اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1922: HUKUM TIDUR BERBANTALKAN MASHAF QURAN ATAU MELETAKKANNYA DI BAWAH BANTAL

HUKUM TIDUR BERBANTALKAN MASHAF QURAN ATAU MELETAKKANNYA DI BAWAH BANTAL

 

Soalan:

Apakah hukum tidur beralaskan mushaf al-Quran, atau meletakkan mushaf dan naskhah Surah Yasin di bawah bantal seperti yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat?

Ringkasan Jawapan

Haram hukumnya tidur beralaskan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran dan kitab-kitab agama, atau meletakkannya di bawah bantal. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat al-Quran dan ilmu agama.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para ulama telah bersepakat ke atas haramnya perbuatan meremehkan dan menghina al-Quran, serta wajibnya memuliakan dan memelihara mushaf, seperti yang disebut dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.[1]

Antara perbuatan yang boleh dikira sebagai perendahan terhadap kemuliaan al-Quran ialah menjadikannya sebagai alas kepala ketika tidur:

وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُه: أي المصحف أي جَعْلُهُ وِسادة وَهِيَ المِخَدَّة التي تُوضَعُ تَحْتَ الرأْسِ، لأن في تَوَسُّدِهِ تَحقيرا وإهانَة

Maksudnya: Diharamkan daripada berbantalkan mashaf: iaitu menjadikan mashaf itu sebagai bantal dan diletakkan di bawah kepala, ini kerana perbuatan berbantalkan mushaf itu merupakan satu bentuk merendah-rendahkan dan penghinaan.[2]

Selain itu, diharamkan juga menjadikan kitab-kitab agama sebagai bantal atau alas kepala ketika tidur, seperti yang disebut oleh para ulama mazhab Syafie:

وَيَحْرُمُ ‌تَوَسُّدُ مُصْحَفٍ وَغَيْرِهِ مِنْ كُتُبِ الْعِلْمِ قَالَ الْقَاضِي: إلَّا أَنْ يَخَافَ سَرِقَتَهُ

Maksudnya: Diharamkan menjadikan mushaf dan kitab-kitab agama sebagai bantal. Kata al-Qadhi Husain: Pengecualian diberikan jika dia takut kitab atau mushaf itu dicuri.[3]

Ibn Muflih al-Hanbali pula menukilkan kalam daripada Ibn ‘Abd al-Qawiy dalam Majma‘ al-Bahrain, bahawa diharamkan juga tidur berbantalkan kitab-kitab hadis dan buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran.[4]

Justeru, berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, adalah diharamkan untuk menjadikan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran, buku-buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran dan juga kitab-kitab agama sebagai bantal ketika tidur  atau meletakkannya di bawah bantal walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin dan sebagainya.

Disarankan juga untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran seperti Ayatul Kursi dan membaca zikir-zikir dan doa yang ma’thur daripada Rasulullah SAW bagi tujuan mengelakkan gangguan jin serta syaitan.

Wallahu a‘lam.

 

Rujukan:

[1] Rujuk al-Mausu ‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

وقد أجمع العلماء على حرمة امتهان واحتقار القرآن، وعلى وجوب احترام المصحف وصيانته

[2] Faidh al-Ilah al-Malik fi Halli Alfaz ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik oleh al-Sayyid Umar bin Muhammad al-Biqa‘ie (t.t), Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1/64

[3] Al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah oleh Zakariyya al-Ansari (t.t) al-Matba‘ah al-Maimaniyyah, 1/149

[4] Rujuk al-Adab al-Syar ‘iyyah wa al-Minah al-Mar ‘iyyah oleh Ibn Muflih al-Hanbali (1431H) ‘Alam al-Kutub, 2/285

أنه يحرم الاتكاء على المصحف وعلى كتب الحديث وما فيه شيء من القرآن