اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1915: HUKUM MENJUAL AYAM KEPADA ORANG YANG GUNAKANNYA UNTUK PEMUJAAN

HUKUM MENJUAL AYAM KEPADA ORANG YANG GUNAKANNYA UNTUK PEMUJAAN 3

 

Soalan

Assalamualaikum saya seorang penjual ayam di pasar. Saya mengenali seseorang yang memang membeli ayam untuk tujuan pemujaan. Soalan saya bolehkah saya menjual ayam kepadanya?

Ringkasan Jawapan

Perbuatan pemujaan kepada perkara-perkara yang dipercayai memiliki keramat merupakan salah satu dari bentuk kesyirikan kepada Allah SWT. Manakala hukum menjual ayam kepada orang yang diyakini akan menggunakannya untuk perkara-perkara yang haram seperti pemujaan atau lainnya maka hukumnya adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan yang membantu perkara kemaksiatan. Namun jika dia ragu-ragu atau hanya sekadar sangkaan maka hukumnya adalah makruh.

Huraian Jawapan

Pemujaan kebiasaannya dilakukan ke atas objek semula jadi seperti batu, pokok, kawasan teluk dan puncak gunung. Selain itu pemujaan juga dilakukan kepada haiwan yang dipercayai memiliki keramat seperti harimau dan buaya. Sebahagiannya pula melakukan pemujaan kepada kubur bomoh, pengasas kerajaan dan wali-wali Allah. Perbuatan pemujaan merupakan salah satu dari bentuk kesyirikan yang wajib dijauhi oleh setiap orang Islam. Firman Allah SWT:

وَلَا تَدْعُ مِن دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَ ۖ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِّنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya:Janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).

Surah Yunus (102)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya menjelaskan bahawa makna ayat surah Yunus di atas ialah Allah SWT mengingatkan supaya tidak menyembah selain-Nya yang tidak boleh memberi apa-apa manfaat ataupun mudarat sama ada di dunia mahupun akhirat. Jika seseorang menyembah selain Allah maka dia akan termasuk dikalangan orang yang zalim dan orang yang mensyirikkan Allah SWT[1].

Berkenaan soalan yang diajukan, hukum menjual sesuatu barang kepada orang yang akan menggunakannya untuk tujuan kemaksiatan maka hukumnya adalah haram. Jumhur ulama berpandangan setiap perbuatan yang boleh membawa kepada maksiat hukumnya adalah haram. Oleh itu menjual sesuatu yang akan digunakan untuk melakukan maksiat maka hukumnya adalah haram[2]

Walau bagaimanapun ulama mazhab Syafi’i memperincikan dengan mengatakan bahawa jika penjual meyakini atau berdasarkan sangkaan kuatnya bahawa orang tersebut akan menggunakannya untuk perkara yang haram maka maka haram dia menjual barangan itu. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan yang membantu pada perkara kemaksiatan. Namun jika dia ragu-ragu atau hanya semata-mata sangkaannya maka hukum menjualkan barangan tersebut adalah makruh. Syeikh Zakaria al-Ansari ketika menjelaskan bentuk-bentuk jual beli yang haram beliau menyebut:

وَبَيْعِ نَحْوِ رُطَبٍ كَعِنَبٍ لِمُتَّخِذِهِ مُسْكِرًا بِأَنْ يَعْلَمَ مِنْهُ ذَلِكَ أَوْ يَظُنَّهُ، فَإِنْ شَكَّ فِيهِ أَوْ تَوَهَّمَهُ مِنْهُ فَالْبَيْعُ لَهُ مَكْرُوهٌ

Maksudnya: “Menjual barangan seperti kurma basah atau anggur kering kepada orang yang diketahui atau pada sangkaan yang kuat dia akan gunakannya untuk membuat arak (hukumnya adalah haram) namun jika dia ragu atau hanya sekadar sangkaan maka hukum menjualnya adalah makruh[3].”

Kesimpulannya hukum menjual ayam kepada orang yang diyakini akan menggunakannya untuk perkara-perkara yang haram seperti pemujaan atau lainnya maka hukumnya adalah haram. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan yang membantu perkara kemaksiatan. Namun jika dia ragu-ragu atau hanya sekadar sangkaan maka hukumnya adalah makruh.

 

Wallahu A'lam.

 

Rujukan:

[1] Imam al-Tabari, Jami’ al-Bayan an Ta’wil Ay al-Quran (2001), Makkah: Dar al-Hijr, jld. 12, hlm. 304.

 يَقُولُ تَعَالَى ذِكْرُهُ: وَلَا تَدْعُ يَا مُحَمَّدُ مِنْ دُونِ مَعْبُودِكَ، وَخَالِقِكَ شَيْئًا لَا يَنْفَعُكَ فِي الدُّنْيَا، وَلَا فِي الْآخِرَةِ، وَلَا يَضُرُّكَ فِي دِينٍ وَلَا دُنْيَا، يَعْنِي بِذَلِكَ الْآلِهَةَ وَالْأَصْنَامَ، يَقُولُ: لَا تَعْبُدْهَا رَاجِيًا نَفْعَهَا أَوْ خَائِفًا ضُرَّهَا، فَإِنَّهَا لَا تَنْفَعُ وَلَا تَضُرُّ، فَإِنْ فَعَلْتَ ذَلِكَ فَدَعَوْتَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ {فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ} [يونس: ١٠٦] يَقُولُ: مِنَ الْمُشْرِكِينَ بِاللَّهِ، الظَّالِمِي أَنْفُسِهِمْ.

[2] Al-Mausuaah al-Fiqhiah al-Quwaitiyyah:

: ذهب الجمهور إلى أن كل ما يقصد به الحرام، وكل تصرف يفضي إلى معصية، فهو محرم، فيمتنع بيع كل شيء علم أن المشتري قصد به أمرا لا يجوز

[3] Syeikh Zakaria al-Ansari, Fath al-Wahhab, Beirut: Dar al-Fikr (1994), jld. 1, hlm. 197.