Soalan:
Saya ingin membayar zakat pendapatan, bolehkah sebahagian daripada wang zakat tersebut saya gunakan untuk membeli kambing dengan tujuan akikah cucu, dan diagihkan dagingnya kepada golongan yang memerlukan di luar negara seperti di timur tengah ?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang menyusuri jejak langkah baginda hingga hari kiamat.
Berkenaan dengan hukum-hakam yang berkaitan dengan zakat pendapatan, kami syorkan kepada penyoal untuk merujuk kepada artikel kami yang berkaitan isu ini di dalam ruangan Al-Kafi Li Al-Fatawi menerusi pautan berikut https://goo.gl/zC8XLv
Di dalam nas al-Quran, jelas menunjukkan bahawa zakat itu telah ditetapkan kepada pemiliknya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu adalah milik orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan para ‘amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Surah Al-Taubah (60)
Imam al-Qurtubi Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau menyebut: “Al-Syafi’e dan ashabnya mengatakan bahawa huruf ‘lam’ (di dalam ayat tersebut; لِلۡفُقَرَآءِ ) membawa maksud al-Tamlik (pemilikan)”. Justeru, golongan-golongan yang disebutkan oleh nas sahaja yang boleh menerima zakat. Lihat Al Jamik Li Ahkaam Al-Quran, Al-Qurthubi, 8/167.
Berdasarkan kenyataan yang dinyatakan oleh Imam Al-Syafi’e dan para ashabnya di atas, dapatlah difahami bahawa harta zakat tersebut secara hakikatnya bukanlah milik individu yang mengeluarkan zakat sehingga dia boleh untuk membelanjakannya membeli haiwan bagi tujuan korban atau akikah. Sebaliknya, harta zakat tersebut adalah milik kepada lapan asnaf (golongan) yang telah dinaskan di dalam al-Quran tersebut. Justeru, adalah tidak boleh bagi seseorang yang menunaikan zakat itu untuk membeli haiwan korban ataupun akikah menggunakan wang zakat tersebut.
Berkenaan dengan persoalan mengenai akikah, kami juga mencadangkan kepada penyoal untuk merujuk kepada artikel yang telah kami jelaskan secara panjang lebar berkaitan isu akikah dan hukum-hakam berkaitan di dalam ruangan Al-Kafi Li Al-Fatawi menerusi pautan berikut https://goo.gl/CPxLH5
Di dalam artikel di atas juga terdapat penjelasan berkenaan individu yang bertanggungjawab melakukan akikah iaitu golongan al-aslu kepada bayi seperti ayah ataupun datuknya.
Kesimpulan
Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa hukum menggunakan wang zakat pendapatan untuk membeli kambing bagi tujuan akikah adalah tidak dibolehkan. Walaupun begitu, kami mencadangkan supaya digunakan duit lain (yakni bukan duit zakat pendapatan tersebut) untuk melaksanakan akikah, dengan cara duit ini disedekahkan kepada bapa bayi tersebut terlebih dahulu. Manakala berkenaan dengan isu pengagihan daging akikah, adalah tidak disyaratkan untuk seseorang itu membahagikannya dengan cara tertentu. Bahkan boleh untuk pemilik akikah itu mengagihkan kepada tiga bahagian, iaitu sepertiga untuk keluarga, sepertiga untuk jiran dan kaum kerabat, dan sepertiga lagi untuk golongan fakir dan yang memerlukan. Ataupun boleh juga untuk dia memnyembelih kambing dan mengadakan kenduri secara kecil-kecilan serta dihimpunkan kaum kerabat dan jiran untuk makan bersama. Semoga jawapan ini memberikan pencerahan yang jelas kepada semua. Ameen.