اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1939: BAHAGIAN FARAID ISTERI KEDUA YANG TIDAK MEMPUNYAI ANAK DENGAN SUAMI

BAHAGIAN FARAID ISTERI KEDUA YANG TIDAK MEMPUNYAI ANAK DENGAN SUAMI

 

SOALAN

Assalamualaikum, Ustaz. Saya ingin bertanya soalan faraid harta pusaka. Suami saya telah meninggal dunia. Suami saya telah menceraikan isteri pertama sebelum berkahwin dengan saya dan mereka mempunyai dua orang anak, manakala saya pula isteri kedua dan saya tidak mempunyai anak dengan suami. Jadi, berapa bahagian faraid saya ustaz?

RINGKASAN JAWAPAN

Isteri yang kematian suaminya akan mendapat bahagian faraid daripada harta pusaka selepas pengurusan jenazah, hutang-piutang serta wasiat suami telah dilaksanakan. Bahagian faraid isteri apabila suami yang meninggal dunia mempunyai anak, isteri akan mendapat satu perlapan (1/8) daripada harta. Kewujudan anak kepada suami walaupun anak tersebut daripada perkahwinan dengan isteri yang lain telah mengurangkan bahagian isteri daripada 1/4 ke 1/8. Manakala isteri yang telah diceraikan suami tidak mendapat harta pusaka suaminya.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga, para sahabat, dan orang yang mengikuti jejak Langkah Baginda sehingga hari kiamat. Semoga kita semua sentiasa di bawah lindunganNya.

Pembahagian harta si mati kepada waris-warisnya akan dilakukan selepas selesai pengurusan jenazahnya, melunaskan hutang-piutang serta melaksanakan wasiat si mati yang tidak melebihi satu pertiga daripada baki harta peninggalan. Menurut Imam al-Nawawi[1]:

يبدأ من تركة الميت بمؤنة تجهيزه ثم تقضى ديونه ثم وصاياه من ثلث الباقي ثم يقسم الباقي بين الورثة.

Maksudnya: “Harta peninggalan si mati digunakan bermula dengan pengurusan jenazah, kemudian melangsaikan hutang-piutang si mati, kemudian melaksanakan wasiat si mati yang tidak melebihi satu pertiga daripada baki harta si mati (selepas pengurusan jenazah dan membayar hutangnya). Setelah itu, dibahagikan baki daripada harta itu kepada pewaris.

Dalam proses pembahagian harta ini, wujud waris-waris yang boleh menghalang atau mengurangkan bahagian waris yang lain. Keadaan ini dipanggil halangan pewarisan (الحَجْبُ).

Berdasarkan soalan di atas, anak-anak suami merupakan halangan yang mengurangkan  bahagian isteri dalam faraid (الحَجْبُ النُّقْصَان). Dengan wujudnya anak-anak suami ini, mereka telah mengurangkan bahagian isteri daripada mendapat satu perempat kepada satu perlapan daripada harta. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم ۚ مِّن بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ

Maksudnya: Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.

Surah al-Nisa’ (12)

Imam al-Qurtubi berkata ketika mentafsirkan ayat ini:

وَالْوَلَدُ هُنَا بَنُو الصُّلْبِ وَبَنُو بَنِيهِمْ وَإِنْ سَفُلُوا، ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَاحِدًا فَمَا زَادَ بِإِجْمَاعٍ. وَتَرِثُ الْمَرْأَةُ مِنْ زَوْجِهَا الرُّبُعَ مَعَ فَقْدِ الْوَلَدِ، وَالثُّمُنَ مع وجوده.

Maksudnya: “Dimaksudkan dengan al-walad ialah anak kandung serta anak kepada anak kandung (cucu) dan ke bawah, samada lelaki atau perempuan, seorang atau lebih daripada itu, dan ini ialah ijmak. Isteri akan mewarisi ¼ sekiranya suami tiada anak dan satu perlapan sekiranya ada[2].”

Justeru, dengan kewujudan anak kandung, isteri tetap mendapat satu perlapan walaupun anak tersebut bukan daripada hasil perkahwinannya bersama suami. Hal ini kerana anak yang disebutkan ialah anak kepada si mati dan bukanlah anak kepada waris sebagaiamana yang dinyatakan oleh Imam al-Khatib al-Syirbini:

(الثّمن) وَهُوَ (فرض الزَّوْجَة) الْوَاحِدَة (و) كل (الزَّوْجَات) بالتسوية (مَعَ الْوَلَد) للزَّوْج مِنْهَا أَو من غَيرهَا

Maksudnya: “Satu per lapan ialah bahagian seorang isteri atau beberapa isteri yang dikongsi bersama apabila suami mempunyai anak dengannya atau anak dengan isteri yang lain[3].”

Oleh yang demikian, berdasarkan penerangan di atas, sekiranya suami mempunyai anak walaupun dengan isteri yang berbeza, bahagian faraid isteri adalah satu perlapan daripada harta. Bahagian satu perlapan itu akan dikongsi bersama jika suami mempunyai lebih dari seorang isteri.

Kesimpulannya, jika suami mempunyai isteri kedua dan anak daripada isteri pertama yang telah diceraikan sebagaimana soalan yang diajukan, bahagian isteri kedua ialah satu perlapan daripada harta untuk dirinya seorang dan tidak perlu berkongsi dengan bekas isteri.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. (2005). Minhaj al-Tolibin. Cet. 1. Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 180.

[2] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad. (1964). Tafsir al-Qurtubi (Jilid 5). Cet. 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Hlm. 75.

[3] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad. (t.t.). Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’ (Jilid 2). Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 388.