اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1927: HUKUM MEMETIK BUNGA KETIKA MENZIARAHI KUBUR

HUKUM MEMETIK BUNGA KETIKA MENZIARAHI KUBUR

       

Soalan

Assalamualaikum, bolehkah saya memetik bunga di kubur orang lain untuk diletakkan di kubur ayah saya. Setahu saya ia tidak dibolehkan kerana pokok itu bukan hak kita. Mohon penjelasan Pejabat Mufti Wilayah. Terima kasih

Ringkasan Jawapan

Hukum memetik tumbuhan yang tumbuh atau mengambil bunga yang diletakkan di atas kubur adalah haram, melainkan setelah kering atau mati. Namun harus bagi pemilik yang menanam tumbuhan tersebut memetik dan mengambil bunganya jika banyak dengan syarat hendaklah ditinggalkan sebahagian daripadanya serta tidak merosakkan tumbuhannya.

Huraian Jawapan

Meletakkan bunga atau tumbuhan hidup di atas kubur merupakan perkara yang disunatkan menurut syarak. Hal ini kerana tumbuhan yang hidup itu akan berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT malah ia dapat memberi keberkatan dan keringanan ke atas jenazah di bawahnya. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya:

مَرَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرٍ، فَقَالَ: " ائْتُونِي بِجَرِيدَتَيْنِ "، فَجَعَلَ إِحْدَاهُمَا عِنْدَ رَأْسِهِ، وَالْأُخْرَى عِنْدَ رِجْلَيْهِ، فَقِيلَ: يَا نَبِيَّ اللهِ، أَيَنْفَعُهُ ذَلِكَ؟ قَالَ: " لَنْ يَزَالَ يُخَفَّفَ عَنْهُ بَعْضُ عَذَابِ الْقَبْرِ مَا كَانَ فِيهِمَا نُدُوٌّ "

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW melintasi kawasan pekuburan, lalu Baginda SAW bersabda: “Berikan aku dua pelepah tamar”, kemudian baginda meletakkan salah satunya di bahagian kepala dan satu lagi di bahagian kaki mayat, lalu Baginda ditanya: “Wahai Nabi Allah, adakah ia boleh memberi manfaat?”. Nabi SAW bersabda: “Tetap akan diringankan sebahagian daripada azab kubur selagimana keduanya itu (pelepah) tidak kering”.

Riwayat Ahmad (9687)

Meletakkan tumbuhan, tanaman hidup, batu atau kayu di atas kubur pada bahagian kepala mayat merupakan perkara yang sunat berdasarkan perbuatan Baginda SAW[1]. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami:

يُسَنُّ وَضْعُ جَرِيدَةٍ خَضْرَاءَ عَلَى الْقَبْرِ لِلِاتِّبَاعِ وَسَنَدُهُ صَحِيحٌ وَلِأَنَّهُ يُخَفِّفُ عَنْهُ بِبَرَكَةِ تَسْبِيحِهَا

Maksudnya: Sunat meletakkan pelepah yang hijau di atas kubur kerana mengikut perbuatan Nabi SAW dan sanadnya adalah sahih. Hal ini kerana dapat meringankan azab ke atas mayat dengan keberkatannya bertasbih[2]

Beliau menjelaskan lagi bahawa haram memetik atau mencabut bunga dan tanaman yang tumbuh dan diletakkan di atas kubur selagi tumbuhan itu belum mati dan kering kerana ia merupakan hak bagi jenazah. Kata beliau di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj:

وَيَحْرُمُ أَخْذُ ذَلِكَ كَمَا بَحَثَ لِمَا فِيهِ مِنْ تَفْوِيتِ حَقِّ الْمَيِّتِ

Maksudnya: Haram mengambil tumbuhan tersebut seperti yang telah dibahaskan kerana dapat menghilangkan hak mayat[3].

