Soalan
Assalamualaikum. Saya solat dihujung-hujung waktu, maka saya terpaksa tahan kentut. Apakah status solat saya sedangkan tidak kentut? Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Hukum menahan kentut ketika solat adalah makruh apabila masih terdapat keluasan waktu. Situasi tersebut boleh mengganggu kekhusyukkan solat. Walau bagaimanapun disunatkan untuk mengulangi solat tersebut. Sementara itu, solat dipenghujung waktu (waktu solat hampir tamat) tetap perlu diteruskan bagi menghormati serta memelihara waktunya walau dalam keadaan tahan kentut dan tidak makruh hukumnya.
Huraian Jawapan:
Antara perkara yang boleh membatalkan wuduk adalah keluar sesuatu daripada qubul (kemaluan hadapan) lelaki atau perempuan atau dubur (kemaluan belakang) sama ada yang keluar itu bentuk tinja, air kencing, angin, ulat, nanah, darah, batu-batu dan lain-lain.[1]
Walau bagaimanapun, menahan sesuatu keluar dari dua lubang qubul dan dubur boleh mengganggu kekhusyukan solat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RAanha bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ وَلَا وَهُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
Maksudnya: " Tiada solat (tiada kesempurnaan) ketika makanan dihidang dan juga ketika keadaan seseorang itu menahan diri daripada hadas (membuang air kecil dan besar.)"
Riwayat Muslim (560)
Makna “tiada solat” dalam hadis merujuk kepada hilangnya rasa khusyuk dan kesempurnaan dalam solat.[2] Jelas hadis diatas menunjukkan bahawa menahan sesuatu keluar daripada qubul dan dubur (air kecil, najis, angin, muntah)[3] akan mengakibat hatinya tidak fokus serta mengganggu kekhusyukannya. Oleh itu, hukum menahan daripada hadas ketika solat adalah makruh apabila masih ada keluasan waktu menurut jumhur ulama. Namun, disunatkan untuk mengulangi solat tersebut. Sementara, sekiranya berbaki waktu sedikit sehingga apabila seseorang itu makan dan bersuci menyebabkan tempoh waktu solat tamat, maka solat tetap wajib diteruskan bagi memelihara waktunya tanpa boleh melambatkannya dan solatnya sah menurut majoriti ulama.[4]
Penutup
Hukum menahan kentut ketika solat adalah makruh ketika mempunyai keluasan waktu dan solatnya tetap sah. Walau bagaimanapun dianjurkan untuk mengulangi solat tersebut dengan melakukannya secara tenang tanpa tergopoh-gapah bagi memastikan kekhusyukan dalam solat. Namun, apabila solat dilaksanakan dihujung waktu, solatnya tetap perlu diteruskan bagi memelihara solat pada waktunya walau dalam keadaan menahan kentut mahupun lapar.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Nawawi, Zakariyya Mahya Addin, Al-Majmuk Syarh al-Muhadzzab, Dar al-Fikr, hlmn :2/ 4
أَمَّا حُكْمُ الْمَسْأَلَةِ فَالْخَارِجُ مِنْ قُبُلِ الرَّجُلِ أَوْ الْمَرْأَةِ أَوْ دُبُرِهِمَا يَنْقُضُ الْوُضُوءَ سَوَاءٌ كَانَ غَائِطًا أَوْ بَوْلًا أَوْ رِيحًا أَوْ دُودًا أَوْ قَيْحًا أَوْ دَمًا أَوْ حَصَاةً أَوْ غَيْرَ ذَلِكَ وَلَا فَرْقَ فِي ذَلِكَ بَيْنَ النَّادِرِ وَالْمُعْتَادِ وَلَا فَرْقَ فِي خُرُوجِ الرِّيحِ بَيْنَ قُبُلِ الْمَرْأَةِ وَالرَّجُلِ وَدُبُرِهِمَا نَصَّ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ فِي الْأُمِّ وَاتَّفَقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَابُ
[2]Abu Yahya Zakariyya al-Anshari al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah, J: 1 P: 408
«لَا صَلَاةَ» أَيْ: كَامِلَةً وَالْمَعْنَى فِيهِ إذْهَابُ الْخُشُوعِ،
[3] Mahmud al-Subki, Al-Manhal al-Azib al-Maurud Syarh Sunan Abi Daud (Qaerah : Mesir) 1:297
«أن مريدها يدافعه الأخبثان البول والغائط، وفي معناهما القئ والريح فلا داخلة على محذوف والواو للحال »
من احتبس غائطه أو) ابتداؤها (مع ريح محتبسة ونحوه) أى نحو ما ذكر مما يزعجه ويشغله عن خضوع الصلاة (
[4] Al-Nawawī, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf, (1392) Sharḥ al-Nawawī ‘ala Muslim, Dār Ihya’ -al-Turāth al-‘Arabi (5/ 46)
فِي هَذِهِ الْأَحَادِيثِ كَرَاهَةُ الصَّلَاةِ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ الَّذِي يُرِيدُ أَكْلَهُ لِمَا فِيهِ مِنِ اشْتِغَالِ الْقَلْبِ بِهِ وَذَهَابِ كَمَالِ الْخُشُوعِ وَكَرَاهَتِهَا مَعَ مُدَافَعَةِ الْأَخْبَثِينَ وَهُمَا الْبَوْلُ وَالْغَائِطُ وَيَلْحَقُ بِهَذَا مَا كان في معناه مما يَشْغَلُ الْقَلْبَ وَيُذْهِبُ كَمَالَ الْخُشُوعِ وَهَذِهِ الْكَرَاهَةُ عِنْدَ جُمْهُورِ أَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمِ إِذَا صَلَّى كَذَلِكَ وَفِي الْوَقْتِ سَعَةٌ فَإِذَا ضَاقَ بِحَيْثُ لَوْ أَكَلَ أَوْ تَطَهَّرَ خَرَجَ وَقْتُ الصَّلَاةِ صَلَّى عَلَى حَالِهِ مُحَافَظَةً عَلَى حُرْمَةِ الْوَقْتِ وَلَا يَجُوزُ تَأْخِيرُهَا
وَحَكَى أَبُو سَعْدٍ الْمُتَوَلِّي مِنْ أَصْحَابِنَا وَجْهًا لِبَعْضِ أَصْحَابِنَا أَنَّهُ لَا يُصَلِّي بِحَالِهِ بَلْ يَأْكُلُ وَيَتَوَضَّأُ وَإِنْ خَرَجَ الْوَقْتُ لِأَنَّ مَقْصُودَ الصَّلَاةِ الْخُشُوعُ فَلَا يَفُوتُهُ وَإِذَا صَلَّى عَلَى حَالِهِ وَفِي الْوَقْتِ سَعَةٌ فَقَدِ ارْتَكَبَ الْمَكْرُوهَ وَصَلَاتُهُ صَحِيحَةٌ عِنْدَنَا وَعِنْدَ الْجُمْهُورِ لَكِنْ يُسْتَحَبُّ إِعَادَتُهَا
Mugni al-Muhtaj Ila Ma’rifah Ma’ani al-Faz al-Minhaj (1/ 475)
فَلَوْ خَشِيَ بِتَخَلُّفِهِ فَوَاتَ الْوَقْتِ صَلَّى وُجُوبًا مُدَافِعًا وَجَائِعًا وَعَطْشَانَ وَلَا كَرَاهَةَ لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ
فتح الرحمن بشرح زبد ابن رسلان
ومحل الكراهة: عند اتساع الوقت، فإن ضاق .. وجب عليه أن يصلي مدافعا وجائعا وعطشانا؛ لحرمة الوقت ولا كراهة.