Soalan :
Apakah hukum menunaikan solat sunat secara berjamaah ?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Di dalam nas-nas syarak, di sana terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa solat sunat pernah dilakukan secara berjamaah pada zaman Rasulullah S.A.W. Di antara contohnya adalah seperti solat gerhana bulan atau gerhana matahari, solat istisqa' iaitu solat minta hujan, serta qiyam Ramadhan.
Para fuqaha mengatakan bahawa berjemaah ketika solat gerhana adalah sunnah. Fuqaha al-Syafieyyah dan Al-Hanabilah berpendapat bahawa kedua-duanya adalah sunnah di antara gerhana bulan dan juga gerhana matahari untuk dilakukan secara berjamaah. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Bakrah R.A beliau berkata
: كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَانْكَسَفَتِ الشَّمْسُ، فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلْنَا فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ، حَتَّى انْجَلَتِ الشَّمْسُ فَقَالَ صلى الله عليه وسلم " إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَصَلُّوا، وَادْعُوا، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ
Maksudnya : Kami berada di sisi Rasulullah S.A.W, kemudian berlakunya gerhana matahari. Maka Nabi S.A.W pun berdiri seraya memakai rida' sehingga baginda masuk ke dalam masjid. Maka baginda pun menjadi imam solat bersama kami sehingga selesai gerhana. Lalu baginda S.A.W bersabda : Sesungguhnya gerhana matahari dan bulan itu tidak berlaku disebabkan kematian seseorang. Jika kalian melihatnya maka solatlah serta berdoa, sehinggalah tamat gerhana.
Riwayat Al-Bukhari (1040).
Berdasarkan hadis di atas, kita dapat melihat bahawa Rasulullah S.A.W melaksanakan solat gerhana ini secara berjamaah. Ini menguatkan pendapat golongan yang mengatakan bahawa dibolehkan untuk berjamaah dalam solat sunat.
Manakala berkenaan solat istisqa (meminta hujan) pula, dalil yang menunjukkan bahawa Nabi S.A.W melakukannya secara berjamaah adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R.anhuma beliau berkata :
خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَبَذِّلًا مُتَوَاضِعًا مُتَضَرِّعًا حَتَّى أَتَى الْمُصَلَّى فَرَقَى عَلَى الْمِنْبَرِ وَلَمْ يَخْطُبْ خُطَبَكُمْ هَذِهِ وَلَكِنْ لَمْ يَزَلْ فِي الدُّعَاءِ وَالتَّضَرُّعِ وَالتَّكْبِيرِ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَمَا يُصَلِّي فِي الْعِيدِ
Maksudnya : Rasulullah S.A.W telah keluar dalam keadaan tidak berpakaian kemas, penuh tawadhu', serta merendah diri sehinggalah baginda sampai ke tanah lapang lalu baginda naik ke atas mimbar dan tidak berkhutbah sebagaimana biasa. Akan tetapi baginda berterusan berdoa, menunduk diri, bertakbir, kemudian baginda solat dua rakaat sebagaimana pada hari raya.
Riwayat Abu Dawud (1165)
Begitulah juga dengan qiyam Ramadhan, ataupun solat tarawih. Ia juga digalakkan untuk dilakukan secara berjamaah. Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan hal tersebut antaranya adalah sebuah hadis daripada Abu Zar Al-Ghifari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ;
إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang qiyam (solat malam) bersama Imam sehingga imam selesai, Allah akan menuliskan ganjaran untuknya qiyam sepanjang malam.
Riwayat Al-Nasaie (1605)
Syeikh al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata : Ditanyakan kepada Imam Ahmad : Adakah kau suka seorang lelaki solat bersama orang ramai (secara berjamaah) pada bulan Ramadhan atau kau suka dia solat secara bersendirian ? Maka Imam Ahmad menjawab : Aku suka jika dia solat berjemaah bersama orang ramai, dan aku juga suka sekiranga dia solat bersama dengan imam dan turut witir bersamanya. Nabi S.A.W bersabda: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia qiyam bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malamnya. Kata Imam Ahmad lagi: Dia qiyam secara berjemaah dan solat witir bersama mereka sehingga lah imam selesai. Kata Abu Daud : Aku melihat Imam Ahmad Rahimahullah, beliau berwitir pada bulan Ramadan bersama imamnya kecuali pada malam yang aku tidak menghadirinya. Lihat Tuhfah Al-Ahwaazi, Al-Mubarakfuri (3/448).
