اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2033: HUKUM MENGGUNAKAN AIR PANAS UNTUK MEMANDIKAN JENAZAH

PP_poster_2.jpg

Soalan

Assalamualaikum wbt, SS Mufti. Saya merupakan salah seorang petugas yang memandikan jenazah di masjid. Saya pernah memandikan jenazah dengan menggunakan air panas kerana merasakan jasad jenazah yang sejuk akibat perubahan cuaca di sekeliling. Apakah hukumnya memandikan jenazah dengan menggunakan air panas? Adakah perbuatan tersebut dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum menggunakan air panas untuk memandikan jenazah adalah harus jika terdapat keperluan untuk membersihkan jenazah daripada sebarang najis dan kotoran atau terdapat keperluan lain dari sudut perubatan. Walau bagaimanapun, penggunaan air panas tersebut mestilah tidak berlebihan iaitu hingga boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan terhadap mana-mana bahagian pada jenazah. Bahkan, menggunakan air sejuk adalah afdal sekiranya tiada sebarang keperluan untuk menggunakan air panas terhadap jenazah.

Huraian Jawapan

Kematian merupakan sebahagian daripada sunnatullah dalam kehidupan. Setiap makhluk yang bernyawa pastinya akan menemui kematian. Dalam menguruskan kematian, syariat Islam telah menyediakan panduan kepada manusia untuk melaksanakannya dengan kaedah-kaedah yang selari dengan tuntutan syarak agar jasad atau anggota pada jenazah tersebut berada dalam keadaan yang baik, terpelihara daripada sebarang unsur yang boleh mencemarkan kemuliaan diri, memelihara maruah jenazah dan warisnya yang lain. 

Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

اغْسِلُوهُ بمَاءٍ وسِدْرٍ، وكَفِّنُوهُ في ثَوْبَيْنِ، ولَا تُمِسُّوهُ طِيبًا، ولَا تُخَمِّرُوا رَأْسَهُ، فإنَّ اللَّهَ يَبْعَثُهُ يَومَ القِيَامَةِ مُلَبِّيًا

Maksudnya: “Mandikan jenazah tersebut dengan menggunakan air dan daun bidara. Kemudian hendaklah mengkafankan jenazah dengan dua helai kain. Setelah itu, jangan meletakkan wangian pada jenazah dan jangan menutup kepalanya kerana Allah SWT akan membangkitkan jenazah tersebut pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiah.”

(Riwayat Bukhari) 

Hadis ini menjelaskan berkenaan tertib pengurusan jenazah iaitu dimulakan dengan memandikannya terlebih dahulu sebelum mengkafankan dengan kain. Ulama dalam mazhab Syafi’i telah membahaskan lebih lanjut mengenai kaedah memandikan jenazah berdasarkan hadis tersebut. Sebahagian fuqaha turut membincangkan jenis air yang afdal untuk digunakan ketika memandikan jenazah.

Menurut Imam al-Ramli, afdal bagi pihak yang terlibat memandikan jenazah untuk menggunakan air yang sejuk kerana ia akan memberikan kekuatan terhadap jasad jenazah tersebut. Manakala menggunakan air panas pula sebaliknya akan melemahkan jasad. Namun begitu, beliau kemudiannya menjelaskan lagi bahawa penggunaan air panas lebih diutamakan berbanding air sejuk jika terdapat keperluan seperti menghilangkan kotoran atau disebabkan oleh keadaan jenazah yang sejuk. Walau bagaimanapun, penggunaan air panas tersebut mestilah tidak dilakukan secara berlebihan kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan terhadap jasad jenazah[1].

Kesimpulan

i. Hukum menggunakan air panas untuk memandikan jenazah adalah harus jika terdapat keperluan untuk membersihkan jenazah daripada sebarang najis dan kotoran atau terdapat keperluan lain dari sudut perubatan.

ii. Penggunaan air panas tersebut mestilah tidak berlebihan iaitu hingga boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan terhadap mana-mana bahagian pada jenazah.

iii. Menggunakan air sejuk adalah afdal sekiranya tiada sebarang keperluan untuk menggunakan air panas terhadap jenazah.

 

Rujukan:

[1] Muhammad bin Abi al-‘Abbas Syihab al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut:Dar al-Fikr,1984), 2:444.

وَالْأَفْضَلُ كَوْنُهُ (بِمَاءٍ بَارِدٍ) ؛ لِأَنَّهُ يَشُدُّ الْبَدَنَ وَالْمُسَخَّنُ: يُرْخِيهِ إلَّا أَنْ يَحْتَاجَ إلَى الْمُسَخَّنِ لِوَسَخٍ، أَوْ بَرْدٍ فَيَكُونُ حِينَئِذٍ أَوْلَى، وَلَا يُبَالَغُ فِي تَسْخِينِهِ لِئَلَّا يُسْرِعَ إلَيْهِ الْفَسَادُ