اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2030: ADAKAH AKAUN KETIGA KWSP PERLU DIZAKATKAN?

ADAKAH_AKAUN_KETIGA_KWSP_PERLU_DIZAKATKAN.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya sedikit berkenaan akaun ketiga KWSP. Seandainya sudah dibolehkan untuk dibuat pengeluaran melalui akaun ketiga KWSP, adakah ia wajib dizakatkan? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Akaun 3 KWSP atau lebih dikenali sebagai akaun fleksibel adalah wajib dizakatkan sekiranya ia telah melepasi nisab tahunan zakat semasa. Hal ini kerana akaun tersebut merupakan hak milik sempurna pencarum kerana ia boleh dikeluarkan secara bebas pada bila-bila masa sahaja sebagaimana akaun simpanan biasa.

Namun, sekiranya akaun ke-3 pencarum tersebut tidak mencapai nisab pada tahun tersebut, maka ia perlu dicampur dengan jumlah terakhir simpanan-simpanan hartanya yang lain seperti di dalam bank atau seumpamanya.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Merujuk kepada laman web https://www.kwsp.gov.my/, KWSP menjalankan penstrukturan semula akaun pencarum untuk meningkatkan keselamatan pendapatan selepas persaraan dan bagi menangani keperluan jangka pendek golongan itu[1].

KWSP memperkenalkan tiga akaun baharu iaitu Akaun Persaraan yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, untuk simpanan hari persaraan; Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2 untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan dan yang terkini Akaun 3 atau Akaun Fleksibel yang diperkenalkan pada 25 April lalu.

Akaun 3 ini memberikan fleksibiliti kepada pencarum untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Bermula 12 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi peluang sekali sahaja untuk membuat pilihan memindahkan sebahagian daripada baki simpanan Akaun Sejahtera mereka ke Akaun Fleksibel sebagai amaun permulaan. Bagaimanapun, pilihan ini tidak boleh dibatalkan setelah permohonan diproses.

Penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel pula adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera anda sama ada kurang daripada atau melebihi RM3,000 pada tarikh permohonan diproses.

Seterusnya, berkuatkuasa pada 11 Mei 2024, caruman baharu akan diagihkan mengikut peratusan: Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus) berbanding sebelum ini, Akaun 1 (70 peratus) manakala Akaun 2 (30 peratus).

Selepas penstrukturan semula akaun dilaksanakan, baki sedia ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera masing-masing, sementara Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. Kadar dividen adalah sama untuk semua akaun.

Sebagaimana maklum, wang caruman KWSP ini adalah berasal daripada pendapatan para pekerja. Dalam masa yang sama juga, pendapatan merupakan harta yang wajib dizakatkan berdasarkan kepada fatwa di bawah Seksyen 34, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang menyatakan bahawa[2]:

Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian seseorang Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus. Oleh itu adalah wajib bagi seseorang Islam mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut.”

Meskipun begitu, antara syarat wajib zakat juga ialah pemilikan terhadap sesebuah harta hendaklah jelas di mana tiada orang lain yang berhak ke atasnya melainkan dirinya sendiri yakni dalam erti kata lain perlunya ada pemilikan sempurna yang mana pemiliknya mampu mengendalikan harta tersebut secara bebas dan keuntungan daripadanya juga kembali kepada pemiliknya[3].

Sehubungan dengan itu, zakat tidak diwajibkan ke atas harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu atau dimiliki oleh awam seperti tanah wakaf, harta baitulmal dan seumpamanya. Jika diaplikasikan syarat ini pada akaun fleksibel KWSP, kita dapat memutuskan bahawa setiap simpanan dalam akaun 3 adalah wajib dizakatkan sekiranya ia telah melepasi nisab tahunan zakat semasa. Hal ini kerana akaun tersebut telah diisytihar sebagai hak milik sempurna pencarum kerana pencarum boleh membuat pengeluaran secara bebas pada bila-bila masa sahaja sebagaimana akaun simpanan biasa.

Namun, sekiranya akaun ke-3 pencarum tersebut tidak mencapai nisab, maka ia perlu dicampur dengan jumlah terakhir simpanan-simpanan anda yang lain seperti di bank-bank lain dan seumpamanya. Kami lampirkan sedikit contoh pengiraan bagi situasi simpanan akaun fleksibel KWSP dicampurkan dengan akaun simpanan yang lain. Contoh pengiraannya adalah seperti berikut:

Akaun 3 KWSP + Simpanan Bank A + Simpanan Bank B = Jumlah simpanan

Jumlah simpanan x 2.5% = Jumlah Zakat

RM10,000 (Akaun 3 KWSP) + RM17,000 (Simpanan Bank A) + RM16,000 (Simpanan Bank B) = RM43,000

RM43,000 (Jumlah simpanan) x 2.5% = RM1075 (Jumlah Zakat)

Kesimpulan

Akaun 3 KWSP atau lebih dikenali sebagai akaun fleksibel adalah wajib dizakatkan sekiranya ia telah melepasi nisab tahunan zakat semasa. Hal ini kerana akaun tersebut merupakan hak milik sempurna pencarum kerana ia boleh dikeluarkan secara bebas pada bila-bila masa sahaja sebagaimana akaun simpanan biasa.

Namun, sekiranya akaun ke-3 pencarum tersebut tidak mencapai nisab pada tahun tersebut, maka ia perlu dicampur dengan jumlah terakhir simpanan-simpanan hartanya yang lain seperti di dalam bank atau seumpamanya.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Lihat: https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/fasa-kehidupan/pengeluaran-akaun-fleksibel, laman web diakses pada 12/2/2025. Lihat juga: https://www.kwsp.gov.my/ms/w/artikel/info-akaun-3-kwsp, laman web diakses pada 12/2/2025.

[2] Lihat: https://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/9246d5481ca938393743c5b45c1ace54?, laman web diakses pada 12/2/2025.

[3] Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh al-Zakat, hlm. 126.

شروط المال الذي تجب فيه الزكاة

1. الملك التام

2. النماء