اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #585 : SUNAT BERALIH TEMPAT BAGI SOLAT RAWATIB

Soalan: Adakah perlu beralih tempat daripada tempat solat fardu untuk melakukan solat sunat rawatib?

Jawapan:

Dalam kitab Sahih Muslim, terdapat riwayat yang menyebut pesanan Muawiyah RA kepada al-Sa’ib Ibn Ukh Namir:

إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ، فَلَا تَصِلْهَا بِصَلَاةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِذَلِكَ، أَنْ لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ

Maksudnya: “Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat (nafilah) sehingga engkau berkata-kata (dengan seseorang) atau engkau keluar, kerana Rasulullah SAW telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar.”

Riwayat Muslim (883)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (6/171) berkata: “Ini adalah dalil pada mana disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafieyyah bahawa sebelum ditunaikan sunat rawatib dan selainnya adalah disunatkan untuk beralih daripada tempat ditunaikan solat fardu ke tempat yang lain, dan yang paling afdhal ialah beralih menunaikan solat di rumah, dan melainkan tempat lain yang dimaksudkan itu adalah masjid atau selain masjid agar supaya diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana untuk memisahkan antara pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat.” Imam al-Nawawi juga menyebut dibolehkan dengan hanya berbicara, kerana ia menunjukkan pemisahan antara kedua-dua solat fardu dan sunat, akan tetapi beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdhal sepertimana yang kami sebutkan sebelum ini.

Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj (1/552) berkata: “Dan adalah disunatkan untuk beralih tempat bagi menunaikan solat sunat atau fardu daripada tempat yang telah ditunaikan solat fardu atau solat sunat ke tempat yang lain agar diperbanyakkan tempat-tempat sujud. Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak). Dan agar untuk menghidupkan tanah (tempat sujud) dengan ibadah. Maka sekiranya tidak berpindah ke tempat yang lain maka boleh dilakukan dengan bercakap atau berbicara sesama manusia.”

Semoga dengan pencerahan ini dapat menjadikan ibadah kita lebih sempurna dan mendapat balasan di akhirat kelak. Amiin.