اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1924: ADAKAH TERGUGUR RUKHSAH BAGI ORANG YANG MELAKUKAN MAKSIAT KETIKA BERMUSAFIR?

ADAKAH TERGUGUR RUKHSAH BAGI ORANG YANG MELAKUKAN MAKSIAT KETIKA BERMUSAFIR

 

SOALAN

Assalamualaikum. Adakah seseorang yang tidak menutup aurat dengan sempurna boleh mengambil rukhsah untuk solat jamak dan qasar ketika bermusafir yang diharuskan oleh syarak seperti melancong atau menziarahi keluarga? Adakah perbuatan tidak menutup aurat itu merupakan maksiat yang menggugurkan keharusan rukhsah solat kepada seseorang?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Jika seseorang bermusafir atas tujuan yang diharuskan oleh syarak, kemudian dia melakukan maksiat dalam permusafirannya, maka dia boleh untuk mengambil rukhsah dengan permusafirannya tersebut.

Hal ini kerana rukhsah diberikan berdasarkan hukum permusafiran itu sendiri sama ada ia harus atau haram. Jika ia permusafiran yang diharuskan syarak, maka rukhsah diberikan kepadanya atas hukum keharusan permusafirannya itu, walaupun dia melakukan maksiat ketika dalam perjalanan tersebut.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Di sisi mazhab al-Syafie, antara syarat membolehkan seseorang mengambil rukhsah ialah permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan oleh syarak. Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin menyatakan bahawa:

ولا يترخص العاصي بسفره كآبق وناشزة

Maksudnya: Tidak boleh mengambil rukhsah orang yang bermaksiat dengan permusafirannya, seperti hamba yang lari daripada tuannya dan isteri yang nusyuz.[1] (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:45)

Hal ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الرُّخَصُ لَا تُنَاطُ بِالْمَعَاصِي

Maksudnya: Rukhsah tidak diberikan kepada perkara berkaitan maksiat.[2] (Rujuk al-Asybah wa al-Nadzair, 1:138)

Oleh yang demikian, tidak diharuskan bagi orang yang bermusafir atas tujuan maksiat untuk mengambil rukhsah dalam apa jua bentuk seperti melakukan solat jamak dan qasar berbuka puasa, menyapu di atas khuf selama tiga hari, solat sunat di atas tunggangan, meninggalkan solat Jumaat dan seumpamanya.[3]

Walau bagaimanapun, wujud perbezaan antara permusafiran yang bersifat maksiat dengan maksiat yang dilakukan dalam permusafiran.

Maksud permusafiran yang bersifat maksiat seperti seorang hamba yang lari daripada tuannya, isteri nusyuz yang keluar tanpa keizinan suaminya, seorang yang bermusafir untuk ke tempat untuk melakukan maksiat dan seumpamanya. Dalam situasi ini, dia tidak dibenarkan oleh syarak untuk mengambil sebarang rukhsah. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhah al-Talibin bahawa:

وَلَا يَتَرَخَّصُ فِي سَفَرِ الْمَعْصِيَةِ، كَهَرَبِ الْعَبْدِ مِنْ مَوْلَاهُ، وَالْمَرْأَةِ مِنَ الزَّوْجِ، وَالْغَرِيمِ مَعَ الْقُدْرَةِ عَلَى الْأَدَاءِ، وَالْمُسَافِرِ لِقَطْعِ الطَّرِيقِ أَوْ لِلزِّنَى أَوْ قَتْلِ الْبَرِيءِ.

Maksudnya: Tidak diberikan rukhsah pada permusafiran yang bersifat maksiat seperti seorang hamba yang lari daripada tuannya, isteri lari daripada suaminya, penghutang yang lari daripada pemiutang dalam keadaan dia mampu untuk menunaikannya, seorang yang bermusafir untuk tujuan merompak, berzina dan membunuh orang yang tidak berdosa.[4] (Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:388)

Manakala jika seseorang bermusafir dengan tujuan yang diharuskan syarak kemudian dia melakukan maksiat dalam perjalanan tersebut seperti meminum arak, maka ini bermaksud dia telah melakukan dosa ketika bermusafir. Sedangkan tujuan asal permusafirannya itu sendiri bukanlah satu maksiat dan dosa. Oleh yang demikian, dalam situasi ini diharuskan mengambil rukhsah.[5]

Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وَأَمَّا الْعَاصِي فِي سَفَرِهِ، وَهُوَ أَنْ يَكُونَ السَّفَرُ مُبَاحًا وَيَرْتَكِبُ الْمَعَاصِيَ فِي طَرِيقِهِ فَلَهُ التَّرَخُّصُ.

