Soalan:
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Sekadar pengetahuan saya, pesakit yang mengalami sakit yang memudaratkan jika berpuasa diharuskan untuk berbuka puasa dan wajib menggantikannya. Namun jika pesakit tersebut tidak ada harapan untuk sembuh, dia tidak diwajibkan qada dan wajib membayar fidyah. Bagaimana pula sekiranya pesakit yang disangkakan tidak akan sembuh tersebut kemudiannya sembuh? Adakah dia wajib menggantikan puasanya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.
Jawapan Ringkas
Pada permulaannya, pesakit yang tiada harapan sembuh diwajibkan membayar fidyah. Justeru, hukum tersebut kekal sedemikian walaupun ditakdirkan sembuh dan tidak diwajibkan qada puasanya.
Huraian
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Puasa Ramadan merupakan puasa yang wajib dikerjakan apabila tiba pada waktu yang ditetapkan. Ia telah ditetapkan oleh syarak ke atas setiap umat Islam sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.
Surah al-Baqarah (183)
Namun, sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berpuasa atas sebab keuzuran seperti sakit, musafir, haid dan sebagainya maka wajib ke atasnya untuk menggantikan semula pada hari yang lain. Firman Allah SWT:
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”.
Surah al-Baqarah (184)
Kewajipan menggantikan puasa bagi orang yang meninggalkan puasa kerana sakit bergantung kepada dua keadaan:
- Sakit yang ada harapan untuk sembuh
- Sakit yang tiada harapan untuk sembuh
Pesakit yang diharuskan untuk berbuka puasa dan mempunyai harapan untuk sembuh adalah diwajibkan untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan apabila dia sudah mampu untuk berpuasa[1].
Manakala pesakit yang tiada harapan untuk sembuh dan memang tidak mampu berpuasa, hukumnya tidak wajib berpuasa dan tidak wajib juga menggantikannya tetapi wajib membayar fidyah bagi bilangan hari berpuasa yang ditinggalkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
Surah al-Baqarah (184)
Jika pesakit itu disangkakan tidak akan sembuh kemudian sembuh, dia tidak diwajibkan qada kerana telah diwajibkan fidyah. Ini adalah pendapat muktamad mazhab al-Syafi’i.
Imam al-Ramli berkata:
وإنما لم يلزم من ذكر قضاء إذا قدر بعد ذلك لسقوط الصوم عنه وعدم مخاطبته به كما هو الأصح في المجموع من أن الفدية واجبة في حقه ابتداء لا بدلا عن الصوم
Maksudnya: “Sesungguhnya pesakit itu tidak wajib untuk qada, sekiranya dia kembali mampu untuk berpuasa; kerana puasa telah gugur daripadanya, sewaktu dia tidak dipertanggungjawabkan untuknya, seperti mana pendapat paling sahih dalam al-Majmu`, kerana dia pada permulaannya diwajibkan membayar fidyah, bukan sebagai ganti untuk puasa.[2]”
Berkenaan keterangan di atas, al-Syabramallisi menyatakan bahawa menggantikan puasa adalah tidak wajib sekalipun fidyahnya masih berbaki belum dibayar[3].
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata:
ولو قدر بعد على الصوم لم يلزمه قضاء كما قاله الأكثرون
Maksudnya: “Dan jika dia kembali mampu selepas itu untuk berpuasa, maka dia tidak wajib untuk qada seperti mana yang dinyatakan oleh majoriti ulama[4].”
Kesimpulannya, pesakit yang disahkan bahawa penyakitnya tidak akan sembuh, tidak mampu berpuasa dan diwajibkan membayar fidyah, tetapi ditakdirkan Allah SWT penyakitnya sembuh dan dia kembali mampu berpuasa, maka dia tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan tetapi wajib membayar fidyah.
Wallahu’alam
Rujukan:
[1] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Kaherah: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983M) 3/432
(وإذا أفطر المسافر والمريض قضيا) للآية (وكذا الحائض) والنفساء إجماعا
[2] Muhammad bin Abu al-Abbas Ahmad bin Hamzah Syihab al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984M) 3/193
[3] Ibid
(قوله: وإنما لم يلزم من ذكر قضاء) أي وإن كانت الفدية باقية في ذمته
[4] Ahmad bin Muhammad bin Ali ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Kaherah: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983M) 3/440