Maka demikianlah beberapa solat sunat yang dilakukan secara berjamaah pada zaman Rasulullah S.A.W. berserta riwayat-riwayat yang telah kami sertakan berkenaan hal tersebut. Namun, persoalan timbul sama ada boleh juga berjemaah pada solat-solat sunat yang lainnya seperti solat tahiyatul masjid, solat rawatib, solat dhuha, dan seumpamanya adakah ianya juga boleh dilakukan secara berjamaah ?
Berikut kami nukilkan beberapa pendapat para ulama berkaitan isu ini. Kata al-Imam al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah apabila mengulas tajuk bab yang diletakkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya (Solat Nafilah Secara Berjamaah) : Maksudnya adalah solat sunat yang mutlak, dan ia juga boleh jadi solat yang lebih umum dari itu. Ibn Wahb meriwayatkan daripada Malik bahawa beliau berkata : Tidak mengapa untuk seseorang itu menjadi imam kepada sebuah kumpulan. Adapun sekiranya perbuatan itu (solat sunat berjamaah) menjadi masyhur lalu dihimpunkan orang ramai maka ini tidak dibolehkan. Ini terbina di atas kaedah sad al-zarai' (menghalang jalan-jalan) kerana takut orang yang tiada ilmu akang menyangka bahawa solat sunat itu sebagai solat fardhu. Ibn Habib dari kalangan mazhab Malik mengecualikan qiyam Ramadhan kerana telah masyhurnya ia secara berjamaah sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat dan golongan selepas mereka. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (3/62).
Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah : Boleh untuk solat sunat secara berjamaah dan boleh juga secara bersendirian. Kerana Nabi S.A.W melakukan kedua-duanya (kadang berjamaah dan kadang bersendirian). Dan kebanyakan solat sunat baginda adalah secara bersendirian. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/442).
Syeikh Al-Buhuti Rahimahullah mengatakan : Solat sunat secara sembunyi itu lebih afdhal dan tidak mengapa untuk ia dilakukan secara berjamaah. Kata Al-Majd dan selainnya: Melainkan jika ia dijadikan sebagai adat kebiasaan dan juga sunnah. Rujuk Syarah Muntaha Al-Iradaat, Al-Buhuti (1/247).
Para fuqaha Syafieyyah seperti Imam Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah mengatakan : Sesungguhnya semua solat yang tidak disunatkan untuk berjamaah padanya adalah boleh untuk ia dilakukan secara berjamaah. Ini diambil dari perbuatan Umar yang mengumpulkan orang ramai untuk solat taraweh. Rujuk Mughni Al-Muhtaj, Al-Khatib Al-Syarbini.
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa'. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya jamaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua itu untuk berjamaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjamaah maka ia dibolehkan. Tidak dikatakan yang perbuatan itu makruh. Imam Al-Syafie telah menaskan di dalam Mukhtasar Al-Buwaithi dan Mukhtasar Al-Rabi' bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat. Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/197).
Kesimpulan
Setelah kami meneliti pendapat-pendapat yang kami nukilkan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan solat sunat secara berjamaah. Terutamanya seperti solat tarawih, istisqa, solat dua hari raya, dan solat gerhana. Adapun solat sunat selainnya, yang tidak terdapatnya nas yang menunjukkan ia disyariatkan secara berjamaah, maka hukumnya adalah dibolehkan untuk didirikan secara berjamaah. Namun, hendaklah ia tidak dilakukan secara selalu dan berterusan sehingga menjadi suatu sunnah dan adat kebiasaan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang benar kepada kita dalam beragama. Ameen.