Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya berkenaan hasil kutipan zakat, bolehkah wang zakat yang dikutip itu dipindahkan atau dihantar ke negeri lain? Mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima kasih Datuk.
Ringkasan Jawapan
Hukum memindahkan hasil kutipan zakat ke negeri lain tanpa sebarang keperluan atau sebab syarak adalah haram. Meskipun begitu, sekiranya terdapat lebihan dana zakat setelah diagihkan kepada golongan asnaf di sesebuah negeri ataupun wujudnya sebarang keperluan atau hajat yang difikirkan perlu kepada bantuan dana tersebut, maka hukumnya adalah harus untuk memindahkannya ke negeri lain.
Huraian Jawapan
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٦٠﴾
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Taubah (60)
Secara asasnya, zakat hendaklah diberikan kepada golongan asnaf yang telah ditentukan oleh Allah SWT dalam ayat di atas. Jika zakat diberikan kepada golongan yang tidak berhak memilikinya, maka ia tidak sah. Justeru, tidak boleh untuk diberikan zakat kepada seseorang kecuali setelah diketahui bahawa dia berhak menerimanya dengan tergolong dalam salah satu asnaf yang telah disebutkan.
Menurut pandangan yang zahir dan sahih dalam mazhab Syafie, harta zakat yang dikutip di sesebuah negeri wajib dikembalikan kepada asnaf di negeri itu, dan bukannya dipindahkan ke negeri lain.
Ini berdasarkan kepada sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, ketika Baginda mengutus Muaz bin Jabal R.A ke negeri Yaman, Baginda bersabda kepada beliau:
«ادْعُهُمْ إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ، فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ«
Maksudnya: “Serulah mereka kepada syahadah (persaksian) bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan solat lima waktu sehari semalam ke atas mereka. Jika mereka mentaati perkara tersebut, maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1395)
Imam al-Syirbini menyatakan larangan memindahkan zakat ke negeri lain disebabkan negeri itu masih ada golongan yang berhak menerima zakat. Harta zakat yang dikutip adalah untuk golongan asnaf di negeri tersebut, maka sekiranya ia dipindahkan, nescaya ia akan membuatkan mereka bersedih[1] kerana mereka menaruh harapan dan bergantung kepadanya[2].
Meskipun begitu, sekiranya terdapat sebab seperti ketiadaan asnaf yang memerlukan harta zakat di negeri tersebut atau hanya ada sebahagian atau ada lebihan zakat, atau adanya hajat dan keperluan lain seperti membantu negeri jiran dan sebagainya, maka harus hukumnya untuk menyalurkan dana zakat tersebut ke negeri lain[3].
Sebagai makluman tambahan, terdapat juga pandangan kedua dalam mazhab Syafie yang menyatakan keharusan memindahkan hasil kutipan zakat sesebuah negeri atau kawasan ke negeri lain. Pendapat ini dipegang oleh beberapa ulama mazhab Syafie termasuklah Ibn Solah dan Ibn Firkah. Manakala Syeikh Zakaria al-Ansori pula meskipun beliau tidak mentarjih pendapat ini, namun beliau menyatakan boleh beramal dengan pandangan kedua mazhab dan ini juga pendirian sebahagian ulama mutaakhirin yang lain [4].
Kesimpulannya, hukum memindahkan hasil kutipan zakat ke negeri lain tanpa sebarang keperluan atau sebab syarak adalah haram. Meskipun begitu, sekiranya terdapat lebihan dana zakat setelah diagihkan kepada golongan asnaf di sesebuah negeri ataupun wujudnya sebarang keperluan atau hajat yang difikirkan perlu kepada bantuan dana tersebut, maka hukumnya adalah harus untuk memindahkannya ke negeri lain. Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 4/191.
