اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2002: ADAKAH ANAK LUAR NIKAH TIDAK DAPAT FARAID?

ADAKAH_ANAK_LUAR_NIKAH_TIDAK_DAPAT_FARAID.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum. Betulkah anak luar nikah tidak boleh dapat faraid walaupun daripada pusaka ibu? Apakah hukum antara dia dan adiknya yang juga merupakan anak tak sah taraf? Bolehkah dia mewarisi daripada mereka sekiranya salah seorang meninggal dunia?

RINGKASAN JAWAPAN

Anak tidak sah taraf boleh mewarisi pusaka ibunya secara faraid kerana sabit nasab kepada ibu melalui kelahiran. Namun begitu, anak tidak sah taraf tidak boleh saling mewarisi bapa biologinya dan waris-waris lain di sebelah bapa secara faraid.

Selain itu, anak tidak sah taraf dan adik-beradiknya ialah adik-beradik seibu dan mereka saling mewarisi sebagai saudara seibu iaitu berkongsi bahagian 1/3 sekiranya bilangan mereka ramai atau 1/6 sekiranya bilangannya seorang.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW dan seluruhnya.

Menurut Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 13 September 2017, anak tidak sah taraf ialah:

(a) anak yang dilahirkan hasil –

(i) persetubuhan yang berlaku sebelum akad nikah sama ada akibat zina atau rogol; atau

(ii) melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum Syarak, dan bukan anak yang dilahirkan hasil daripada persetubuhan syubhah atau bukan anak perhambaan; atau

(b) anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan mengikut takwim qamariah dari tarikh akad nikah.

Begitu juga, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau suami ibunya. Oleh sebab tiada sabitan nasab anak kepada bapa biologinya, maka anak tidak sah taraf tidak boleh mewarisi bapa biologinya waris-waris lain di sebelah bapa secara faraid. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW berikut:

‌أَيُّمَا ‌رَجُلٍ ‌عَاهَرَ ‌بِحُرَّةٍ ‌أَوْ ‌أَمَةٍ ‌فَالوَلَدُ ‌وَلَدُ ‌زِنَا ‌لَا ‌يَرِثُ ‌وَلَا ‌يُورَثُ

Maksudnya: Mana-mana lelaki yang berzina dengan seorang wanita merdeka atau hamba wanita, maka anak yang dilahirkan kerana itu ialah anak zina. Dia tidak mewarisi bapanya dan juga tidak diwarisi oleh bapanya.

(Riwayat al-Tirmizi)

Penasaban anak tidak sah taraf hanya sabit kepada ibu kerana nasab kepada ibu ditetapkan dengan proses melahirkan anak itu sendiri. Para ulama telah bersepakat bahawa anak luar nikah adalah mahram kepada ibunya seperti yang dinyatakan berikut:

(وَيَحْرُمُ عَلَى الْمَرْأَةِ) وَعَلَى سَائِرِ مَحَارِمِهَا (وَلَدُهَا مِنْ زِنَا، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ) إجْمَاعًا لِأَنَّهُ بَعْضُهَا وَانْفَصَلَ مِنْهَا إنْسَانًا

Maksudnya: Ijmak bersepakat bahawa seorang wanita dan semua mahramnya ialah mahram kepada anak yang dilahirkan disebabkan zina kerana anak tersebut ialah sebahagian daripadanya dan telah dilahirkan olehnya.  

Oleh yang demikian, sekiranya ibu meninggalkan harta setelah meninggal dunia, maka anak tidak sah taraf boleh mewarisi hartanya secara faraid. Begitu juga, ibu serta waris sebelah ibu yang layak menerima faraid juga boleh mewarisi harta anak tidak sah taraf sekiranya dia meninggal dunia.

Manakala, hubungan antara anak tidak sah taraf dan adik-beradiknya yang lain ialah hubungan adik-beradik seibu kerana mereka dilahirkan oleh ibu yang sama. Situasi ini termasuklah sama ada adik-beradik tersebut berstatus sah taraf atau tidak walaupun berkongsi bapa yang sama. Keadaan ini berlaku kerana anak tidak sah taraf dianggap tiada bapa dari sudut syarak, justeru tidak akan wujud hubungan adik beradik seibu sebapa atau sebapa bagi anak tidak sah taraf.

Oleh itu, dalam pewarisan harta pusaka, mereka boleh mewarisi antara satu sama lain melalui hubungan adik-beradik seibu. Saudara seibu akan mewarisi ⅙ bahagian daripada harta peninggalan sekiranya hanya seorang atau berkongsi ⅓ bahagian sekiranya mereka lebih daripada seorang. Ketetapan ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ ۚ

Maksudnya: Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan).

(Surah al-Nisa: 12)

Kesimpulan 

i. Anak tidak sah taraf tidak boleh mewarisi bapa biologinya dan waris-waris lain di sebelah bapa secara faraid, tetapi dia boleh boleh mewarisi pusaka ibunya secara faraid kerana nasabnya sabit hanya pada ibu.

ii. Anak tidak sah taraf dan adik-beradiknya ialah adik-beradik seibu dan mereka saling mewarisi sebagai saudara seibu iaitu berkongsi bahagian 1/3 sekiranya bilangan mereka ramai atau 1/6 sekiranya bilangannya seorang.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan:

  1.  Al-Ramli, Muhammad bin Ahmad. Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). 6:272.
  2.  Al-Syafi’i, Muhammad bin Idris. Al-Umm. (Beirut: Dar al-Fikr, 1990). 4:86. (قَالَ الشَّافِعِيُّ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -) : وَقُلْنَا إذَا مَاتَ وَلَدُ الْمُلَاعَنَةِ وَوَلَدُ الزِّنَا وَرَّثْت أُمَّهُ حَقَّهَا فِي كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِخْوَتَهُ ‌لِأُمِّهِ حُقُوقَهُمْ
  3.  Al-Ramli. Nihayah al-Muhtaj 7:179. لِأَنَّ أُخُوَّةَ الْأُمِّ ثَبَتَتْ ‌لِوَلَدِ ‌الزِّنَا لِثُبُوتِ نَسَبِهِ مِنْ الْأُمِّ فَكَذَا الرَّضَاعُ
  4.  Al-Mawardi, ‘Ali bin Muhammad. Al-Hawi al-Kabir. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1999). 8:162. أَنَّ تَوْأَمَ الزَّانِيَةِ لَا يَرِثُ إِلَّا مِيرَاثَ أَخٍ لِأُمٍّ بِإِجْمَاعِ أَصْحَابِنَا وَوِفَاقِ مَالِكٍ