اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1992: ADAKAH SAH SOLAT MAKMUM JIKA SESEORANG YANG DIIKUTINYA TIDAK MAHU MENJADI IMAM?

ADAKAH_SAH_SOLAT_MAKMUM_JIKA_SESEORANG_YANG_DIIKUTINYA_TIDAK_MAHU_MENJADI_IMAM.jpg

Soalan:

Assalamualaikum SS Mufti. Boleh tak saya tak nak jadi imam apabila dicuit. Adakah sah solat orang yang ikut saya itu walaupun saya tak nak jadi imam?

RINGKASAN JAWAPAN

Solat makmum tetap sah walaupun orang yang dicuit tersebut tidak berniat untuk menjadi imam. Ini kerana niat imam bukanlah satu syarat dalam solat berjemaah. Jika makmum berniat untuk berjemaah bersama imam, maka solatnya adalah sah dan mendapat pahala berjemaah.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dalam mazhab al-Shafi’i, seorang makmum yang mendirikan solat sunat boleh berjemaah bersama dengan imam yang solat fardu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini sepertimana yang disebutkan Imam al-Nawawi bahawa:

فمذهبنا أنه ‌تصح ‌صلاة ‌النفل ‌خلف ‌الفرض والفرض خلف النفل

Maksudnya: Maka mazhab kami (al-Shafi’i) adalah sah solat makmum yang solat sunat berimamkan imam yang solat fardu. Begitu juga makmum yang solat fardu berimamkan imam yang solat sunat.[1] (Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 4:269)

Oleh yang demikian, jika seseorang yang mendirikan solat fardu secara berjemaah di belakang orang yang solat sunat, maka sah hukum solat makmum tersebut walaupun berlainan niat. Oleh yang demikian, orang yang dicuit imam tidak boleh menjadikan hal ini sebagai alasan untuk tidak menjadi imam, sebaliknya dia boleh untuk berniat imam walaupun dalam solat sunat.

Bahkan, sekiranya orang yang dicuit itu tidak berniat untuk menjadi imam sekalipun, maka solat makmum di belakang seseorang yang tidak berniatkan imam adalah sah. Ini kerana niat imam tidak disyaratkan dalam solat berjemaah mengikut pandangan mazhab al-Syafie. Ini berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ bahawa:

والصواب أن نية الإمامة لا تجب ولا تشترط لصحة الاقتداء وبه قطع جماهير أصحابنا

Maksudnya: Pandangan yang benar ialah niat menjadi imam tidak wajib dan tidak disyaratkan untuk keabsahan solat makmum mengikuti imam. Pandangan ini disepakati oleh jumhur ulama shafi’iyyah.[2]

(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4:203)

Oleh yang demikian, jika makmum di belakang saudara berniat untuk solat berjemaah, maka solat bagi dirinya adalah sah, walaupun saudara tidak berniat menjadi imam.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah, Idarah al-Tiba’ah al-Muniriah: 1436 H), 4:269.

[2] Ibid, 4:203.