SOALAN
Apakah hukum menyertai peraduan Maybank2u challenge. Saya berminat menyertai peraduan tersebut tetapi khuatir jika hadiah atau ganjaran yang ditawarkan ada unsur riba dan syubhah. Boleh ustaz jelaskan sama ada peraduan tersebut halal atau haram?
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertamanya, pujian harus diberikan kepada pihak yang bertanya kerana dengan sabit pihak yang bertanyalah akan lebih memberi kefahaman kepada orang awam yang lain.
Dalam kitab Fiqh Manhaji terdapat satu bab yang dinamakan dengan musabaqah (المسابقة) yang membawa maksud pertandingan atau peraduan. Dalam bahasa Arab, musabaqah berasal daripada perkataan al-Sabqu yang bermaksud mendahului orang lain. Musabaqah juga bermaksud ujian yang dilakukan ke atas beberapa individu untuk memilih siapa yang terbaik dalam melakukan sesuatu perkara. (Fiqh Manhaji 3/513)
Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang sesuai diguna pakai dalam persoalan ini:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ
Bermaksud : Asal sesuatu perkara adalah harus
Sebelum melihat dengan lebih lanjut, suka kami nyatakan modus operandi yang dilakukan oleh pihak Maybank dalam peraduan Maybank2u challenge ini bagi menjelaskan dengan lebih lanjut berkaitan peraduan ini :
Prosedur Maybank2u challenge:
1. Peserta mesti mendaftar masuk ke dalam akaun Maybank2u
2. Terdapat satu butang MYM2U challenge pada web tersebut. Peserta perlu menekan butang MYM2U challenge itu.
3. Selesai klik butang tersebut, peserta akan berada pada level satu MYM2U. Peserta perlu untuk menyelesaikan semua soalan yang terdapat pada leve tersebut.
4. Sebaik sahaja peserta menghabiskan soalan MYM2U pada level satu, peserta akan dibawa kepada soalan pada level dua.
5. Hadiah akan disediakan kepada sesiapa yang berjaya menyelesaikan persoalan pada level tersebut. Hadiah adalah berupa baucer.
Diharuskan untuk melakukan pertandingan diantara sesama manusia dari segi fizikal. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW berikut :
Daripada Ibn Umar R.Anhuma:
سَابَقَ اَلنَّبِيَّ - صلى الله عليه وسلم -بِالْخَيْلِ اَلَّتِي قَدْ أُضْمِرَتْ, مِنْ الْحَفْيَاءِ, وَكَانَ أَمَدُهَا ثَنِيَّةِ اَلْوَدَاعِ.وَسَابَقَ بَيْنَ اَلْخَيْلِ اَلَّتِي لَمْ تُضَمَّرْ مِنْ اَلثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِد بَنِي زُرَيْقٍ, وَكَانَ اِبْنُ عُمَرَ فِيمَنْ سَابَقَ
Maksudnya : Nabi s.a.w berlumba dengan kuda yang telah dikuruskan dari al-Hafya’ (suatu tempat) sehingga Saniyyatil Wada’ (suatu tempat) dan baginda berlumba dengan kuda yang belum dikuruskan dari Saniyyatil Wada’ ke Masjid Bani Zuraiq dan Ibn Umar antara salah seorang yang turut berlumba.
(Riwayat al-Bukhari no 420 dan Muslim no 1870)
Namun dalam permasalah ini, fuqaha berbeza pendapat berkaitan hukum pertandingan yang menggunakan akal atau ilmu seseorang individu. Maksud yang dikehendaki disini ialah seperti mengadakan pertandingan kuiz tertentu dan seumpamanya. Adakah diharuskan untuk mengambil ganjaran dalam pertandingan berbentuk akal fikiran sepertimana diharuskan mengambil ganjaran dalam pertandingan fizikal berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang berikut :
Daripada Abu Hurairah R.A berkata, Nabi SAW telah bersabda :
لاَ سَبْقَ إِلاَّ فِي خُفٍّ أَوْ فِي حَافِرٍ أَوْ نَصْلٍ
Maksudnya : Tidak boleh diberi ganjaran untuk pertandingan kecuali pertandingan lumba unta, kuda, dan memanah.
(Sunan Abu Daud 2574)
Melihat kepada hadis diatas, kita dapat fahami bahawa harus untuk mengambil ganjaran jika pertandingan tersebut bersifat fizikal, namun adakah dibolehkan juga mengambil ganjaran jika pertandingan tersebut atas dasar akal fikiran seperti kuiz dan seumpamanya.
Fuqaha berbeza pendapat dalam masalah ini. Dalam kitab Minhajul Muslim karangan Abu Bakar Jabir al-Jazai’ri (m/s 279) ada menyatakan perkara tersebut adalah seperti berikut :
Pertama: Tidak dibolehkan (haram) kerana pertandingan ini tidak termasuk dalam peralatan perang seperti yang dikehendaki di dalam hadis.
Kedua: Harus. Ini kerana ilmu juga dianggap sebagai salah satu senjata ketika perang malahan lebih berkesan daripada senjata, kuda dan seumpamanya. Jika dilihat pada suasana sekarang (Malaysia), kita tidak lagi mengalami situasi perang fizikal seperti dahulu, namun umat Islam pada hari ini diperangi dalam bentuk pemikiran (Ghazwul Fikri). Oleh hal yang demikian, maka keutamaan untuk memberi ganjaran dalam hal ini lebih utama daripada pertandingan perang fizikal.
KESIMPULAN
Kami berpandangan dibolehkan untuk menyertai pertandingan Maybank2u challenge ini kerana pertandingan ini mampu untuk melatih akal fikiran kita agar lebih bersedia. Kami melihat pada hari ini musuh-musuh Islam bukan sahaja menyerang umat Islam dalam bentuk fizikal, malah tidak kurang juga dalam bentuk akal fikiran. Demikian, kami berpandangan sebagaimana harusnya mengambil ganjaran dalam pertandingan fizikal, maka mengambil ganjaran dari pertandingan akal fikiran juga adalah diharuskan.
Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Amin.