Maksudnya: Aadapun orang yang melakukan maksiat dalam permusafirannya, seperti seseorang bermusafir yang diharuskan oleh syarak dan dia melakukan maksiat dalam permusafiran tersebut, maka dia dibolehkan untuk mengambil rukhsah.[6] (Rujuk Raudhah al-Talibin, 1:381)

Oleh yang demikian, diharuskan bagi orang tersebut untuk mengambil rukhsah jamak dan qasar dalam permusafirannya walaupun dia berdosa atas perbuatannya yang tidak menutup aurat.

WaAllahu a'lam.

Rujukan:

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Beirut, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 45.

[2] Al-Suyuti, Jalaluddin, al-Asybah wa al-Nadzair, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiah, jld. 1, hlmn. 138.

[3] Ibid.

وَمِنْ ثَمَّ لَا يَسْتَبِيحُ الْعَاصِي بِسَفَرِهِ شَيْئًا مِنْ رُخَصِ السَّفَر: مِنْ الْقَصْر وَالْجَمْع وَالْفِطْرِ وَالْمَسْحِ ثَلَاثًا، وَالتَّنَقُّلِ عَلَى الرَّاحِلَةِ، وَتَرْك الْجُمُعَةِ، وَأَكْل الْمَيْتَةِ. (الأشباه والنظائر للسيوطي، ج 1، ص 138)

[4] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islamiy, jld. 1, hlmn. 381.

[5] مَعْنَى قَوْلُنَا " الرُّخَصُ: لَا تُنَاطُ بِالْمَعَاصِي " أَنَّ فِعْلَ الرُّخْصَةِ مَتَى تَوَقَّفَ عَلَى وُجُودِ شَيْءٍ، نُظِرَ فِي ذَلِكَ الشَّيْءِ، فَإِنْ كَانَ تَعَاطِيهِ فِي نَفْسِهِ حَرَامًا، امْتَنَعَ مَعَهُ فِعْلُ الرُّخْصَة، وَإِلَّا فَلَا، وَبِهَذَا يَظْهَرُ الْفَرْقُ بَيْن الْمَعْصِيَةِ بِالسَّفَرِ وَالْمَعْصِيَةِ فِيهِ.

فَالْعَبْدُ الْآبِقُ، وَالنَّاشِزَةُ، وَالْمُسَافِرُ لِلْمَكْسِ، وَنَحْوُهُ. عَاصٍ بِالسَّفَرِ: فَالسَّفَرُ نَفْسُهُ مَعْصِيَةٌ وَالرُّخْصَةُ مَنُوطَةٌ بِهِ مَعَ دَوَامِهِ، وَمُعَلَّقَةٌ، وَمُتَرَتِّبَةٌ عَلَيْهِ تَرَتُّبَ الْمُسَبَّبِ عَلَى السَّبَبِ، فَلَا يُبَاحُ.

وَمَنْ سَافَرَ مُبَاحًا، فَشَرِبَ الْخَمْرَ فِي سَفَرِهِ، فَهُوَ عَاصٍ فِيهِ، أَيْ مُرْتَكِبُ الْمَعْصِيَةِ فِي السَّفَرِ الْمُبَاحِ ; فَنَفْسُ السَّفَرِ: لَيْسَ مَعْصِيَةً، وَلَا آثِمًا بِهِ فَتُبَاحُ فِيهِ الرُّخَصُ ; لِأَنَّهَا مَنُوطَةٌ بِالسَّفَرِ، وَهُوَ فِي نَفْسِهِ مُبَاحٌ. (الأشباه والنظائر للسيوطي، ج 1، ص 139)

[6] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 1991, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftiin, Beirut, al-Maktab al-Islamiy, jld. 1, hlmn. 381.