اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1929: ADAKAH PERLU SEGERA QADA PUASA?  

ADAKAH PERLU SEGERA QADA PUASA

                

Soalan

Assalamualaikum, ustaz dan ustazah. Saya ada soalan pasal qada puasa. Saya biasa mula qada puasa Ramadan apabila dekat bulan Rejab dan Syaaban untuk dapat sekali pahala puasa di bulan Rejab sebelum sampai Ramadan tahun depan. Tapi ada orang tegur saya, berdosa lambat qada puasa dan kena cepat-cepat qada. Mohon pandangan ustaz dan ustazah.

Ringkasan Jawapan

Dibolehkan untuk menggantikan puasa pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa. Namun begitu, sangat digalakkan untuk segera menyelesaikan qada puasa sekiranya tiada sebarang halangan. Ini kerana dikhuatiri tidak sempat menggantinya sehingga tiba Ramadan akan datang. Jika itu berlaku dengan sengaja, ia dikira berdosa dan wajib membayar fidyah bagi setiap hari secupak makanan asasi.

Wallahu a’lam.

Huraian Jawapan

Wajib bagi seorang muslim menggantikan puasa Ramadan yang ditinggalkan disebabkan keuzuran yang dibenarkan oleh syarak atau ditinggalkan dengan sengaja sebagaimana yang jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Surah al-Baqarah (184)

Dibolehkan untuk menggantikan puasa pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa selagi tidak memasuki bulan Ramadan, ini berdasarkan hadis tentang perbuatan Aisyah R.A menggantikan puasa Ramadan, beliau berkata:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ. فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلَّا فِي شَعْبَانَ. الشُّغْلُ من رسول الله صلى الله عليه وسلم. أَوْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Aku ada puasa daripada bulan Ramadhan yang wajib diganti, tetapi aku tidak mampu untuk menggantikannya kecuali pada bulan Syaaban kerana kesibukan melayani dan berkhidmat untuk Rasulullah SAW.

Riwayat Muslim[1]

Namun begitu, disunatkan menggantikan puasa sesegera mungkin kerana dikhuatiri tidak sempat menggantinya sehingga tiba Ramadan akan datang.[2] Lebih-lebih lagi jika tiada halangan untuk menggantikan puasa tersebut.

Imam al-Ramli menjelaskan jika seorang itu dengan melewatkan ganti puasa tanpa sebarang keuzuran dan tidak menggantikannya sehingga tiba bulan Ramadan seterusnya, itu adalah satu perbuatan yang berdosa dan dia wajib menggantikannya serta membayar fidyah secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.[3]

Wallahu a’lam.

Rujukan:

[1] Muslim bin al-Hajaj. Ṣaḥīḥ Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1955) 2/802. No Hadis (1146).

[2] Al-Ramli, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 3/187.

وَلَا يَجِبُ التَّتَابُعُ فِي قَضَاءِ رَمَضَانَ لَكِنَّهُ يُسْتَحَبُّ كَغَيْرِهِ تَعْجِيلًا لِبَرَاءَةِ الذِّمَّةِ. قَالَ فِي الْمُهِمَّاتِ: وَقَدْ يَجِبُ بِطَرِيقِ الْعَرْضِ وَذَلِكَ فِي صُورَتَيْنِ ضِيقِ الْوَقْتِ وَتَعَمُّدِ التَّرْكِ

[3] Ibid. 3/195.

(وَمَنْ) (أَخَّرَ قَضَاءَ رَمَضَانَ) أَوْ شَيْئًا مِنْهُ (مَعَ إمْكَانِهِ) بِأَنْ كَانَ صَحِيحًا مُقِيمًا (حَتَّى دَخَلَ رَمَضَانُ آخَرُ) (لَزِمَهُ مَعَ الْقَضَاءِ لِكُلِّ يَوْمٍ مُدٌّ) وَهُوَ آثِمٌ