Soalan
Assalamualaikum, baru-baru ini saya pergi bercuti ke utara Malaysia. Kebetulan hari perjalanan saya itu pada hari Jumaat, dalam perjalanan saya dan keluarga singgah untuk solat Jumaat di sebuah masjid dan masjid tersebut menyediakan ruang solat wanita untuk menunaikan solat Jumaat. Persoalannya perlukah saya menggantikan semula solat zuhur kerana wanita tidak wajib menunaikan solat Jumaat. Selain itu, bolehkan saya menjamakkan solat Jumaat tersebut dengan solat Asar. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Kaum wanita harus menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid yang telah disediakan tempat solat bagi mereka. Meskipun begitu, perkara tersebut mestilah setelah mendapat keizinan wali atau suaminya dan terhindar daripada berlakunya fitnah.
Wanita yang telah mendirikan solat Jumaat tidak perlu mengulangi solat Zuhur, ini kerana solat Zuhurnya itu telah tertunai dengan melakukan solat Jumaat. Sekiranya mereka bermusafir, maka mereka boleh menghimpunkan solat Jumaat dan solat Asar secara jamak takdim.
Huraian jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah SWT.
Lelaki wajib menunaikan solat Jumaat apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti mukalaf, mukim dan lain-lain,[1] manakala bagi golongan wanita syarak tidak mewajibkannya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tariq bin Shihab, Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap muslim secara berjamaah melainkan empat orang: Hamba, orang perempuan, kanak-kanak, atau orang yang sakit.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Para ulama bersepakat bahawa sah bagi golongan wanita melakukan solat Jumaat, bahkan solat Zuhurnya juga tertunai. Wanita yang mengerjakan solat jumaat tidak perlu mengulangi solat Zuhur walaupun solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas mereka[2]. Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut dalam karyanya:
(وَمَنْ صَحَّتْ ظُهْرُهُ) مِمَّنْ لَا تَلْزَمُهُ الْجُمُعَةُ كَمَا قَالَ فِي الْمُحَرَّرِ، وَذَلِكَ كَالصَّبِيِّ وَالْعَبْدِ وَالْمَرْأَةِ وَالْمُسَافِرِ بِخِلَافِ الْمَجْنُونِ وَنَحْوِهِ (صَحَّتْ جُمُعَتُهُ) بِالْإِجْمَاعِ
Maksudnya: “Mereka yang sah menunaikan solat Zuhur iaitu mereka yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Muharrar begitu juga seperti kanak-kanak, hamba, wanita, orang yang musafir maka solat jumaat (yang dia dirikan) adalah sah menurut ijmak ulama. Sebaliknya berbeza hukum bagi orang gila dan seumpamanya (tidak sah solat jumaatnya)” [3]
Menurut para ulama, wanita dibenarkan untuk menghadiri solat Jumaat sepertimana solat-solat fardu yang lain di masjid dengan mendapat kebenaran wali atau suami sekiranya sudah berkahwin. Walaupun begitu, kehadiran mereka mestilah terhindar daripada berlakunya fitnah[4]. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa makruh bagi wanita sama ada tua atau muda hadir menunaikan solat Jumaat sekiranya dengan kehadiran mereka itu boleh menimbulkan syahwat kepada para jemaah, namun sekiranya tidak mendatangkan fitnah maka ia diharuskan.[5]
Sehubungan dengan itu, bagi orang yang bermusafir pada hari Jumaat, mereka dibenarkan untuk menjamakkan solat Jumaat dengan solat Asar secara jamak takdim iaitu dilakukan solat asar pada waktu solat Jumaat. Menurut Syeikh Zakaria al-Ansari, jamak antara solat Jumaat dan solat Asar tidak boleh dilakukan secara jamak takhir iaitu dihimpunkan pada waktu Asar. Kenyataannya seperti berikut:
وَيَجُوزُ جَمْعُ الْجُمُعَةِ، وَالْعَصْرِ تَقْدِيمًا كَمَا نَقَلَهُ الزَّرْكَشِيُّ وَاعْتَمَدَهُ كَجَمْعِهِمَا بِالْمَطَرِ بَلْ أَوْلَى وَيَمْتَنِعُ تَأْخِيرًا؛ لِأَنَّ الْجُمُعَةَ لَا يَتَأَتَّى تَأْخِيرُهَا عَنْ وَقْتِهَا
Maksudnya: “Harus menjamakkan solat Jumaat dan solat Asar secara takdim seperti yang dinyatakan oleh al-Zarkashi dan ini disandarkan sebagai mana jamak solat Jumaat dan solat Asar ketika hujan bahkan itu lebih utama. Jamak takhir (untuk situasi ini) tidak dibenarkan kerana solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan pada pengakhiran waktunya”.[6]
Sebagai kesimpulan, harus bagi wanita menunaikan solat jumaat di masjid-masjid yang telah disediakan tempat solat bagi mereka. Meskipun begitu, perkara tersebut mestilah setelah mendapat keizinan wali atau suaminya dan terhindar daripada berlakunya fitnah.
