Soalan:
“Saya pernah terdengar dalam satu ceramah bahawa waktu maghrib ini sangat pendek masanya, bukannya sehingga masuk waktu isyak. Jadi saya mohon penjelasan mengenai bilakah sebenarnya berakhir waktu Maghrib? Adakah perlu niat qada sekiranya waktu maghrib sudah habis?”
Ringkasan Jawapan:
Terdapat perbezaan pandangan fuqaha berkenaan waktu berakhirnya untuk menunaikan solat maghrib. Pandangan terpilih di dalam mazhab Syafi’i ialah berakhirnya waktu solat maghrib dengan hilangnya mega merah di langit, iaitu dengan masuknya waktu isyak. Justeru, selagi belum masuk waktu isyak, seseorang itu masih boleh menunaikan solat maghrib tanpa diniatkan sebagai qada.
Huraian Jawapan:
Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada orang Islam mengikut waktu-waktunya yang telah ditetapkan, seperti yang difirmankan oleh Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Terjemahan: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya”.
[Surah al-Nisā’, 103]
Sekiranya seseorang terlepas untuk melaksanakan solat pada waktu yang telah ditetapkan, maka dia hendaklah melakukannya di luar waktu tersebut sebagai ganti (qada). Oleh kerana persoalan yang diajukan ini memfokuskan kepada waktu solat maghrib, maka penulisan ini hanya membincangkan mengenai waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi menunaikan solat maghrib sahaja.
Permulaan Waktu Solat Maghrib
Para fuqaha bersepakat bahawa waktu permulaan bagi solat maghrib adalah apabila terbenamnya matahari. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Buraydah al-Aslami bahawa Rasulullah SAW pernah mengajarkan kepada seorang sahabat yang bertanyakan mengenai waktu solat seperti berikut:
ثُمَّ أَمَرَهُ فأقَامَ المَغْرِبَ حِينَ غَابَتِ الشَّمْسُ
Terjemahan: “Kemudian Baginda menyuruhnya lalu Baginda menunaikan solat maghrib pada ketika matahari terbenam”.
[Sahih Muslim]
Pengakhiran Waktu Solat Maghrib
Terdapat perbezaan dalam kalangan fuqaha untuk menentukan pengakhiran kepada waktu maghrib, sama ada waktu maghrib hanya mempunyai masa yang singkat seperti yang ditanyakan dalam soalan ini, atau waktu maghrib mempunyai waktu yang berpanjangan sehingga hilangnya mega merah, iaitu dengan masuknya waktu isyak.
Pandangan yang terpilih dalam mazhab Syafi’i ialah waktu maghrib bermula dengan terbenamnya matahari dan berakhirnya setelah hilang mega merah di langit, iaitu dengan masuknya waktu solat isyak. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَوَقْتُ صَلَاةِ المَغْرِبِ إذَا غَابَتِ الشَّمْسُ، ما لَمْ يَسْقُطِ الشَّفَقُ
Terjemahan: “waktu solat maghrib adalah pada ketika matahari terbenam selagi mana belum hilang mega merah”.
[Sahih Muslim]
Permasalahan mengenai waktu permulaan dan waktu pengakhiran bagi solat maghrib ini dijelaskan oleh al-Khaṭīb al-Shirbīni seperti berikut:[1]
(وَالْمَغْرِبُ) يَدْخُلُ وَقْتُهَا (بِالْغُرُوبِ) لِخَبَرِ جِبْرِيلَ، سُمِّيَتْ بِذَلِكَ لِفِعْلِهَا عَقِبَ الْغُرُوبِ.... (وَيَبْقَى) وَقْتُهَا (حَتَّى يَغِيبَ الشَّفَقُ الْأَحْمَرُ فِي الْقَدِيمِ)
Terjemahan: “(maghrib) bermula waktunya (dengan terbenamnya matahari) berdasarkan kepada hadis Jibril. Dinamakan demikian kerana solat ini dilakukan selepas terbenam matahari....(dan berkekalan) waktu maghrib sehingga hilangnya mega merah mengikut qawl qadim[2] ”.
