اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #638 : HUKUM JURUJUAL TERSENTUH KULIT PEMBELI BUKAN MAHRAM

Soalan:

Assalamualaikum mufti soalan saya adalah, adakah berdosa, sekiranya seorang cashier (jurujual), tersentuh tangan bukan mahramnya apabila memberi baki duit kepada pelanggan ? Setahu saya, menyentuh tangan bukan mahram adalah berdosa baik lelaki mahupun wanita. Harap dapat penjelasan daripada mufti.

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang menyusuri jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sebelum kami mengulas isu ini dengan lebih lanjut, perlulah diberikan penjelasan terlebih dahulu berkenaan bersentuhan kulit di antara lelaki yang ajnabi dengan wanita ajnabiyyah. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 لأَنْ يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat Al-Thabrani, Mu’jam Al-Kabir (20/211)

Berdasarkan hadis di atas, ia jelas menunjukkan kepada pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadis menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Khattabi Rahimahullah:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

Maksudnya: Sesuatu khitab (ayat atau kenyataan) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga adalah khitab kepada orang perempuan dalam masa yang sama, melainkan pada keadaan-keadaan yang tertentu.

Rujuk Mirqaat Al-Mafatih, Mulla ‘Ali Al-Qari (2/423).

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, didapati bahawa bersentuhan kulit di antara penjual dan pembeli yang bukan mahram itu berlaku dalam keadaan tidak sengaja. Di dalam kitab-kitab usul feqh, perkara ini dikategorikan sebagai al-Khata’ iaitu tersilap. Ia juga digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang berlawanan dengan perbuatan yang dilakukan secara sengaja. Allah S.W.T berfirman:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: Dan tidak ada dosa ke atas kamu terhadap perbuatan yang kamu tersilap melakukannya. Akan tetapi (dosa itu) ke atas apa yang hati kamu sengaja melakukannya.

Surah Al-Ahzab (5)

Demikian juga terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah S.W.T mengangkat (dosa) dari umatku disebabkan tersilap, lupa, dan perbuatan yang dilakukan kerana dipaksa.

 Riwayat Ibn Majah (2045)

Kedua-dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja atau tersilap adalah tidak dianggap sebagai berdosa. Ini dikuatkan lagi dengan pendapat daripada Imam Ibn Rajab Al-Hanbali Rahimahullah apabila beliau mensyarahkan hadis ini dengan katanya: Yang paling zahir – wallahu a’lam – sesungguhnya seseorang yang terlupa atau tersilap itu hanyalah dimaafkan ke atas keduanya dalam erti terangkat dosa daripada keduanya. Ini kerana, dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa ke atas keduanya. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas. Maka untuk mensabit dan menafikannya memerlukan kepada dalil yang lain. Rujuk Jami’ Al-Ulum wa Al-Hikam, Ibn Rajab.

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa persentuhan kulit di antara penjual dan pembeli yang bukan mahram secara TIDAK SENGAJA adalah tidak berdosa. Walaupun begitu, kami mengesyorkan kepada para jurujual wanita terutamanya yang bertugas di kaunter pembayaran untuk memakai sarung tangan sebagai langkah berhati-hati (ihtiyath). Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.