SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya hukum membacakan doa qunut nazilah kepada umat Islam yang lain atas faktor perselisihan pandangan. Saya ingin tahu, adakah ia perbuatan berdoa tersebut dibolehkan dalam Islam?
Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Berdasarkan pengamalan Rasulullah SAW dan para sahabat serta pandangan daripada para ulama, dapat dilihat dengan jelas bahawa doa Qunut Nazilah hanya dibacakan kepada musuh daripada golongan kafir dan golongan murtad sahaja serta tidak ke atas golongan umat Islam sesama sendiri.
Oleh yang demikiran, pertembungan di antara sesama umat Islam, tidak kira apa jua sebabnya, tidak boleh untuk dibacakan Qunut Nazilah kepada sesama muslim. Apatah lagi jika sekiranya perselisihan dan pertelingkahan yang biasa terjadi terutamanya dalam lapangan politik dan seumpamanya. Oleh itu, tindakan membaca doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.
Waallahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Doa Qunut Nazilah merupakan satu doa yang dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah yang besar. Hal ini sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang membacakan doa Qunut Nazilah apabila berlaku pengkhianatan dan pembunuhan ke atas sahabat Baginda RAnhum. Selain daripada itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq juga pernah membaca doa ini ketika memerangi golongan murtad seperti Musailamah al-Kazzab. Manakala Saidina Umar al-Khattab juga membaca doa ini apabila memerangi golongan Nasrani. Kami telah membahaskan setiap daripadanya dalam artikel yang lain, sila rujuk artikel Al-Kafi #969: Hukum Membaca Qunut Nazilah untuk huraian lanjut.
Di samping itu, para ulama juga menyebutkan beberapa sebab lain dengan yang dibolehkan untuk dibaca doa Qunut Nazilah. Berkaitan perkara ini, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa antara sebab dibacakan doa Qunut Nazilah ialah umat ditimpa dengan musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak penyakit, serangan serangga dan seumpama. Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, beliau berkata:
إن نزلت بالمسملين نَازِلَةٌ كَخَوْفٍ أَوْ قَحْطٍ أَوْ وَبَاءٍ أَوْ جَرَادٍ أَوْ نَحْوِ ذَلِكَ قَنَتُوا فِي جَمِيعِهَا وَإِلَّا فَلَا
Maksudnya: Sekiranya ditimpa ke atas orang-orang Islam musibah seperti ketakutan, kebuluran, wabak, (serangan) belalang dan lain-lain, maka dibacakan qunut pada semua solat, namun jika tiada musibah, maka tidak perlu membaca qunut. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:475)
Selain daripada itu, Ibn Hajar al-Haitami juga menyebutkan sebab-sebab yang sama dan menambah beberapa lagi sebab yang lain. Antara termasuk juga seperti hujan lebat yang turun sehingga membahayakan keselamatan, penahanan ulama atau pahlawan yang hebat dan seumpamanya. Kata beliau:
(لِلنَّازِلَةِ) الْعَامَّةُ أَوْ الْخَاصَّةُ الَّتِي فِي مَعْنَى الْعَامَّةِ لِعَوْدِ ضَرَرِهَا عَلَى الْمُسْلِمِينَ عَلَى الْأَوْجَهِ كَوَبَاءٍ وَطَاعُونٍ وَقَحْطٍ وَجَرَادٍ، وَكَذَا مَطَرٌ مُضِرٌّ بِعُمْرَانٍ أَوْ زَرْعٍ وِفَاقًا لِمَنْ خَصَّهُ بِالثَّانِي لِأَنَّهُ لَمْ يَرِدْ فِي الْأَوَّلِ إلَّا الدُّعَاءُ وَذَلِكَ لِأَنَّ رَفْعَ وَبَاءِ الْمَدِينَةِ لَمْ يَرِدْ فِيهِ إلَّا الدُّعَاءُ وَمَعَ ذَلِكَ جَعَلُوهُ مِنْ النَّازِلَةِ وَخَوْفِ عَدُوٍّ كَأَسْرِ عَالِمٍ أَوْ شُجَاعٍ لِلْأَحَادِيثِ الصَّحِيحَةِ «أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم قَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى قَاتِلِي أَصْحَابِهِ الْقُرَّاءِ بِبِئْرِ مَعُونَةَ لِدَفْعِ تَمَرُّدِهِمْ» لَا لِتَدَارُكِ الْمَقْتُولِينَ لِتَعَذُّرِهِ وَقِيسَ غَيْرُ خَوْفِ الْعَدُوِّ عَلَيْهِ.
Maksudnya: (Satu musibah yang berlaku) sama ada secara umum atau secara khusus. Makna umum di sini ialah musibah yang mudaratnya terkena kepada orang Islam dari sudut seperti wabak penyakit, taun, kebuluran dan serangan belalang. Begitu juga, hujan lebat yang akan memudaratkan bandar atau tanaman bagi sesiapa yang dikhusukan dengan maksud yang kedua. Hal ini kerana tidak ada yang disebut dalam hadis pada awalnya kecuali doa, dan itu adalah kerana wabak di kota itu telah diangkat, tidak ada yang disebut di dalamnya kecuali melalui doa. Maka dengan itu, mereka (para ulama) menjadikan bahawa antara musibah yang diambil kira ialah penawanan orang alim dan pahlawan yang berani berdasarkan hadis yang sahih, “Rasulullah SAW melakukan Qunut (Nazilah) selama sebulan berdoa bagi pihak golongan qurra’ yang syahid dalam kalangan sahabat di Bi’r Ma’unah untuk menolak pemberontakan mereka.” Ini bukanlah untuk mendapatkan semula mereka yang telah syahid kerana perkara itu mustahil. Oleh itu, diqiaskan sebab-sebab Qunut Nazilah yang lain kepada perkara ini. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 2:68)
Kesimpulan
Oleh yang demikian, apa yang dapat diperhatikan daripada nas dan pernyataan ulama di atas, doa Qunut Nazilah ini dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi oleh orang Islam serta pada musibah besar yang menimpa mereka. Selain daripada itu, ia dibaca dalam konteks peperangan jihad yang dituntut dan dibenarkan oleh syarak sepertimana situasi yang dihadapi oleh Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA. Tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa Qunut Nazilah ke atas golongan Islam sendiri.
Oleh itu, perbuatan membaca doa qunut nazilah ke atas orang Islam, tidak kira ia menjadi musuh atau lawan sesama umat Islam, adalah tidak dibolehkan dalam apa jua keadaan. Apatah lagi jika hanya melibatkan perselisihan faham dan pandangan yang biasa dalam politik dan seumpamanya. Hal ini seharusnya dielakkan kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan yang ekstrim dan melampau dalam agama.
Waallahu a’lam.