اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #618 : HUKUM WANITA SOLAT MEMAKAI NIQOB(PURDAH)

 

SOALAN

Apakah hukum memakai niqob(purdah) bagi wanita ketika solat?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menutup aurat bagi wanita muslimah adalah satu kewajipan di dalam agama. Kewajipan tersebut bertujuan untuk memelihara kehormatan wanita seterusnya mengangkat taraf dan kedudukan wanita kepada yang lebih tinggi. Bersesuaian dengan salah satu tujuan perutusan Nabi SAW iaitu untuk mengankat martabat kaum wanita itu sendiri yang ditindas pada zaman arab jahiliyyah.

Merujuk kepada persoalan di atas, pemakaian niqob atau purdah adalah salah satu cara yang terbaik dalam bab penjagaan aurat wanita. Justeru hukum pemakaian niqob atau purdah ini adalah sunat dan afdhal bagi kaum wanita. Namun pemakaian niqob atau purdah ketika solat pula berbeza hukumnya dengan keadaan biasa. Perkara ini dijelaskan dalam kitab Kifaayatul Akhyar seperti berikut :

وَيكرهُ أَن يُصَلِّي فِي ثوب فِيهِ صُورَة وتمثيل وَالْمَرْأَة متنقبة إِلَّا أَن تكون فِي مَسْجِد وَهُنَاكَ أجانب لَا يحترزون عَن النّظر فَإِن خيف من النّظر إِلَيْهَا مَا يجر إِلَى الْفساد حرم عَلَيْهَا رفع النقاب

 

Maknanya : Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar atau lukisan. Makruh juga wanita yang memakai niqob(purdah) ketika solat kecuali jika keadaan di masjid itu terdapat ajnabi yang tidak menjaga pendangan mereka. Namun jika dibimbangi terjadinya perkara yang buruk, maka haram ke atasnya untuk membuka niqob(purdah) tersebut.

(Kifaayatul Akhyaar hlm 1/93)

Manakala dalam kitab Iqna’ pula penjelas seperti berikut :

ويكره أن يصلي في ثوب فيه صورة وأن يصلي الرجل متلثما والمرأة منتقبة إلا أن تكون في مكان وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر إليها فلا يجوز لها رفع النقاب ويجب أن يكون الستر 

Maksudnya : “Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar, atau pakaian yang mempunyai lukisan atau wanita yang memakai niqob(purdah) kecuali disana terdapat lelaki ajnabi yang tidak menjaga pandangan mereka kepadanya, maka tidak harus untuk membuka niqob(purdah) dan wajib ke atasnya untuk menutup.

 (Iqna’ hlm 1/124)

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa makruh bagi wanita untuk solat dalam keadaan memakai niqob atau purdah. Namun begitu jika terdapat sebab yang munasabah maka hukumnya harus. Melihat kepada suasana surau-surau dan masjid di Malaysia, tempat solat bagi wanita kebiasaannya adalah terlindung daripada pandangan lelaki ajnabi. Oleh itu, tidak timbul isu fitnah seperti yang diperkatakan.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dilindungi oleh Allah SWT daripada sebarang perkara-perkara yang dimurkainya serta sentiasa berada dibawah lindungannya. Amin