اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #2044: ISU PENIPUAN PAKEJ HAJI MELALUI PRINSIP ISTITA‘AH DAN HIFZ AL-MAL

ISU_PENIPUAN_PAKEJ_HAJI_MELALUI_PRINSIP_ISTITAAH_DAN_HIFZ_AL-MAL.jpg

Ringkasan Jawapan

Isu penipuan dan scam pakej haji perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan ibadah haji tetapi turut menggugat prinsip Hifz al-Mal dalam Maqasid al-Syariah yang menuntut penjagaan harta umat Islam daripada kerugian.

Setiap individu yang ingin menunaikan haji wajib memastikan aspek istita‘ah atau kemampuan dipenuhi termasuklah memilih agensi yang sah dan berlesen agar perjalanan ibadah dapat dilakukan dengan aman dan sempurna. Dalam masa yang sama, pihak berkuasa turut memikul amanah untuk menilai dan meluluskan hanya agensi yang benar-benar berkelayakan bagi menjaga maslahat umat.

Huraian Jawapan

Setiap kali menjelang musim haji isu penipuan dan scam pakej haji sering berlaku disebabkan ada pihak yang menawarkan perkhidmatan tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa. Dalam hal ini, masyarakat perlu lebih berwaspada dan memastikan hanya memilih syarikat atau agensi yang berlesen. Langkah ini penting bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan yang menggunakan nama agama serta bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan tenang, sah dan sempurna tanpa menanggung kerugian harta benda.

Para ulama bersepakat bahawa ibadah haji merupakan kewajipan ke atas setiap umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu antaranya adalah istita’ah dan berkemampuan. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”.

Pemilihan syarikat atau agensi yang berkelayakan dan berlesen dalam menunaikan ibadah haji juga termasuk dalam aspek istita’ah atau berkemampuan. Hal ini penting bagi memastikan perjalanan menuju ke tanah suci dapat dilaksanakan dalam keadaan aman, teratur dan bebas daripada sebarang risiko yang boleh menjejaskan ibadah haji seperti penipuan dan scam. Imam al-Nawawi menyatakan dalam karyanya:

الِاسْتِطَاعَةُ نَوْعَانِ: اسْتِطَاعَةُ مُبَاشَرَةٍ بِنَفْسِهِ، وَاسْتِطَاعَةُ تَحْصِيلِهِ بِغَيْرِهِ. فَالْأُولَى تَتَعَلَّقُ بِخَمْسَةِ أُمُورٍ: الرَّاحِلَةُ، وَالزَّادُ، وَالطَّرِيقُ، وَالْبَدَنُ، وَإِمْكَانُ السَّيْرِ.

Maksudnya: “Istita’ah (kemampuan melaksanakan haji) terbahagi kepada dua: Pertama, kemampuan secara langsung dan kedua kemampuan dengan bantuan orang lain. Justeru bagi jenis pertama, ia merangkumi lima perkara iaitu kemampuan dari sudut kenderaan, bekalan, aman dalam perjalanan, sihat tubuh badan dan mampu sampai padanya.”[1]

Dalam fiqh al-Manhaji juga menjelaskan bahawa istita’ah dalam mengerjakan haji termasuk pengurusan haji yang merupakan salah satu keperluan dalam melaksanakan ibadah tersebut.[2] Dalam konteks ini, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab dan hak untuk menentukan serta meluluskan sesuatu agensi atau syarikat dengan memberikan lesen setelah memastikan agensi tersebut benar-benar berkemampuan dan berkelayakan dalam menguruskan perjalanan serta pelaksanaan ibadah haji dengan baik dan teratur bagi menjaga maslahah masyarakat Islam secara umumnya. Imam al-Suyuti menyatakan dalam karyanya:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya : “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”[3]

Prinsip ini bertepatan dengan konsep Maqasid al-Syariah dalam konteks hifz al-mal iaitu menjaga harta daripada risiko penipuan dan scam yang akhirnya mengakibatkan kemudaratan dan kerugian harta umat Islam. Ibny Asyur menyebut:

فهو حفظ أموال الأمة من الإتلاف ومن الخروج إلى أيدي غير الأمة بدون عوض

Maksudnya: “Menjaga harta-harta masyarakat daripada kerugian dan daripada mengalir kepada yang bukan ummah tanpa sebarang pulangan.”[4]

Kesimpulannya, isu penipuan dan scam pakej haji perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan ibadah haji tetapi turut menggugat prinsip Hifz al-Mal dalam Maqasid al-Syariah yang menuntut penjagaan harta umat Islam daripada kerugian.

Setiap individu yang ingin menunaikan haji wajib memastikan aspek istita‘ah atau kemampuan dipenuhi termasuklah memilih agensi yang sah dan berlesen agar perjalanan ibadah dapat dilakukan dengan aman dan sempurna. Dalam masa yang sama, pihak berkuasa turut memikul amanah untuk menilai dan meluluskan hanya agensi yang benar-benar berkelayakan bagi menjaga maslahat umat.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin. (Damsyik: al-Maktabah al-Islamiyyah, 1412H) Jld. 3 Hlm. 4

[2] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-fiqkh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al_nashr wa al-Tauz’I, 1413) Jld. 2 Hlm. 123

والاستطاعة تتحقق بأن يملك الإنسان المال الذي يلزمه لأداء الحج والعمرة، من أجرة مركوب ونفقة ذهاباً وإياباً، بالإضافة لما تفرضه عليه اليوم الحكومات من نفقة جواز سفر، وأجرة مطوف، ويجب أن يكون هذا المال زائداً عن دينه وعن نفقة عياله مدة غيابه

[3] Jalaluddin al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazair. (t.t: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1411) Hlm. 121

[4] Muhammad al-Tahir bin Muhammad bin ‘Asyur al-Tunisi, Maqasid al-Syari’ah al-Islamiyyah. (Qatar: Wizarah al-Auqaf wa al-Syuun al-Islamiyyah, 1425H) Jld.3 Hlm. 238