اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2019: HUKUM PERTUKARAN EMAS 916 DENGAN EMAS 999

HUKUM_PERTUKARAN_EMAS_916_DENGAN_EMAS_999.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan. Saya ada terbaca bahawa antara syarat pertukaran emas dengan emas mestilah disamakan timbangannya. Namun, timbul persoalan dalam diri saya, sekarang ini sudah ada banyak jenis emas, ada emas 916, 999, soalan saya, jika saya ingin menukar emas, adakah perlu disamakan juga ketulenannya? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Antara syarat pertukaran emas dengan emas adalah wajib sama berat dengan juga ketulenannya. Oleh itu, menukar emas yang berbeza ketulenannya namun beratnya sama adalah haram atas sebab kuantiti emas dan nilainya yang berbeza antara keduanya.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Sebagaimana maklum, emas merupakan salah satu item ribawi. Oleh yang demikian, sebarang transaksi jual beli atau pertukaran yang melibatkan item ribawi hendaklah menepati segala tatacara dan panduan yang ditetapkan oleh Syarak agar tidak terjerumus dalam kancah riba. Penetapan emas sebagai item ribawi jelas disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Somit RA bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya:Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (lani).”

Riwayat Muslim (1587)

Berdasarkan kepada hadis ini, jelas kepada kita bahawa sebarang transaksi jual beli atau pertukaran emas dengan sesuatu yang sama jenis dengannya hendaklah memenuhi dua syarat iaitu penyerahan secara tunai dalam majlis akad dan kesamaan pada kadar yang diiktiraf syarak. Oleh itu, sebarang penambahan atau pengurangan dalam timbangan ketika menjual atau menukar emas dengan emas adalah tidak dibenarkan.

Hal yang demikian termasuklah juga kesamaan dari segi ketulenan sesebuah emas. Emas yang bercampur dengan bahan lain seperti tembaga dan seumpamanya tidak sama nilainya dengan emas yang tulen. Sebagai contoh, emas 999 tidak sama nilainya dengan emas 916. Oleh itu, pertukaran ini tidak dibenarkan kerana terdapat perbezaan nilai di antara keduanya. Perkara ini boleh diketahui melalui mereka yang pakar dalam bidang ini. Mereka mengetahui perbezaan antara setiap jenis emas berdasarkan kepada nisbah tertentu bagi setiap campuran yang ditambah ke dalam setiap jenis emas.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan pandangan daripada Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions, AAOIFI) dalam nombor 3.3.1.2:

النوع الثاني: ذهب خلط بشيء غير مقصود بذاته، والمقصود من الخلط تعيير الذهب أو تلوينه وما أشبه ذلك، مثل خلط مواد بنسب معينة لجعل الذهب من عيار معين كعيار (٢١) أو عيار (١٨). فالمواد المضافة إلى الذهب غير مقصودة بذاتها فيجب عند بيع بعضها ببعض التقابض والتحقق من تساوي وزن الذهب الخالص في كل من البدلين.

Maksudnya: “Jenis kedua (emas campuran): Emas yang dicampurkan dengan logam lain yang mana logam lain itu tidak dikehendaki secara per se. Tujuan campuran itu adalah untuk mengubah standard emas, mewarnakan atau seumpamanya. Sebagai contoh menambah logam lain untuk menjadikan emas itu daripada standard tertentu kepada standard lain seperti 21K dan 18K sedangkan logam tambahan itu tidak dikehendaki pun secara zatnya. Oleh yang demikian, pertukaran emas antara satu sama lain adalah wajib untuk berlaku secara serahan segera (taqabud) dan dipastikan berat kandungan emas tulen di dalam setiap satu tukaran itu adalah sama.[1]

Sehubungan itu, sesiapa yang ingin menukar emasnya dengan emas lain, dia hendaklah memastikan adanya kesamaan pada berat dan juga ketulenan tanpa sebarang pertambahan atau pengurangan. Antara cara lain yang lebih mudah dan selamat untuk dipraktikkan dalam urusan jual beli emas yang berbeza ketulenan namun sama beratnya, ialah dengan seseorang itu menjual emasnya dengan wang kertas yang digunakan dalam transaksi, kemudian dia membeli emas yang diingininya dengan menggunakan wang tersebut.

Kesimpulannya, antara syarat pertukaran emas dengan emas adalah wajib sama berat dengan juga ketulenannya. Oleh itu, menukar emas yang berbeza ketulenannya namun beratnya sama adalah haram atas sebab kuantiti emas dan nilainya yang berbeza antara keduanya.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Lihat: file:///C:/Users/aceab/Downloads/The-Shariah-Standard-on-Gold-English.pdf, laman web diakses pada 24/3/2025.