Walaupun pandangan Imam al-Syafi’i dalam qawl jadid[3] menyatakan bahawa waktu maghrib hanyalah sekadar tempoh berwuduk, menutup aurat, azan, iqamah serta kadar pelaksanaan lima rakaat,[4] namun para fuqaha mazhab Syafi’i memilih untuk berpegang dengan pandangan qawl qadim dalam permasalahan ini.[5]
Justeru, seseorang yang ingin menunaikan solat maghrib boleh melaksanakannya bermula dengan terbenamnya matahari sehingga hilangnya keseluruhan mega merah yang berlaku apabila matahari berada jauh di bawah ufuk. Dengan hilangnya mega merah tersebut, maka tamatlah waktu solat maghrib dan bermulalah waktu solat isyak.
Walaupun solat maghrib berpanjangan sehingga masuk waktu isyak, namun perkara yang paling baik adalah dengan menyegerakan solat maghrib di awal waktunya, tanpa melengah-lengahkan sehingga ke hujung waktu melainkan terdapat urusan mustahak yang tidak dapat dielakkan sahaja. Imam al-Isnawi menukilkan pandangan daripada Imam al-Tirmizi bahawa makruh hukum sengaja melewatkan solat waktu maghrib sehingga di hujung waktu bagi meraikan pandangan qawl jadid Imam Syafi’i.[6]
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
- Terdapat perbezaan pandangan fuqaha berkenaan pengakhiran waktu solat maghrib.
- Pandangan yang terpilih dalam mazhab Syafi’i ialah waktu solat maghrib bermula daripada terbenam matahari dan berakhir setelah hilangnya keseluruhan mega merah, iaitu apabila masuknya waktu isyak.
- Waktu yang terbaik untuk menunaikan solat maghrib ialah di awal waktu, sebaik sahaja terbenam matahari. Walaupun sah solat maghrib di hujung waktu, namun perbuatan tersebut adalah makruh sekiranya disengajakan.
WaLlāhu A’lam
Rujukan:
[1] Shams al-Din Muhammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma'rifah Ma'āni al-Minhāj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah 1:300.
[2] Qawl Qadim merupakan pandangan Imam al-Syafi’i sebelum beliau memasuki Mesir. Untuk bacaan lanjut mengenai istilah ini, boleh rujuk artikel yang dikeluarkan oleh pihak JMWP yang boleh diakses melalui laman sesawang berikut: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-usul-fiqh/4293-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-48-definisi-qaul-qadim-dan-qaul-jadid
[3] Qawl Jadid pula merujuk kepada pandangan Imam al-Syafi’e sewaktu di Mesir.
[4] Abū Zakariyyā Muḥyi al-Dīn al-Nawawi (2005), Minhāj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: Dār al-Fikr, 21.
وفي الجديد ينقضي بمضي قدر وضوء وستر عورة وأذان وإقامة وخمس ركعات
[5] Abū Zakariyyā Muḥyī al-Dīn al-Nawawi (1347H), al-Majmū' Sharḥ al-Muhadhdhab, Kaherah: Idarah al-Tiba'ah al-Muniriyyah, 1:66.
وذكر بعض المتأخرين من أصحابنا: أن المسائل التي يفتى بها على القديم أربع عشرة ، فذكر الثلاث المذكورات ، ومسألة الاستنجاء بالحجر فيما جاوز المخرج ، والقديم جوازه . ومسألة لمس المحارم ، والقديم : لا ينقض . ومسألة الماء الجاري ، القديم : لا ينجس إلا بالتغير . ومسألة تعجيل العشاء ، القديم : أنه أفضل ، ومسألة وقت المغرب والقديم: امتداده إلى غروب الشفق .
[6] Shams al-Din Muhammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Ma'rifah Ma'āni al-Minhāj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1:302.
قَالَ الْإِسْنَوِيُّ نَقْلًا عَنْ التِّرْمِذِيِّ وَوَقْتُ كَرَاهَةٍ، وَهُوَ تَأْخِيرُهَا عَنْ وَقْتِ الْجَدِيدِ اهـ، وَمَعْنَاهُ وَاضِحٌ مُرَاعَاةً لِلْقَوْلِ بِخُرُوجِ الْوَقْتِ