اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2023: HUKUM MEWAKAFKAN HARTA PUSAKA SEBELUM PEMBAHAGIAN

HUKUM_MEWAKAFKAN_HARTA_PUSAKA_SEBELUM_PEMBAHAGIAN.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Bolehkah saya mewakafkan harta pusaka ayah saya sebelum dibahagikan harta tersebut kepada ahli waris yang lain? Mohon jawapan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum mewakafkan harta pusaka sebelum pembahagian kepada ahli warisnya yang berhak adalah haram kerana dikira mengambil hak orang lain secara batil. Meskipun begitu, sekiranya ia dilakukan setelah mendapat persetujuan semua waris, maka ia dibenarkan.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Nabi SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا ، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya“Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6351) dan Muslim (1615)

Pada dasarnya, selepas berlakunya kematian seseorang dan setelah dilunaskan segala kewajipan terhadapnya termasuklah pengurusan jenazahnya, pelunasan hutangnya kemudian penunaian wasiatnya, maka tibalah masa untuk dibahagikan harta peninggalannya kepada sekalian ahli warisnya yang berhak. Hadis di atas menunjukkan bahawa suruhan untuk membahagikan harta peninggalan kepada para warisnya yang berhak berpandukan pada kitab Allah S.W.T iaitu al-Quran dan lebihan harta tersebut pula diberikan kepada lelaki yang terdekat dalam keluarganya[1].

Namun menjadi persoalan di atas, adakah dibolehkan seseorang pentadbir ataupun waris si mati mewakafkan harta peninggalan si mati sebelum diteruskan proses pembahagian pusaka kepada ahli waris yang lain?

Perlu diambil perhatian di sini bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia, seluruh pemilikan harta peninggalannya akan berpindah kepada kesemua ahli warisnya. Hal ini ada dinyatakan dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj yang mana Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa ulama bersepakat bahawa kesemua harta pusaka si mati akan berpindah dan bertukar milik kepada ahli waris sesudah berlakunya kematian[2].

Oleh itu, waris yang mentadbir atau sesiapapun yang diamanahkan untuk mentadbir harta pusaka si mati tidak boleh membelakangkan waris-waris dalam membuat keputusan mewakafkan harta pusaka si mati. Hal ini kerana terkadang dalam kalangan mereka, ada yang mengambil keputusan untuk mewakafkan harta si mati dengan niat pahalanya disedekahkan kepada si mati. Namun perkara ini perlu dilihat terlebih dahulu kepada asasnya bahawa sebagaimana maklum, setiap ahli waris akan mendapat bahagiannya yang tersendiri berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan diajar oleh Rasulullah SAW melalui sunnahnya. Bahkan Allah SWT jelas menyatakan melalui firman-Nya:

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya:Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’: 7)

Oleh yang demikian, sebaik sahaja selesai kewajipan dan hak terhadap si mati dilunaskan, maka perlulah disegerakan proses pembahagian pusaka. Hal ini kerana ibadah wakaf yang ingin dilaksanakan sebelum proses tersebut terkait dengan harta peninggalan yang pada dasarnya menjadi hak semua waris. Meskipun begitu, ia boleh dilaksanakan sekiranya para waris yang berhak kesemuanya bersetuju untuk melaksanakan ibadah wakaf tersebut dengan dinyatakan secara jelas berapa bahagian yang diambil daripada bahagian masing-masing. Ataupun dengan cara mana-mana waris yang tidak setuju untuk diwakafkan, boleh diberikan haknya dalam bentuk harta yang dicairkan atau digantikan harga gantian yang sesuai dengan harga semasa. Hal yang demikian supaya tidak melanggar batas ketetapan yang telah disyariatkan dan tidak pula menyebabkan berlakunya pertelingkahan di kemudian hari.

Justeru, pada asasnya, hukum mewakafkan harta pusaka sebelum pembahagian kepada ahli warisnya yang berhak adalah haram. Hal ini kerana ia dikira mengambil hak orang lain tanpa keizinan mereka. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Baqarah : 188)

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim¸ (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 11/53.

[2] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyai al-Syarwani wa al-‘Abbadi, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H/1983M), 6/383.

إلَّا بَعْدَ تَحَقُّقِ الْمَوْتِ عِنْدَ تَحَقُّقِهِ يَنْتَقِلُ الْمِلْكُ لِلْوَارِثِ إجْمَاعًا