Imam al-Syirwani dalam hasyiahnya menjelaskan bahawa pengharaman mencabut dan mengambil tumbuhan termasuklah rumput-rumput dan seumpanya yang tumbuh di atas kubur kerana tumbuhan tersebut merupakan hak si mayat[4]. Namun menurut Imam Ibnu Qasim sekiranya tumbuhan tersebut banyak maka tidak haram bagi pemilik yang menanam tumbuhan tersebut mengambil dan memetiknya. Namun sekiranya tumbuhan tersebut sedikit maka haram memetik dan mengambilnya walaupun pemilik yang menanam tumbuhan tersebut. Ini kerana tumbuhan tersebut merupakan hak bagi mayat[5].

Oleh itu, hukum memetik tumbuhan yang tumbuh atau mengambil bunga yang diletakkan di atas kubur adalah haram, melainkan setelah kering atau mati. Manakala menurut mazhab Hanafi, hukum mencabut rumput adalah makruh walaupun masih belum kering[6]. Pun begitu, harus bagi pemilik yang menanam tumbuhan tersebut memetik dan mengambil bunganya jika banyak dengan syarat hendaklah ditinggalkan sebahagian daripadanya serta tidak merosakkan tumbuhannya.

Wallahu A'lam

 

Rujukan:

[1] Abu Bakr bin Muhammad Syata al-Dumyati, I’anah al-Talibin ‘ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in, (Beirut: Dar al-Fikr li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1418H) 2/135

ويسن أيضا وضع حجر أو خشبة عند رأس الميت، لانه - صلى الله عليه وسلم - وضع عند رأس

[2] Amad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syirwani wa al-‘Ibadi (Misr: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1357H) 3/197

[3] Ibid

[4] Ibid

(قَوْلُهُ وَيَحْرُمُ أَخْذُ ذَلِكَ) أَيْ عَلَى غَيْرِ مَالِكِهِ نِهَايَةٌ وَمُغْنِي قَالَ ع ش قَوْلُهُ م ر مِنْ الْأَشْيَاءِ الرَّطْبَةُ يَدْخُلُ فِي ذَلِكَ الْبِرْسِيمِ وَنَحْوِهِ مِنْ جَمِيعِ النَّبَاتَاتِ الرَّطْبَةِ وَقَوْلُهُ م ر عَلَى غَيْرِ مَالِكِهِ أَيْ أَمَّا مَالِكُهُ فَإِنْ كَانَ الْمَوْضُوعُ مِمَّا يُعْرَضُ عَنْهُ عَادَةً حَرُمَ عَلَيْهِ أَخْذُهُ لِأَنَّهُ صَارَ حَقًّا لِلْمَيِّتِ وَإِنْ كَانَ كَثِيرًا لَا يُعْرَضُ عَنْ مِثْلِهِ عَادَةً لَمْ يَحْرُمْ سم عَلَى الْمَنْهَجِ

[5] Abu Bakr bin Muhammad Syata al-Dumyati, I’anah al-Talibin ‘ala Hal Alfaz Fath al-Mu’in, (Beirut: Dar al-Fikr li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1418H) 2/136

(قوله: ويحرم أخذ شئ منهما) أي من الجريدة الخضراء، ومن نحو الريحان الرطب. وظاهره أنه يحرم ذلك مطلقا، أي على مالكه وغيره. وفي النهاية: ويمتنع على غير مالكه أخذه من على القبر قبل يبسه، فقيد ذلك بغير مالكه. وفصل ابن قاسم بين أن يكون قليلا كخوصة أو خوصتين، فلا يجوز لمالكه أخذه، لتعلق حق الميت به، وأن يكون كثيرا فيجوز له أخذه.

[6] Ibn ‘Abidin al-Dimasyqi al-Hanafi, Rad al-Muhtar ala al-Dur al-Mukhtar. (Beirut: Dar al-Fikr, 1412) Jld. 2 Hlm. 245

يُكْرَهُ أَيْضًا قَطْعُ النَّبَاتِ الرَّطْبِ وَالْحَشِيشِ مِنْ الْمَقْبَرَةِ دُونَ الْيَابِسِ