اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1981: HUKUM MEMBUKA KANTIN SEKOLAH UNTUK MURID NON-MUSLIM DI BULAN RAMADAN

HUKUM_MEMBUKA_KANTIN_SEKOLAH_UNTUK_MURID_NON-MUSLIM_DI_BULAN_RAMADAN.jpg

 

SOALAN:

Baru-baru ini heboh di media sosial polemik tentang arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka kantin sekolah di bulan Ramadan kepada murid bukan Islam. Di sini, saya ingin bertanya apakah hukum membuka kantin sekolah di Bulan Ramadan?

JAWAPAN:

Hukum menjual makanan kepada orang bukan Islam telah dibincangkan oleh ulama dan terdapat perselisihan pandangan sebagaimana boleh dilihat dalam pautan berikut:

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/2440-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-107-hukum-memberi-makan-kepada-non-muslim-pada-siang-hari-di-bulan-ramadhan

Pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) juga telah berkongsi kembali pautan berkenaan dalam hantaran di Facebook rasmi jabatan pada 14 Mac 2024.

Dalam tulisan berkenaan telah memilih pandangan harus. Walau bagaimanapun, melihat kepada kemuliaan bulan Ramadan, ia perlu diurus dengan baik supaya tidak bertentangan dengan kemuliaan bulan Ramadan.

Dalam isu ini, perkara yang perlu dilihat ialah keperluan kepada tempat untuk makan atau tempat untuk membeli makanan bagi murid non-Muslim adalah dua perkara yang berbeza. Jika yang menjadi persoalan adalah tempat untuk makan, maka pihak sekolah boleh menguruskannya dengan menyediakan tempat yang sesuai dan tidak terbuka di samping menjaga kehormatan bulan Ramadan.

Namun sekiranya yang diperlukan adalah tempat untuk membeli makanan, maka pihak sekolah boleh berunding dengan pengusaha kantin yang tentunya melibatkan kos pengurusan dan operasi. Perkara ini boleh diurus dengan baik dan harmoni tanpa dijadikan bahan polemik yang berpanjangan kerana perkara ini telah berjalan sejak sekian lama di sekolah-sekolah dalam negara kita.