اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #609 : HUKUM MENGERINGKAN ANGGOTA WUDUK SELEPAS BERWUDUK

Soalan:

Apakah hukum saya mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk, seperti mengelapnya dengan menggunakan tuala dan tisu atau dengan menggunakan alat pengering ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam diucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri serta keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Para fuqaha secara asasnya berbeza pendapat berkenaan isu ini kepada beberapa pandangan. Sebahagian mereka mengatakan bahawa perbuatan tersebut dibolehkan. Manakala sebahagian yang lain berpendapat bahawa hukumnya makruh bagi seseorang untuk mengeringkan anggota badannya setelah berwuduk.

Pendapat yang mengharuskan perkara ini menyatakan bahawa asal hukum bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharamannya. Ini berdasarkan sebuah kaedah yang masyhur sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab-kitab usul feqh:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة

Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus.

Maka mereka berpendapat bahawa selagi mana tidak terdapat nas yang melarang perbuatan ini, maka ia kekal kepada hukum asalnya iaitu keharusan. Pendapat ini dipegang oleh tokoh besar seperti Imam Ahmad dan selainnya. Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah mengatakan: Tidak mengapa untuk seseorang itu mengelap anggotanya dengan kain sapu daripada lebihan-lebihan wuduk dan air mandian. Inilah pendapat yang dinukilkan daripada Imam Ahmad. Dan hal menggunakan kain lap setelah wuduk ini diriwayatkan bahawa Uthman, al-Hasan bin Ali, Anas bin Malik, dan kebanyakan ahli ilmu melakukannya dan inilah pendapat yang paling sahih kerana hukum asal bagi perbuatan itu adalah harus. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/195).

Manakala pendapat yang kedua, yang menyatakan bahawa menyapu atau mengeringkan anggota badan setelah berwuduk adalah makruh, mereka berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Maimunah R.anha beliau berkata:

 فَأَتَيْتُهُ بِخِرْقَةٍ، فَلَمْ يُرِدْهَا، فَجَعَلَ يَنْفُضُ بِيَدِهِ

Maksudnya: Aku membawakan kepada Nabi S.A.W secebis kain (setelah baginda mandi junub), maka baginda tidak menerimanya. Lalu baginda menghilangkan sisa-sia air di badan baginda menggunakan tangannya.

Riwayat Al-Bukhari (274)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma beliau berkata:

 أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم اغْتَسَلَ فَأُتِيَ بِمِنْدِيلٍ فَلَمْ يَمَسَّهُ وَجَعَلَ يَقُولُ بِالْمَاءِ هَكَذَا

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W mandi, lalu dibawakan kepada baginda kain pengelap dan baginda tidak menyentuhnya. Kemudian baginda menyapu saki baki air di badan baginda menggunakan tangannya.

Riwayat Al-Nasai (255)

Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W tidak menggunakan kain yang diberikan kepadanya untuk mengelap anggota badan baginda setelah mandi. Maka golongan yang berpegang dengan pendapat yang kedua menjadikan nas ini sebagai hujah bahawa makruh hukumnya menggunakan kain pengelap sama ada tuala dan seumpamanya bagi mengeringkan anggota badan setelah wuduk.

Di sisi para fuqaha al-Syafiéyyah, di sana terdapat beberapa pendapat sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah. Kata beliau: Pendapat yang pertama menyebut bahawa tidak dimakruhkan mengelap anggota wuduk akan tetapi disunatkan untuk meninggalkannya. Inilah yang dipegang oleh jumhur ulama Iraq, al Qadhi Husain, Imam al-Baghawi, Imam Al-Haramain, dan ditarjihkan oleh Imam Al-Rafi’e.

Manakala pendapat yang kedua menyebut, hukumnya adalah makruh. Inilah yang disebutkan oleh Syeikh Al-Mutawalli. Pendapat yang ketiga pula menyatakan bahawa hukumnya adalah harus dari sudut melakukannya dan meninggalkannya sama sahaja hukumnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh Al-Syeikh Abu Ali Al-Thabari dan Al-Qadhi Abu Al-Thayyib. Pendapat yang keempat pula menyebut bahawa perbuatan mengelap itu adalah disunatkan kerana terdapat padanya keselamatan dari debu-debu najis dan seumpamanya. Inilah pendapat yang disebutkan oleh Al-Syeikh Al-Furani, Imam al-Ghazali, Al-Ruyani, dan Al-Rafi’e. Manakala pendapat yang kelima pula mengatakan bahawa sekiranya pada musim soifi (musim panas) maka dimakruhkan mengelap anggota. Akan tetapi sekiranya pada musim syita’(musim sejuk) maka tidak dimakruhkan kerana terdapat keuzuran dari sudut kesejukan. Pendapat ini dinyatakan oleh Imam Al-Rafi’e.

Imam Al-Mahamili Rahimahullah mengatakan: Imam Al-Syafie tidak mempunyai nas (pendapat) dalam hal ini. Para ashab al-Syafi’eyyah pula menyatakan: Perbuatan mengelap ini sama ada pada wudhuk ataupun air mandian, kesemuanya ini sekalipun jika tiada keperluan kepadanya seperti takutkan kesejukan atau melekatnya najis dan seumpamanya, sekalipun tidak dimakruhkan dan tidak dikatakan bahawa perbuatan itu khilaf mustahab (menyelisihi perkata yang disunatkan).

Seterusnya Imam Al-Nawawi mengatakan: Bahawa yang sahih di dalam mazhab kami adalah disunatkan untuk meninggalkan perbuatan tersebut. Dan tidak dikatakan bahawa ianya makruh. Dan Imam Ibn Al-Munzir menyatakan bahawa perbuatan mengelap anggota selesai wudhuk itu diharuskan oleh Saidina Uthman bin Affan, Al-Hasan bin Ali, Anas bin Malik, Basyir bin Abi Mas’ud serta Imam Hasan Al-Basri. Manakala ia dihukum makruh oleh Jabir bin Abdillah R.anhuma, Abd al-Rahman bin Abi Laila, Sa’id Ibn Al-Musayyib, dan selainnya. Manakala Al-Mahamili mengatakan bahawa para ulama telah ijma’(bersepakat) bahawa perbuatan itu tidak diharamkan, dan perbezaan pendapat berlaku sama ada ia makruh atau tidak. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab Al-Nawawi (1/462).

 

Kesimpulan

Setelah kami meneliti beberapa pendapat para fuqaha yang dikemukakan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskan perbuatan mengeringkan anggota wuduk dengan menggunakan tuala dan seumpamanya selepas wuduk. Ini mengambil kira perbuatan Rasulullah S.A.W yang mengelap anggota baginda menggunakan tangan, selain kenyataan Al-Syeikh Al-Mahamili bahawa para ulama sepakat bahawa perbuatan itu tidaklah diharamkan, serta terdapatnya keperluan untuk mengelap anggota wuduk bagi mengelakkan perasaan tidak selesa dalam beribadah. Semoga Allah S.W.T memberikan kepada kita kefahaman dalam memahami agama-Nya. Ameen.