اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2024: HUKUM MEMBUKA AL-QURAN MENGGUNAKAN PENANDA BUKU DALAM KEADAAN TIDAK BERWUDUK

HUKUM_MEMBUKA_AL-QURAN_MENGGUNAKAN_PENANDA_BUKU_DALAM_KEADAAN_TIDAK_BERWUDUK.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya telah membahagikan surah-surah al-Quran menggunakan klip penanda buku bagi memudahkan proses pencarian. Soalan saya bolehkah saya membuka al-Quran dengan hanya memegang klip tersebut tanpa menyentuh mushaf al-Quran dalam keadaan tidak berwuduk.

Ringkasan Jawapan

Bahawa hukum menyelak helaian mushaf al-Quran dengan menggunakan klip penanda buku atau menggunakan kayu yang ditanda pada mushaf dalam keadaan tanpa wuduk adalah harus. Namun dinasihatkan supaya berwuduk ketika membaca al-Quran, ini kerana afdal berwuduk ketika membaca al-Quran dan lebih beradab dengan al-Quran

Huraian Jawapan

Al-Quran dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai kitab suci yang menjadi petunjuk bagi seluruh alam. Allah SWT melarang sentuh al-Quran dalam keadaan tidak suci daripada hadas sebagaimana firman-Nya:

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci;

(Surah al-Waqi’ah, 79)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa orang yang berhadas haram menyentuh, mengangkat dan membawa al-Quran sama ada dipegang secara langsung atau tidak. Begitu juga menyentuh tulisan al-Quran, kulit mushaf serta membawa beg yang hanya mengandungi mushaf al-Quran. Bahkan beliau menyatakan bahawa haram menyentuh kayu yang ditulis ayat al-Quran atau lembaran sama ada untuk tujuan pembelajaran walaupun sedikit. Hal ini kerana hukumnya adalah seperti hukum menyentuh mushaf.[1] Hal ini telah disepakati oleh para ulama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Minhaj al-Qawim.[2]

Manakala bagi permasalah orang yang berhadas menyentuh mushaf secara tidak langsung seperti dengan menggunakan kayu atau alat untuk mengalih helaian muka surat mushaf al-Quran, para ulama dalam mazhab al-Syafi’i berbeza pandangan, sebahagian mengharuskannya dan sebahagian yang lain mengharamkannya.

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama dalam mazhab syafi’i berbeza pandangan berkenaan hukum orang yang berhadas, berjunub dan wanita haid mengalih helaian-helaian al-Quran dengan menggunakan sebatang kayu atau sesuatu yang seumpamanya. Pandangan yang muktamad hukumnya adalah harus, ini kerana perbuatan tersebut tidak menyentuh mushaf secara langsung.[3]

Kesimpulan

Hukum menyelak helaian mushaf al-Quran dengan menggunakan klip penanda buku atau menggunakan kayu yang ditanda pada mushaf dalam keadaan tanpa wuduk adalah harus.

Namun dinasihatkan supaya berwuduk ketika membaca al-Quran hak ini kerana afdal berwuduk ketika membaca al-Quran dan lebih beradab dengan al-Quran.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Tibyan fi Adam Hamlah al-Quran. (Beirut: dar Ibn Hazm, 1414) Hlm. 192

مس المصحف وحمله [فصل] يحرم على المحدث مس المصحف وحمله سواء حمله بعلاقته أو بغيرها سواء مس نفس الكتابة أو الحواشي أو الجلد ويحرم مس الخريطة والغلاف والصندوق إذا كان فيهن المصحف هذا هو المذهب المختار وقيل لا تحرم هذه الثلاثة وهو ضعيف ولو كتب القرآن في لوح فحكمه حكم المصحف سواء قل المكتوب أو كثر حتى لو كان بعض آية كتب للدراسة حرم مس اللوح

[2] Ibn Hajar al-Haitami, al-Minhaj al-Qawim. (t.t.: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1420) Hlm. 38

ويحرم بالحدث الصلاة" إجماعًا "ونحوها" كسجدة تلاوة وشكر وخطبة جمعة وصلاة جنازة. "والطواف", ولو نفلا لأنه صلاة كما في الحديث "وحمل المصحف ومس ورقه وحواشيه وجلده" المتصل به لا المنفصل عنه

[3] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Tibyan fi Adam Hamlah al-Quran. (Beirut: dar Ibn Hazm, 1414) Hlm. 193

قلبه بعود [فصل] إذا تصفح المحدث أو الجنب أو الحائض أوراق المصحف بعود أو شبهه ففي جوازه وجهان لأصحابنا 1 - أظهرهما جوازه وبه قطع العراقيون من أصحابنا لأنه غير ماس ولا حامل 2 - والثاني تحريمه لأنه يعد حاملا للورقة والورقة كالجميع وأما إذا لف كمه على يده وقلب الورقة فحرام بلا خلاف وغلط بعض أصحابنا فحكى فيه وجهين والصواب القطع بالتحريم لأن القلب يقع باليد لا بالكم