَحْوِهِمْ مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ وَأَمَّا تَقْبِيلُ يَدِهِ لِغِنَاهُ وَدُنْيَاهُ وَشَوْكَتِهِ وَوَجَاهَتِهِ عِنْدَ أَهْلِ الدُّنْيَا بِالدُّنْيَا وَنَحْوِ ذَلِكَ فَمَكْرُوهٌ شَدِيدُ الْكَرَاهَةِ وَقَالَ الْمُتَوَلِّي لَا يَجُوزُ فَأَشَارَ إلَى تَحْرِيمِهِ وَتَقْبِيلُ رَأْسِهِ وَرِجْلِهِ كَيَدِهِ