اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #586: HUKUM TULARKAN MAKANAN MEWAH KEPADA KHALAYAK

Soalan:

Apakah hukum tularkan (viral) makanan sedap-sedap kepada orang lain ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, makanan merupakan di antara rezeki dan juga nikmat yang telah Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang beriman makanlah kamu semua daripada benda-benda baik yang telah kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kalian kepada Allah sekiranya kalian benar-benar mengabdikan diri kepada-Nya.

Surah Al-Baqarah (172)

Menurut ayat di atas, makanan-makanan yang baik dari sudut kehalalan dan kebersihan yang terdapat di atas muka bumi ini adalah merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Implikasi dari kurniaan dan nikmat tersebut, manusia khususnya orang-orang yang beriman dituntut untuk mensyukuri nikmat yang diperolehnya dalam kehidupan seharian.

Berkata Imam Al-Thabari Rahimahullah ketika mana menafsirkan ayat ini: Dan hendaklah kalian memuji Allah terhadap segala nikmat yang telah Allah rezekikan dan perelokkan kepada kamu. Rujuk Tafsir Al-Thabari, Ibn Jarir (3/317).

Di antara tanda mensyukuri nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan adalah dengan mengucapkan hamdalah iaitu dengan lafaz Alhamdulillah. Sa’d bin Muaz bin Anas Al-Juhani meriwayatkan daripada bapanya bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ أَكَلَ طَعَامًا فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 

Maksudnya: Sesiapa yang memakan makanan, kemudian dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan aku makan makanan ini dan merezekikan ia kepadaku tanpa sebarang daya dan kekuatan dariku, maka akan diampunkan dosa-dosa kecilnya yang terdahulu.

Riwayat Ibn Majah (3285)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hamzah Anas Bin Malik R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 مَا أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ نِعْمَةً فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ ‏.‏ إِلاَّ كَانَ الَّذِي أَعْطَاهُ أَفْضَلَ مِمَّا أَخَذَ

Maksudnya: Tidaklah Allah kurniakan nikmat ke atas seorang hamba dengan satu nikmat lalu dia berkata: Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) melainkan pujian yang diberikannya itu lebih baik daripada apa yang dia terima.

Riwayat Ibn Majah (3805)

Maka zahir daripada hadis di atas, menjadi tuntutan ke atas setiap yang mendapat rezeki dan kurniaan daripada Allah berupa makanan, minuman, kesihatan, wang ringgit, pakaian, dan seumpamanya untuk mengucapkan Alhamdulillah yang bermaksud segala puji bagi Allah sebagai tanda syukur yang diungkapkan oleh lidah.

Kita juga dituntut untuk membaca doa yang diajarkan di dalam Sunnah berdasarkan sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Bin Mas’ud R.anh bahawa Rasulullah bersabda:

وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ مُثْنِينَ بِهَا قَابِلِيهَا وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا

Maksudnya: Dan jadikanlah kami golongan yang bersyukur terhadap nikmat-Mu, memuji-Mu dengan nikmat tersebut, menerimanya serta sempurnakanlah nikmat-nikmat tersebut ke atas kami.

Riwayat Abu Daud (969)

Selain itu, menceritakan nikmat-nikmat yang telah Allah rezekikan kepada kita juga adalah salah satu bentuk menzahirkan kesyukuran. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: Dan nikmat Tuhan kamu, maka ceritakanlah.

Surah Al-Dhuha (11)

Di antara tafsir kepada menceritakan nikmat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Hasan Rahimahullah: Apabila kamu memperoleh kebaikan atau kamu melakukan suatu perbuatan yang baik maka ceritakanlah kepada saudara-saudaramu yang kamu percayai.

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi Al-Malik Rahimahullah berkata: Perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan niat di hadapan orang yang terpercaya. Ini kerana, ia boleh jadi membawa kepada riyak, serta menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya. Rujuk Ahkam Al-Quran, Ibn Al-Arabi (4/356).

Hakikatnya, kenyataan Imam Ibn Al-Arabi tersebut bertepatan dengan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 اسْتَعِينُوا عَلَى إِنْجَاحِ الحَوَائِج بِالْكِتْمَانِ فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُود

Maksudnya: Bantulah ke atas kejayaan tertunainya hajat keperluan dengan menyembunyikannya. Sesungguhnya setiap yang memiliki nikmat itu ada orang yang hasad kepadanya.

Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir (Hlm. 246)

Begitu juga terdapat tuntutan untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menceritakan nikmat yang diperolehi. Sebuah riwayat daripada Al-Nu’man Bin Basyir R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

التَّحَدُّثُ بِالنِّعَمِ شُكْرٌ

Maksudnya: Menceritakan nikmat-nikmat itu adalah suatu kesyukuran.

Riwayat Ibn Abi Al-Dunia (No. 64)

Justeru, hadis di atas jelas menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk menzahirkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita perolehi. Dan di antara tanda tersebut adalah dengan menceritakan nikmat-nikmat tersebut. Hadis ini juga dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat lain bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الجَمَال، وَيُحِبُّ أَنْ يَرَى أَثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَى عَبْدِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia cintakan kecantikan. Dan Allah suka untuk melihat kesan-kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.

Riwayat Ibn Asakir (17/200)

Maka jelaslah kepada kita, menzahirkan nikmat-nikmat Allah sama ada melalui cara menceritakannya kepada orang lain, atau memakai pakaian yang baharu lagi cantik, memakan makanan yang halal lagi bersih, dan seumpamanya adalah suatu yang dituntut.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas dan juga hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa perbuatan menularkan gambar makanan yang sedap kepada orang lain pada asalnya adalah harus hukumnya. Walaupun begitu, hendaklah seseorang itu memuhasabah dirinya berkenaan niat melakukan perbuatan tersebut. Sekiranya perbuatan itu bertujuan untuk bermegah-megahan, berbangga diri, dan juga riyak, maka sepatutnya ia dielakkan. Demikian juga sekiranya perbuatan menularkan makanan mewah dapat menyebabkan timbulnya perasaan hasad terhadap orang yang melihatnya, serta menimbulkan rasa dukacita kepada golongan yang tidak berkemampuan merasainya, maka kami nasihatkan supaya ianya dielakkan. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.