اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1982: HUKUM NON-MUSLIM MENGGUNTING RAMBUT BAYI DI MAJLIS MARHABAN DAN BERENDOI

HUKUM_NON-MUSLIM_MENGGUNTING_RAMBUT_BAYI_DI_MAJLIS_MARHABAN_DAN_BERENDOI.jpg

 

Soalan

Tular satu video di tiktok dalam satu majlis marhaban dan berendoi di mana seorang non muslim dijemput menggunting rambut bayi dalam majlis tersebut. Apakah hukum perbuatan dan menjemput non-muslim untuk menggunting rambut bayi dalam majlis berkenaan?

Jawapan

Pihak JMWP telah meneliti video berkenaan pada pandangan pihak JMWP majlis berkenaan adalah majlis kesyukuran atas kelahiran cahaya mata dan dibuat majlis marhaban dan berendoi.

Suka dinyatakan apabila seorang dianugerahkan cahaya mata, disunatkan melakukan beberapa perkara iaitu tahnik, diletakkan nama bayi, akikah dan cukur rambut. Bagi akikah, cukur rambut dan letak nama lebih afdal dilakukan pada hari ke-7. Antara hadisnya adalah seperti berikut:

كلُّ غُلامٍ رَهينةٌ بعَقيقةٍ تُذبَحُ عنه يومَ سابعِهِ، ويُحلَقُ رأسُهُ، ويُسَمَّى

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih (akikah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya, dan diberikan nama.”

Riwayat Abu Daud

Dalam masyarakat Melayu terdapat budaya-budaya tertentu dalam menzahirkan kesyukuran ini seperti diadakan majlis marhaban dan berendoi (Seni pentas yang dipersembahkan sempena upacara mencukur rambut). Kebiasaannya orang soleh dan yang dihormati dalam masyarakat dijemput untuk menggunting sedikit rambut sebagai simbol sebelum kemudiannya akan dicukur rambut bayi keseluruhannya oleh orang lain. Ini adalah sebagai mengambil berkat orang soleh.

Merujuk kepada persoalan yang ditanya, tindakan menjemput non-muslim untuk menggunting rambut tidaklah haram di samping keberadaan mereka dalam majlis berkenaan boleh dilihat daripada aspek dakwah. Walau bagaimanapun menggunting rambut oleh non-muslim itu dilihat tidak sesuai dengan falsafah di sebalik majlis berkenaan yang lebih kepada ingin mengambil berkat daripada orang soleh yang dijemput untuk menggunting rambut bayi. Selain itu, menggunting rambut bayi oleh non-muslim boleh menimbulkan fitnah kerana bertentangan dengan amalan kebiasaan masyarakat Islam yang mengkhususkan menggunting rambut bayi oleh orang soleh atau orang Islam yang dihormati dalam masyarakat.