Wanita yang telah mendirikan solat Jumaat tidak perlu mengulangi solat Zuhur, ini kerana solat Zuhurnya itu telah tertunai dengan melakukan solat Jumaat. Sekiranya mereka bermusafir, maka mereka boleh menghimpunkan solat Jumaat dan solat Asar secara jamak takdim.
Wallahu A'lam
Rujukan:
[1] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin. (Dar al-Fikr, 1425) Hlm. 46
إنَّمَا تَتَعَيَّنُ عَلَى كُلِّ مُكَلَّفٍ حُرٍّ ذَكَرٍ مُقِيمٍ بِلَا مَرَضٍ وَنَحْوِهِ
[2] Ahmad Salamah al-Qulyubi dan Ahmad al-Barlisi ‘Umairah, Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah. (Beirut: Dar al-Fikr, 1415) Hlm. 1 Jld. 311
لِأَنَّهَا تَصِحُّ لِمَنْ تَلْزَمُهُ فَلِمَنْ لَا تَلْزَمُهُ أَوْلَى، وَتُجْزِئُهُ عَنْ الظُّهْرِ وَيُسْتَحَبُّ حُضُورُهَا لِلْمُسَافِرِ وَالْعَبْدِ وَالصَّبِيِّ
[3] Al-Khatib al-syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415) Jld. 1 hlm. 537
[4] [4] Ahmad bin Muhammad bin Hajr al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-tijariyyah al-kubra, 1357) Jld 2, Hlm. 407
وَإِنْ قَلَّ كَمَا يَأْتِي وَامْرَأَةٌ وَخُنْثَى وَمُسَافِرٌ وَمَرِيضٌ لِلْخَبَرِ وَلَكِنْ يَجِبُ أَمْرُ الصَّبِيِّ بِهَا كَبَقِيَّةِ الصَّلَوَاتِ كَمَا مَرَّ وَيُسَنُّ لِسَيِّدِ قِنٍّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ فِي حُضُورِهَا وَلِعَجُوزٍ فِي بِذْلَتِهَا حَيْثُ لَا فِتْنَةَ أَنْ تَحْضُرَهَا كَمَا عُلِمَ مِمَّا مَرَّ أَوَّلَ صَلَاةِ الْجَمَاعَةِ
[5] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Dar al-Fikr) Jdl. 4 Hlm. 496
إذا أرادت المرأة حضور الجمعة فهو كحضورها لسائر الصلوات وقد ذكره المصنف في أول باب صلاة الجماعة وشرحناه هناك وحاصله أنها إن كانت شابة أو عجوزا تشتهى كره حضورها وإلا فلا وهكذا صرح به هنا المتولي وغيره
[6] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib. (Dar al-Kitab al-Islamiy0 Jld. 1 Hlm. 242