(وَالْأَظْهَرُ مَنْعُ نَقْلِ الزَّكَاةِ) مِنْ بَلَدِ الْوُجُوبِ الَّذِي فِيهِ الْمُسْتَحِقُّونَ إلَى بَلَدٍ آخَرَ فِيهِ مُسْتَحِقُّوهَا فَتُصْرَفُ إلَيْهِمْ قَالُوا لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ: «صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ» وَلِامْتِدَادِ أَطْمَاعِ أَصْنَافِ كُلِّ بَلْدَةٍ إلَى زَكَاةِ مَا فِيهِ مِنْ الْمَالِ وَالنَّقْلُ يُوحِشُهُمْ. وَالثَّانِي: الْجَوَازُ لِإِطْلَاقِ الْآيَةِ، وَلَيْسَ فِي الْحَدِيثِ دَلَالَةٌ عَلَى عَدَمِ النَّقْلِ، وَإِنَّمَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهَا لَا تُعْطَى لِكَافِرٍ كَمَا مَرَّ، وَقِيَاسًا عَلَى نَقْلِ الْوَصِيَّةِ وَالْكَفَّارَاتِ وَالنَّذْرِ.
[2] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H/1992M), 2/63.
نقل الزكاة من محل وجوبها:
لا يجوز نقل الزكاة إلى غير البلد التي وجبت فيه ـ وهو محل المال ـ طالماً أنه يوجد مستحقوها في ذلك البلد، وإن قربت المسافة، لأن في ذلك إيحاشاً وإيلاماً لمستحقيها في بلد وجوبها، إذ إن أطماعهم تمتد إليها، وآمالهم تتعلق بها. ولقوله - صلى الله عليه وسلم - لمعاذ - رضي الله عنه - حين بعثه إلى اليمن: " فأعلمهم أن الله افترض عليهم صدقة، تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم ".
[3] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H/2013M), 2/119-120.
ويجب صرف الزكاة إلى الأصناف في البلد الذي وجبت فيه، فزكاة المال تجب في بلد وجود المال، وزكاة الفطر تجب في بلد وجود الشخص، لأن النبي صلى الله عليه وسلم قال لمعاذ رضي الله عنه: "أعلمهم أن عليهم صدقة تؤخذ من أغنيائهم، وترد في فقرائهم"، لأن أطماع أهل البلد تعلقت بها، ونقلها يؤدي إلى الإيحاش والإيلام لمستحقيها في بلد وجوبها، لكن إن فقد أحد الأصناف في بلد الوجوب، أو لا يوجد في البلد مستحقون، أو زاد نصيب الصنف الواحد عن أفراده، أو زاد عن حاجاتهم، جاز نقل نصيب الصنف، أو ما ظاد عن الحاجة إلى نفس الصنف عن أفراد بلد آخر.
ولإذا زاد من سهم أحد الأصناف وزاد من نصيبهم فينقل الفاضل من كفاياتهم إلى باقي الأصناف الذين قصرت سهامهم عن كفايتهم، ويجوز للإمام والساعي نقل الزكاة، وإنما التفصيل السابق في منع نقل الزكاة إلا استثناء في حالات إذا أداها المالك بنفسه.
[4] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlisi ‘Umairah, Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, (Beirut: Dar al-Fikr, t.c, 1415H/1995M), 3/204.
(وَالثَّانِي يَجُوزُ النَّقْلُ وَتُجْزِئُ) وَاخْتَارَهُ جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ كَابْنِ الصَّلَاحِ وَابْنِ الْفِرْكَاحِ وَغَيْرِهِمْ، قَالَ شَيْخُنَا تَبَعًا لِشَيْخِنَا الرَّمْلِيِّ: وَيَجُوزُ لِلشَّخْصِ الْعَمَلُ بِهِ فِي حَقِّ نَفْسِهِ، وَكَذَا يَجُوزُ الْعَمَلُ فِي جَمِيعِ الْأَحْكَامِ بِقَوْلِ مَنْ يَثِقُ بِهِ مِنْ الْأَئِمَّةِ، كَالْأَذْرَعِيِّ وَالسُّبْكِيِّ وَالْإِسْنَوِيِّ عَلَى الْمُعْتَمَدِ.